Sunday, June 28, 2009

Hujung Minggu di STAR,Ipoh



Pagi tadi, sebelum meninggalkan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR),saya sempat meninggalkan beberapa buah buku daripada perpustakaan peribadi saya untuk disumbangkan kepada Perpustakaan STAR.

Barangkali,inilah cara terbaik bagi saya untuk membalas budi kepada sekolah tercinta. Moga pelajar-pelajar STAR beroleh manfaat daripadanya.

Dirgahayu STAR!

Friday, June 26, 2009

Kenang-kenangan di Maine

Saya masih terkenang-kenang pengalaman belajar di Teater Celebration Barn, Maine pada tahun 2005 ketika mengikuti bengkel “Eccentric Performing” di bawah tunjuk ajar Avner Eisenberg dan isterinya, Julie Goell.


roda kereta kuda di tepi Bangsal Teater Celebration

Nyata, saya merindui suasana nyaman bangsal merah yang dikelilingi pohon-pohon epal masam dan Roda 'cartwheel' masih tersadai di tepi pokok willow yang daunnya berjurai hampir mencecah tanah.Alangkah seronoknya jika dapat berjalan-jalan kembali bersama-sama rakan sekelas di waktu pagi sebelum kelas bermula.


Pokok Willow di tepi kolam tempat saya mencari idea persembahan.

Saya masih rindukan gelak ketawa apabila si Rhys-Bevan, pelakon berbakat dari Halifax,Nova Scotia (tempat Titanic tenggelam) membebel panjang tentang sesuatu isu yang kami tidak mengerti di atas pentas dan tidak menyedari sehingga selesai bahawa kami tertawa dengan perlakuannya itu sungguh melucukan dan bukannya bebelannya panjang itu.


Setiap hari kami duduk di kerusi-kerusi itu menunggu giliran untuk membuat persembahan.

Saya rindukan juga suasana tegang dan amat menekankan setiap kali kami mempersembahkan sketsa di hadapan Avner dan Julie. Saya rindukan kritikan tajam Avner itu. Pertama kali saya dikritiknya,saya rasa mahu sahaja menaiki kapal terbang pulang ke Malaysia pada saat itu.

Namun disebalik ketelitiannya, beliau sebenarnya amat pemurah untuk berkongsi pengalaman-pengalamannya di dalam bidang teater komedi dan filem (sila tonton Jewel of The Nile untuk melihat aksinya) yang sungguh berharga bagi kami.

Dialah yang mengajar seni komedi fizikal (physical comedy) ini boleh dilakukan tanpa menggunakan suara dan disampaikan dengan mudah hanya melalui gerak pernafasan semata-mata.


'Penyelesaian masalah' dalam dunia badut.

Ilmu itu saya berjaya fahami tanpa disedari ketika melakukan persembahan saya menggunakan teknik yang diajarnya; 'penyelesaian masalah’ (problem solving) kerana terlalu khusyuk untuk mendapatkan roti sandwic yang terjatuh ke lantai.

“Tiada orang di dalam dunia berusaha bersungguh-sungguh seperti anda, tetapi tidak mendapat apa-apa”, kata Avner sebaik sahaja saya selesai membuat persembahan itu.

Rupa-rupanya itu bukan kritikan tetapi pujian! Ia satu penghormatan bagi saya kerana Avner jarang sekali membuka mulut untuk memuji.

Tavis,rakan sebilik saya, malam itu memberitahu,

“ Is,apa yang awak ada itu adalah sesuatu yang kami cuba dalami bertahun-tahun lamanya.”


Bangsal Teater Celebration di South Paris,Maine.

Thursday, June 25, 2009

Hujung minggu ini


Saya tidak sabar menunggu hujung minggu ini.Pertama kerana pada hari Sabtu,kami akan ke sana untuk menubuhkan perpustakaan di Darul Hikmah, di Sungai Itek, Gopeng, Perak.

Kami akan berkonvoi kereta, van dan lori pada pagi hari Sabtu ke Gopeng. Pihak Nationwide Express telah bermurah hati menghulurkan bantuan logistik- sebuah lori untuk membawa kotak-kotak berisi buku dan rak-rak buku ke sana.Para sukarelawan dan staf IRM yang memahami masalah pengangkutan yang dihadapi kami (kami hanya ada satu van sebagai kenderaan rasmi untuk ke hulu dan ke hilir), menawarkan diri untuk memandu kereta masing-masing.

Saya difahamkan oleh pengurus Darul Hikmah, Hj Jamal, bahawa pengasas Darul Hikmah, Hajah Embun juga akan hadir sama pada hari Sabtu ini. Menariknya, saya menerima panggilan telefon dari seorang anak murid beliau (semasa beliau mengajar di SK Seri Kepayang sekitar tahun 1970an) yang juga bekas pelajar STAR Ipoh, Tuan Ismail (Batch 74') yang beria-ria benar ingin menghubunginya gurunya itu dan kehadiran Hajah Embun ini mungkin 'hadiah'yang memberi makna tersendiri kepada beliau kelak.

Sebaik sahaja kami menyerahkan perpustakaan tersebut kepada pengurusan Darul Hikmah, saya akan menyertai pula rakan-rakan sepersekolahan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman,Ipoh untuk majlis perjumpaan bekas pelajar STAR untuk tahun 2009 yang diadakan sepanjang hujung minggu ini.Inilah masa saya bertemu rakan-rakan lama dan mengambil peluang untuk bertanya khabar, serta mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang semakin beruban itu atas jasa-jasa mereka mendidik kami di STAR dahulu.

Pada hari Ahad pula, saya akan melawat Rumah Anak Yatim Darussalam di Tambun, Ipoh sebelum menuju ke Parit,Perak melawat rumah anak yatim Bait Al-Amin untuk meninjau keperluan perpustakaan di rumah-rumah anak yatim berkenaan.

Semoga hujung minggu ini juga memberi makna dalam kehidupan anda!

Wednesday, June 24, 2009

Saya dan perpustakaan


Perpustakaan SK Penjom.

Saya dan perpustakaan amat akrab.

Semasa saya kecil, perpustakaan di Sekolah Kebangsaan Penjom di mana bapa saya bertugas sebagai guru besar (jawatan yang tidak besar gajinya pada waktu itu) merupakan 'stor kanjus' saya setiap petang.Kerani sekolah, Pak Zabaruddin yang pandai menari Zapin itu sudah faham benar apabila saya datang ke pejabat sekolah selepas waktu sekolah,beliau akan memberikan kunci perpustakaan.Saya akan memulangkannya dengan menyusupkan kunci di bawah pintu pejabatnya apabila sudah selesai menggunakan perpustakaan.

Di dalam perpustakaan itulah, saya khayal ‘mengembara’ ke serata dunia dengan membaca buku-buku Enid Blyton, Thomas The Tank Engine, Ensiklopedia dan himpunan buku-buku Penguin Books.

Mengingati zaman kanak-kanak yang indah itu juga, saya pasti tidak sabar menunggu ketibaan hari Sabtu.Hari itu istimewa kerana kebiasaannya hari inilah peluang bagi kami sekeluarga keluar dari Kg.Penjom untuk menikmati buku di kutub khanah desa di bandar Kuala Lipis, Pahang.

Sementara menunggu ibu bapa saya membeli barang-barang di pasar, kami ditinggalkan mereka di bangunan kayu usia berpuluh tahun itu bersebelahan dengan Kuil Hindu,dan dengan penuh gembira kami membaca buku dan memilih buku-buku untuk dipinjam selama dua minggu.


Perpustakaan JB Priestley,University of Bradford. (Gambar disalin dari sini)

Cinta saya kepada perpustakaan terbawa-bawa sehingga dewasa.Saya masih ingat meneroka rak-rak buku di J.B.Priestley Library di University of Bradford mencari karya puisi Pablo Neruda di tingkat dua sedangkan saya seharusnya berada di tingkat satu di rak-rak buku kejuruteraan!