Friday, March 07, 2014

Apakah yang kita cari?


Having a bad day? Then have a free rainbow from Meg.


Hidup ini adalah apa yang kita cari.

Jika apa yang kita cari sepanjang hari adalah perkara-perkara yang negatif, maka kita akan melihat segala-galanya dalam perspektif yang negatif.

Jika sepanjang hari kita hanya mencari perkara-perkara yang positif, maka perspektif hidup kita akan menjadi positif. Saintis mengesahkannya. Shawn Achor menulis mengenai hal ini dalam bukunya The Happiness Advantage.

Lihat sahaja kepada paparan status dan 'newsfeed' dalam Facebook kita. Banyakkah yang kita lihat dan baca perkara yang berunsur positif atau banyak yang negatif?

Kesannya sungguh besar dalam kehidupan kita. 

Tali persahabatan pun boleh terputus hanya kerana kita menyaratkan 'newsfeed' dalam Facebook kita dengan berita-berita yang berunsur negatif. 

Saya bersetuju dengan kata-kata David McElroy, bapa kepada  seorang budak perempuan  yang bernama Meg ini, 

"Don’t let yourself be dragged into negativity by thinking that’s all the world is. There’s beauty, creativity and opportunity all around you, right in the midst of disaster, pain and ugliness."


Kredit foto: http://www.davidmcelroy.org



Wednesday, March 05, 2014

Menuju Gracia




Lokasi Bengkel Hospital Clowning

Alhamdulillah, maklumat awal mengenai bengkel di Barcelona sudah diterima. 

Pengurus Theatre Organic, Julien benar-benar membantu. Dalam hal penginapan sewaktu bengkel 3 minggu itu, beliau menasihatkan saya supaya mencari bilik sewa di sekitar studio tempat bengkel itu akan diadakan. Menurut beliau, kosnya lebih murah berbanding di tempat lain di sekitar Barcelona.

Ia di kawasan Gracia (sebut: Grathia). Tidak jauh dari La Sagrada Familia yang terkenal itu. Saya sudah meninjau bilik sewa melalui khidmat airbnb. Nampaknya ada yang murah, sekitar $30-$40.  

Yuran bengkel pula saya dimaklumkan sebanyak 2000 euro (sekitar RM9000). Hmm...

Tugas mengumpul dana bermula sekarang.


Lokasi Bengkel di kawasan Gracia.

Thursday, February 27, 2014

Barca Aku Datang!

Sagrada Familia, Barcelona, Spain (Kindra Clineff), Sunday Times UK

Kelmarin saya menerima emel daripada Michael Christensen. Beliau pengasas program doktor badut The Big Apple Circus Clown Care Unit di Amerika dan digelar sebagai "The Father of Hospital Clowning."

Beliau memberitahu yang saya telah terpilih bagi menyertai bengkel International Workshop On Hospital Clowning yang julung-julung kali diadakan di Barcelona, Sepanyol pada 13-31 Oktober 2014. 

Beliau akan mengendalikan bengkel itu bersama beberapa orang 'trainer' terkemuka dalam bidang 'hospital clowning'. Hanya 24 orang peserta sahaja dari seluruh dunia yang akan dipilih bagi menyertai bengkel ini.

Perasaan saya sebenarnya bercampur baur. Gembira bercampur risau. Gembira kerana sebab yang memang jelas. Ini peluang belajar yang sukar dilepaskan!

Risau juga kerana sebab yang memang jelas: Kekangan kewangan bagi menyertai bengkel ini.

Barcelona matawangnya Euro. Bengkel ini saya yakin lazimnya akan mengenakan yuran  kepada para peserta. Entah berapa ribu Euro bagi bengkel selama 3 minggu nanti. Saya sudah menyemak kos sewa bilik melalui khidmat 'airbnb'. Nampaknya setara dengan kos kehidupan di New York sewaktu kelana saya sebelum ini. 

Kos makan dan minum masih belum dicongak. Kos tiket kapal terbang pula sekitar RM4000 hingga RM5000. Jika kos penerbangan ke Barca kelihatan agak mahal, mungkin sahaja saya menuju ke London dahulu dan kemudian menaiki penerbangan murah ke Barcelona. 

Saya mula merancang bagi mengutip pengalaman sebanyak-banyaknya daripada kelana kali ini. Perancis sudah hampir. Begitu juga UK. Tidak jauh untuk saya bagi  pergi pula menadah ilmu dan pengalaman daripada program-program 'clown doctors' di Paris, dan juga di England selepas menghadiri bengkel ini. 

Saya akan menulis kepada Le Rire Medecin bagi memohon peluang melihat pelaksanaan program mereka di hospital di Paris. Begitu juga bagi menimba ilmu di England nanti, saya akan menulis pula kepada Theodora Children Trust.

Ya Allah, permudahkanlah usaha hambamu ini. Amin.




Friday, February 21, 2014

Barcelona



Aku masih tetap mahu mengejar impian dalam hidupku. Ada ketikanya aku berasa mahu menyerah sahaja dan menyertai khalayak yang sedang berlari beramai-ramai bagi mencapai impian masing-masing. Tetapi aku teringat kepada kata-kata yang aku baca dalam blog Chris Guillebeau ini:

“I want to be remembered as a person who wasn’t afraid to start things.” -Tina Roth Eisenberg.
Oktober tahun ini di Barcelona. Selama 3 minggu. Mudah-mudahan aku dapat pergi ke sana bagi menimba ilmu di bawah tunjuk ajar pengasas The Big Apple Circus Clown Care Unit, Michael Christensen.

Ya Allah, permudahkanlah usaha hambamu ini. Amin.