Showing posts with label Persatuan Red Bubbles. Show all posts
Showing posts with label Persatuan Red Bubbles. Show all posts

Thursday, April 10, 2014

Happy Birthday Danish!

Happy Birthday Adik Muhd Danish!


Pada 3 April lalu, Red Bubbles dijemput bagi meraikan hari lahir Muhd Danish, seorang kanak-kanak pesakit kanser di PPUKM. DR Bubbles dan DR Lat bertugas pada hari itu. DR Shy tidak dapat turut serta kerana ada urusan peribadi.

Adik Muhd Danish kelihatan masih lesu dan lemah kerana belum dapat menjamah makanan selepas rawatannya. Namun dia tetap menggagahkan diri untuk meniup lilin kek hari jadinya yang ke-8.

Setelah berbincang dengan ketua jururawat dan bapa Danish, kami menghadiahkan Danish sebuah topi.  I guess it was the most appropriate gift for a boy with brain timor (Medulloblastoma). 


Ketika kami berinteraksi dengan pesakit kanak-kanak yang lain, rupa-rupanya dia perlahan-lahan membuka ikatan pada kotak hadiah yang kami berikan. Mudah-mudahan Danish suka akan hadiah yang kami berikan.

Oleh kerana Danish tidak bermaya kami mengambil keputusan bagi menghibur kanak-kanak pesakit kanser lain yang dirawat di wad. 

Dari kiri: Farhanah, Siti, dan budak lelaki yang ceria!


Kami berjaya membuat 'heart-to-heart connection' dengan tiga pesakit ini. Farhanah yang sememangnya kami kenali, Siti, dan seorang lagi pesakit kanak-kanak yang tidak sempat kami bertanyakan namanya.

We played bubble soaps with them!

Mereka bertiga asyik sungguh memecah buih yang ditiup oleh DR Bubbles dan DR Lat. Sesekali mereka ketawa berdekah-dekah apabila mereka berjaya memecahkan buih sabun yang besar ditiup oleh DR Bubbles. 

Saya tidak tahu yang si kecil di kanan sekali itu kanak-kanak lelaki. Lalu saya memanggilnya "cikpuan". Mereka ketawa terbahak-bahak! Mereka memberitahu, "Dia bukan perempuan, dia lelaki!" Malu besar saya!

Kata Cikpuan Siti yang berkerusi roda, "DR Bubbles tidak boleh balik. Tidur sahaja di Rumah McDonalds!" Kami memberi alasan yang sewa bilik di Rumah McDonalds sungguh mahal - RM5 semalam.

Dia menjawab, "Mak saya boleh bayarkan nanti!"

Alamak! Kami sudah menjadi orang tebusan. Kami cuba memujuk agar mereka membenarkan kami pulang namun tidak berhasil.

Kesudahannya, kami terpaksa membayar 'wang tebusan' dengan menyerahkan tiub buih sabun kepada mereka. Licik sungguh permainan mereka! 

Ketika mengambil kereta di parkir PPUKM, atendan parkir menyapa kami dan tiba-tiba memeluk DR Lat. Kata beliau, "Thank you so much for making everybody's happy. Keep up the good work!" 

Mungkin button ini membuatkan atendan parkir
memeluk DR Lat!


Ketika kami memandu pulang, DR Lat berkata, "Today is a good day!"


Tuesday, January 24, 2012

Stiker Sakti






Lupakan belon! Stiker ini ternyata senjata yang lebih sakti untuk seorang doktor badut. 

Si cilik Faiz memilih stiker kesukaannya bagi dihiaskan pada enjin kereta sport beliau (err...Mesin IV sebenarnya).






Sunday, December 25, 2011

Sunyinya Wad KK3!

Wad KK3, Institut Pediatrik HKL

 Hari ini Hari Krismas. Oleh kerana program yang sepatutnya berlangsung pada hari ini terbatal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya keluar menuju ke Institut Pediatrik HKL. Tujuan utama, ke Wad KK3 yang khusus menempatkan kanak-kanak pesakit kanser.

Apabila tiba di wad itu, saya menjangkakan yang pada hari ini, wad itu tentu meriah dengan lawatan para dermawan dan Santa Klaus sedang memberikan hadiah kepada pesakit kanak-kanak sempena Hari Krismas. Rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. 

Wad itu sunyi sepi tanpa pengunjung. It's all quiet at the western front

Kelihatan dua orang doktor dan beberapa orang jururawat sedang bertugas. Saya terus melangkahkan kaki melewati setiap bilik sehingga ke hujung wad. Kelihatan anak-anak sedang berbaring ditemani keluarga mereka. Suasananya suram dan sangat normal. 

Pada waktu itu, mahu sahaja saya bertukar bagaikan Superman, dan masuk ke setiap bilik di dalam wad itu bagi menghiburkan mereka. 

 Tiba di hujung wad, bilik di sebelah kanan, kosong tanpa penghuni. Saya berpatah balik dan ketika melewati nurse station, saya bertanya kepada salah seorang daripada doktor yang sedang bertugas di situ, "Tidak ada orang melawatkah sempena Hari Krismas ini?"

"Tidak ada nampaknya. Dahulu pernah juga para pelajar sekolah antarabangsa datang membawa hadiah. Malah dahulu, ada juga seorang lelaki datang membuat belon untuk anak-anak ini. Kali ini tiada pula."

Beliau bertanya, "Tuan melawat saudarakah?"

"Oh, tidak. Saya sekadar berziarah. Insya Allah, saya datang lagi nanti." Saya menjawab sambil tersenyum. 

Dalam hati, saya berkata, 'Saya akan datang lagi ke sini berkali-kali!"



Bilik Permainan Kanak-kanak. Tutup.

Thursday, November 17, 2011

Meniup gelembung-gelembung buih



Meniup gelembung buih kepada si cilik di HUKM, Nov 2011.




Saya masih teringat peristiwa ini walaupun ia sudah hampir enam tahun berlaku.


Ketika itu, saya dan rakan badut saya, Tuan Uncle Button, dijemput oleh pertubuhan wanita sukarela Soroptimist International ke Pusat Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur bagimenghiburkan pesakit-pesakit kanser kanak-kanak di Wad KK3, sempena lawatan  mereka ke wad itu.


Selesai sahaja melawat wad KK3 dan menghiburkan pesakit kanak-kanak di wad itu, kami keluar ke lobi utama pusat pediatrik itu untuk pulang.


Apabila tiba di lobi utama, kami ternampak seorang lelaki dan anak kecil yang comel berdiri di suatu sudut di lobi itu. Anak kecil itu kelihatan muram sahaja wajahnya. Sebaik sahaja beliau melihat kami, beliau cepat-cepat bersembunyi di sebalik tubuh bapanya.


“Ah, ini satu peluang untuk kita bermain dengan si anak comel itu!” Saya memberitahu Uncle Button.


Kami memastikan kedudukan kami dalam ‘jarak yang selamat’ di dalam usaha berinteraksi dengan si anak kecil itu. Jika kami berdiri terlalu hampir, kami pasti akan menakutkan beliau.


Guru badut saya, Avner Eisenberg pernah memberitahu,

“jarak yang ‘selamat’ di antara dua orang yang berdiri berhadapan di antara satu sama lain, ialah sejauh mana kedua-dua tangan seseorang itu dapat menyentuh hujung jari orang yang berdiri di hadapannya.”
Saya mengeluarkan tabung berisi buih sabun dan segera meniup gelembung buih yang paling besar ke arah anak kecil yang masih berdiri, bersembunyi disebalik bapanya itu. Bapa beliau tersenyum melihat telatah anaknya itu.


Anak kecil yang muram itu tiba-tiba ketawa mengekek-ngekek apabila buih sabun itu tiba-tiba pecah betul-betul di atas hidungnya.


Segerombolan gelembung buih kecil yang ditiup terus membuatnya terkekek-kekek ketawa.   Dengan spontan, beliau berlari-lari mengelilingi tubuh bapanya dan terus menampar-nampar buih-buih kecil itu dengan jari-jarinya.


Memang tidak dapat disangkal lagi, gelembung buih adalah silap mata terbaik untuk anak-anak kecil mahupun orang dewasa! Tiuplah gelembung buih kepada sesiapa pun, mereka pasti teruja! Tidak hairanlah, kebanyakan program 'clown doctors' di seluruh dunia menggunakan gelembung buih untuk berinteraksi dengan pesakit kecil dan bayi.


Melihat anaknya berlari-lari dan ketawa, bapanya memberitahu kami,


“Anak saya ini baru sahaja selesai pembedahan. Dia menderita sakit angin pasang (hernia) . Saya gembira kerana inilah kali pertama sejak pembedahan itu, saya melihat dia ketawa.”


Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha Red Bubbles bagi menghibur pesakit kanak-kanak di wad hospital dapat diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my


Nota: Entri ini pernah disiarkan pada 16 November 2009, dan setelah dikemaskini,ia disiarkan semula pada 17 November 2011 sebagai entri 'tribute' kepada Red Bubbles yang akan 'kembali' semula ke Wad KK3, HKL.

Tentu Ada Jalan!

Di HUKM pada Sabtu lepas, meniup buih untuk si kecil.

"Selepas ini kita boleh pergi ke HKL!" kata sahabat saya yang mengusahakan agar Red Bubbles boleh memasuki 'kota' HKL yang 'tebal' itu.

Di dalam hati saya, "Wah, mudahnya!" Namun, mengetahui latar belakang beliau yang begitu 'passionate' dalam usaha memberi semangat, kegembiraan, dan harapan kepada pesakit kanak-kanak, ia tidak mustahil.

Tentu sahaja saya berasa gembira dengan khabar ini. Ia ibarat sirih pulang ke gagang kerana di wad KK3, HKL itulah (wad yang dikhaskan untuk pesakit kanser kanak-kanak), inspirasi bagi usaha Red Bubbles ini bermula. Di sanalah, saya melihat sendiri bagaimana anak-anak ini menjadi 'dewasa' dalam usaha melawan kanser yang menyerang mereka. Di sanalah, saya mula meneroka dan mencari cara terbaik bagi menjadikan kehidupan anak-anak di wad itu agar menjadi lebih selesa dan ceria, dengan idea program 'clown doctors'.

Namun, perasaan gembira di hati saya segera berubah menjadi risau. Risau bagaimana harus kami mencari dana secukupnya bagi mengekalkan program lawatan bulanan Red Bubbles di Hospital UKM, Cheras dan sekarang ditambah pula bagi meneruskan usaha menghibur kanak-kanak pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Namun apabila saya teringat kata-kata seorang ibu kepada pesakit kanser di HUKM yang berkata, " Terima kasih kepada Allah kerana ada insan seperti tuan yang membawa keceriaan kepada anak-anak di wad ini," lantas saya berkata kepada diri saya, "Tentu ada jalan!"


Apabila mahu diambil foto, dia cepat-cepat menanggalkan
'face mask' dan terus mengukir senyuman yang manis sekali!

Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha  menghibur kanak-kanak di wad hospital diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.

Bagi pertanyaan lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my

Sunday, September 18, 2011

Comeback!



Pagi ini, hati saya masih berbunga-bunga dek apa yang berlaku pada pagi semalam.

Bak kata Hugh Grant dalam filem komedi romantik, Notting Hill, pengalaman semalam benar-benar, "surreal but nice."

Semalam, saya berada di Wad Pediatrik Hospital UKM, Cheras bagi menghibur sekumpulan pesakit kanser kanak-kanak di wad itu. Selama sejam setengah bersama mereka itu, Saya mengajar mereka cara melukis ayam menggunakan bentuk ala 'Ed Emberley', membuat kipas jari daripada kertas yang nipis, dan yang paling mengujakan mereka ialah aktiviti "clown manicure" yang saya pelajari daripada Jeannie Lindheim, pengasas program 'hospital clowning' Heart and Noses di Boston.

Terlalu banyak yang saya pelajari melalui pengalaman menghiburkan mereka itu, semalam. Segala apa yang saya pelajari mengenai 'clowning' selama ini kembali segar semula. 

Hasil refleksi selepas persembahan semalam, saya mengingati kembali pesan guru clown saya, Avner Eisenberg supaya sentiasa bernafas dengan tenang semasa membuat persembahan. Hanya dengan bernafas dengan tenang, segala perasaan 'tension' yang berkecamuk di dalam fikiran akan susut dengan sendirinya.

Saya juga menyedari yang kekuatan saya pada gerakan 'physical comedy' yang saya pelajari daripada beliau enam tahun yang lalu. Justeru, melalui perbincangan dengan ahli-ahli Red Bubbles yang lain, saya akan mula menggubah suatu persembahan 'physical comedy' yang boleh diadakan di wad hospital.   Ia pasti lebih menghiburkan!

Banyak juga kesalahan-kesalahan yang saya lakukan semasa aktiviti itu semalam. Tidak mengapa, kerana ia boleh diperbaiki. Benarlah kata pepatah Cina, " Tell me, I'll forget, show me and I may remember; involve me and I'll understand." 


Clown Manicure!


Terima kasih kepada ahli-ahli Red Bubbles yang melihat dan memberikan maklum balas kepada saya semalam. Terima kasih juga kepada sahabat saya, Davie yang mengatur program itu semalam. Hanya Allah sahaja dapat membalasnya. Amin.

Saya juga teringat kata-kata Prof. Maya Angelou, penulis wanita yang terkenal di Amerika, 

“I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.”


Itu sahajalah yang saya harapkan daripada anak-anak kecil berhati tabah di dalam wad itu semalam.


Nota kaki:


Sumbangan dana bagi membantu usaha Persatuan Red Bubbles meneruskan program 'clown doctors' di hospital secara 'regular' boleh disalurkan melalui akaun berikut: 

Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau RED BUBBLES
Akaun Maybank : 5640 7000 2826
Emel: drbubbles@redbubbles.org.my

Friday, July 29, 2011

Here's to the Crazy Ones

Red Bubbles on Harian Metro, 29 July 2011

Here's to the crazy ones.
The misfits. The rebels. The troublemakers.
The round pegs in the square holes.
The ones who see things differently.
They're not fond of rules.
And they have no respect for the status quo.
You can praise them, disagree with them, quote them,
disbelieve them, glorify or vilify them.
About the only thing you can't do is ignore them.
Because they change things.
They invent. They imagine.
They heal. They explore. They create. They inspire.
They push the human race forward.
Maybe they have to be crazy.
How else can you stare at an empty canvas and see a work of art?
Or sit in silence and hear a song that’s never been written?
Or gaze at a red planet and see a laboratory on wheels?
While some may see them as the crazy ones, we see genius.
Because the people who are crazy enough to think they can change the world, are the ones who do.
 
(Advertisement for Apple Computer, adapted from the writings of Jack Kerouac)
Note: That's how this clown see.

Wednesday, June 15, 2011

Membantu usaha Red Bubbles

DR Bubbles menghibur kanak-kanak di hospital

Saya mendapat khabar baik pagi tadi. 

Alhamdulillah, Red Bubbles sudah mempunyai akaun bank di Maybank Berhad. Justeru, ia memudahkan para dermawan yang mahu menyumbang dana bagi membantu usaha Red Bubbles menghiburkan pesakit kanak-kanak di hospital.

Sumbangan dana bagi Red Bubbles boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau RED BUBBLES

Akaun Maybank : 5640 7000 2826 

Emel: drbubbles@redbubbles.org.my


Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.
~kata-kata Pak Harfan dalam novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata

Wednesday, April 27, 2011

Lulus!

Logo rasmi pertubuhan

Alhamdulillah. Pendaftaran bagi 'Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah Kuala Lumpur dan Selangor' sudah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nama singkatan rasminya adalah Red Bubbles. Inilah platform rasmi bagi saya mengusahakan program 'clown doctors' di hospital di Malaysia.

Logo ini direka oleh tetuan BeSpoke yang budiman. Terima kasih. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik kalian itu.

Pagi tadi semasa menjalani rutin harian: sarapan di gerai makan di tepi Masjid Kg. Melayu Ampang Tambahan, telefon saya berdering. Melihatkan nombornya, saya meneka dengan tepat bahawa panggilan itu daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan.

Saya hanya mampu mengucapkan, "Alhamdulillah, dan terima kasih banyak-banyak," apabila pegawai yang menelefon itu memberitahu saya bahawa permohonan kami itu sudah diluluskan, dan saya boleh mengambil sijil pendaftaran pada bila-bila masa di pejabat mereka.

Saya bersyukur kerana dalam tempoh yang singkat sahaja, permohonan itu diluluskan, walaupun sepanjang tempoh itu, proses pengurusan pendaftaran tergendala akibat masalah teknikal. Namun saya berterima kasih kepada pihak pendaftar pertubuhan kerana berusaha membantu menyelesaikan urusan pendaftaran itu dengan secepat mungkin, walaupun mereka menghadapi masalah teknikal yang di luar kawalan mereka. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik mereka itu.

Langkah yang seterusnya? Mencari dana awal bagi membuka akaun persatuan, dan membina  website. Saya tidak tahu caranya, namun saya akan bertanya.