Friday, September 04, 2009

Sibuk

Maaf kerana sudah lama tidak 'update' blog.

Ini artikel yang dipetik daripada akhbar hari ini. Untuk menderma, dipersilakan melayari laman web www.irm.org.my atau telefon kami di talian 03- 8948 6334.




Thursday, August 27, 2009

Meringankan beban mereka di Bulan Ramadan



Bantuan makanan Ramadan anjuran Islamic Relief sudah bermula sejak sebelum Ramadan lagi. Semalam dan hari ini kami berada di Kedah. Minggu-minggu akan datang ini sememangnya sibuk sekali. Dari Kedah,kami akan ke Perak dan Johor pada minggu hadapan.Kami hanya akan menutup program ini di Sabah pada bulan Oktober kelak.

Sambutan daripada penderma amat menggalakkan.Alhamdulillah.Masih belum terlambat untuk mereka yang ingin turut sama membantu kerana program ini akan berlanjutan sehingga penghujung Syawal.

Sekiranya anda mempunyai rezeki lebih di bulan Ramadan ini dan ingin membantu, sumbangan ikhlas anda bolehlah disalurkan melalui akaun Maybank 5621 4270 8704 / CIMB 1259 0000 804 058 atau melayari laman web rasmi Islamic Relief Malaysia di www.irm.org.my atau hubungi kami di talian 03-8948 6334.

Sunday, August 09, 2009

Kegagalan

Maaf saudara kerana hanya baru sekarang saya dapat menulis tentang apa yang kita bualkan melalui Yahoo Messenger sebelum ini.

Apabila saudara meluahkan kegelisahan tentang apa yang saudara sedang lalui ini, ia mengingati kepada pengalaman peribadi menghadapi situasi yang mungkin sama.Apa yang penting ialah pengajaran yang boleh dikutip saudara daripada pengalaman yang saya pernah lalui itu. Mungkin juga ia akan memberi manfaat kepada orang lain. Saya tidak malu untuk berkongsi pengalaman itu dengan saudara dan rakan-rakan yang lain yang mungkin menghadapi dilema yang sama.

Saya pernah gagal semasa di universiti. Gagal dalam erti kata; saya pernah mengaku kalah.

Izinkan saya bercerita dari awal. Apabila tamat persekolahan menengah di STAR, Ipoh dan mendapat keputusan SPM yang agak baik walaupun tidak secemerlang pelajar lain, saya bertuah kerana ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia. Saya fikir itulah cita-cita hidup saya untuk menjadi seorang jurutera suatu hari nanti.

Ibu saya pernah bertanya,

“Betulkah kamu ingin jadi jurutera? Kenapa tidak mahu menjadi doktor?”

Saya tekad. Inilah yang saya mahukan – menjadi seorang jurutera kimia yang berjaya.

Mungkin kerana saya cemerlang dalam subjek Kimia semasa di STAR dan pernah menewaskan pelajar paling pintar pada waktu itu semasa ujian bulanan, maka hanya Kejuruteraan Kimialah yang saya nampak sebagai jalan ‘hidup’ saya kelak.

Nyata, saya naïf dalam membuat keputusan yang paling penting dalam hidup seorang remaja berusia 18 tahun.

Dan keputusan itulah yang telah menghantui saya selama beberapa tahun.

Saya tersenyum hari ini apabila membaca kata-kata David Foster, komposer dan produser muzik terkenal di dalam majalah SUCCESS edisi September 2009.

“Pelajaran nombor satu dalam mencapai kejayaan di dalam hidup ialah melakukan sesuatu pekerjaan yang kita benar-benar minati.Dan kita harus menjadi yang terbaik”.

Beliau menambah,

“Kebanyakan orang membuat sesuatu yang diajar kepada mereka – bukan sesuatu yang mereka suka atau minati,”

“Ia tidak masuk akal langsung. Pada umur 17 atau 18 tahun, kita dihantar ke kolej dan pada saat-saat penting itu,kita dikehendaki untuk membuat satu keputusan besar yang akan mengubah seluruh kehidupan kita.

Tidakkah itu sesuatu yang pelik? Saya bernasib baik kerana pada umur 10 tahun saya sudah tahu yang saya ingin menceburi bidang muzik. Saya tidak tahu sama ada saya akan berjaya atau tidak, tetapi saya tahu saya ingin melakukannya.”

Saya akan menulis lagi kepada saudara.

Thursday, August 06, 2009

Membantu orang lain di bulan Ramadan



Saya ketawa besar apabila seorang sahabat memberi komen,

"Mahalnya RM50!"

"Sebenarnya RM50 itu sudah murah benar, Prof.", terang saya.

Dengan bermodalkan RM50 itulah, kami di Islamic Relief membeli beras,gula,minyak masak,tepung,makanan di dalam tin,serbuk teh untuk setiap kotak yang akan diagih-agihkan kepada golongan miskin di seluruh Malaysia sepanjang bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun.

Tahun ini, jumlah sumbangan minima masih RM50 sahaja. Kami sengaja menetapkan RM50 sahaja sejak tahun lepas kerana tidak mahu membebankan para penderma dengan menaikkan jumlah dana sumbangan selaras dengan perkembangan harga barangan yang sentiasa meningkat naik sejak akhir-akhir ini.

Jika dicongak, RM50 itu sebenarnya tidak mencukupi, namun kami percaya jika ada para dermawan korporat yang sudi menderma barangan lain seperti bekalan pukal botol kicap, makanan segera di dalam tin dan sebagainya, Insya Allah, ia akan cukup juga akhirnya.

Jika tahun lepas,kami berjaya mengagihkan bantuan makanan kepada lebih daripada 7700 penerima di seluruh negara, tahun ini pula, kami menetapkan sasaran seramai 10,000 orang penerima di seluruh Malaysia melalui program ini.
Elok juga, sekiranya tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai kenalan-kenalan di badan-badan korporat untuk mengwar-warkan usaha ini. Semoga terbuka hati mereka untuk membantu sama.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ingin membantu secara sumbangan peribadi, bolehlah melayari www.irm.org.my untuk mendaftar atau menelefon 03-89486334 untuk mendapatkan maklumat lanjut.