Ketika tinggal di Penjom sekitar 1980-1986, sahabat baik saya ialah Shahril.
Saya masih ingat ketika saya menetap sementara di Johor Bahru pada tahun 1985, beliau mengirim surat dari Penjom.
Sampul surat sahaja yang besar. Suratnya hanya bersaiz sebesar 3 jari.
, " Apa khabar Jis? Harap awak sihat di sana. Jangan lupa saya di sini."
Ringkas sahaja kandungan surat beliau itu.
Namun ia sentiasa saya ingati sehingga kini.
Keluarga saya kemudian berpindah ke Kuala Lipis dan akhirnya ke Jerantut.
Sejak itu, hubungan kami terputus.
Tiga tahun lepas, saya mencari beliau di Penjom. Ibu beliau mengkhabarkan yang beliau kini bertugas di sebuah sekolah menengah, tidak jauh dari situ. Saya langsung menjejakinya di sekolah.
Tentu sahaja beliau terperanjat melihat saya setelah sekian lama tidak bertemu. Kami berbual panjang. Beliau sudah berkeluarga dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia.
Saya gembira mendengar cerita beliau.
Itu cerita tiga tahun dahulu.
Hari ini saya menerima SMS daripada beliau.
Selain ucapan tahniah atas perkahwinan saya, beliau memberitahu,
"Maaf tidak dapat hadir. Anak saya sedang dirawat di PPUM, PJ."
Saya segera menelefon beliau bagi mendapat cerita lanjut. Rupa-rupanya anak beliau berusia 5 tahun kini menghidap Leukemia, yang dikesan pada akhir tahun lalu. Sekarang beliau dan isteri berulang-alik dari Lipis ke PPUM setiap minggu bagi menguruskan rawatan anak beliau itu.Saya sempat memberitahu beliau yang saya akan segera menziarahi beliau di PPUM apabila pulang ke KL kelak.
Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan beliau pada saat-saat yang sukar ini.
Dan, Ya Allah, sembuhkanlah anak kawan rapatku ini. Amin...Amin...
Thursday, March 15, 2012
Tuesday, January 24, 2012
Stiker Sakti
Lupakan belon! Stiker ini ternyata senjata yang lebih sakti untuk seorang doktor badut.
![]() | ||
| Si cilik Faiz memilih stiker kesukaannya bagi dihiaskan pada enjin kereta sport beliau (err...Mesin IV sebenarnya). |
Labels:
Persatuan Red Bubbles
Monday, January 09, 2012
Berselipar ke Sekolah
Beberapa hari yang lalu, saya menerima emel daripada sahabat saya di Kota Kinabalu.
Beliau menulis,
Assalamualaikum.
Semoga tuan Iskandar sejahtera sentiasa.
Saya sempat berkunjung ke Madrasah Al Hikmah di Kg. Likas pada 4 Januari yang lepas, bagi meninjau hari pertama persekolahan mereka.
Ketika saya tiba, kelas Darjah 4 sedang berlangsung. Kelihatan pakaian sekolah mereka putih berseri-seri pada hari pertama persekolahan. Ada murid yang datang lengkap dengan kasut sekolah yang baru. Namun ada juga murid yang hanya datang ke sekolah dengan berselipar sahaja.
Murid-murid Darjah 4 sedang belajar.
Terharu saya melihat semangat dan persediaan murid-murid tersebut untuk menghadiri sesi persekolahan tahun baharu, meskipun sekolah mereka hanyalah sebuah bilik kayu kecil yang usang. Mungkin ia besar sedikit sahaja daripada bilik darjah SD Muhammadiyah dalam filem Laskar Pelangi. Di dalam ruang yang kecil itu, ada 4 papan hijau di setiap penjuru, justeru, setiap hari 4 kelas akan berjalan serentak.
Saya bertanya kepada guru-guru di sekolah itu mengenai jumlah pendaftaran pelajar bagi sesi tahun 2012 ini. Mereka menjawab, jumlah keseluruhan masih belum dapat mereka pastikan kerana pendaftaran sesi baru masih terbuka dan ia akan berlanjutan sehingga sepanjang tahun sehingga cukup jumlah pelajar yang dapat ditampung oleh bilik darjah.
Di suatu sudut lain, guru sedang mengurus pendaftaran murid bersama ibu bapa.
Sekarang ini, keadaan cuaca di Kota Kinabalu selalunya hujan di sebelah tengah hari dan kadangkala pada waktu petang. Lantas Saya terfikir bagaimana agaknya anak-anak sekolah ini pergi ke sekolah dan pulang ke rumah setiap hari dalam keadaan cuaca sebegini. Madrasatul Hikmah ini terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama yang menjadi tempat mereka menunggu bas. Ada juga di antara mereka yang pergi sekolah dengan berjalan kaki sahaja.
Si cilik, Afiq, sedang menunggu kakaknya yang sedang belajar di dalam kelas.
Justeru, selepas membaca warkah emel daripada sahabat saya di Sabah ini, saya teringat kata-kata Nelson Mandela,
"Education is the most powerful weapon which you can use to change the world."
Nota pendek: Mahukah tuan dan puan yang budiman mengubah hidup anak-anak ini? Jika tuan dan puan ingin membantu mereka mendapat nikmat pendidikan dalam hidup mereka, mohon hubungi saya melalui FB atau emel: adabi99@gmail.com.
Labels:
Projek Sekolah Madrasatul Hikmah
Wednesday, December 28, 2011
Meraikan Gedung Ilmu Teratak Rahmat
![]() |
| Mereka yang menerima manfaat sebuah perpustakaan! |
Kata sahabat saya, Nasrun yang mengikuti perjalanan projek perpustakaan di rumah-rumah anak yatim sejak 2008, "This is the best project we've done so far."
Saya bersetuju kerana inilah kali pertama saya melihat komitmen yang diberikan oleh semua pihak yang berkepentingan (stakeholders), RISM dan Teratak Rahmat melebihi apa yang diharapkan. Malah, saya benar-benar terharu melihat komitmen 200% yang diberikan oleh semua warga Teratak Rahmat. Daripada layanan yang mesra sehinggalah kepada persiapan majlis sambutan yang dilaksanakan dengan begitu profesional. Ada di antara mereka yang tidak tidur malam semata-mata kerana mahu menyiapkan kemasan akhir perpustakaan sebelum ia dirasmikan. Syabas!
Sayang sekali salah seorang dermawan budiman yang memainkan peranan penting dalam penubuhan perpustakaan ini tidak dapat hadir bersama pada hari perasmian Perpustakaan Kanak-kanak RISM-ICI di Teratak Rahmat. Beliau sedang berehat di London selepas pembedahan pintasan jantung. Namun pada pagi hari perasmian, beliau ada menghubungi kami bertanyakan perkembangan akhir projek ini. Terima kasih tiada terhingga kepada Dr. Khoo Boon Khean atas kesungguhan beliau memastikan projek ini berjaya dilaksanakan.
Bagi melihat foto-foto semasa majlis perasmian perpustakaan, mohon klik di Album Facebook saya ini.
Teratak Rahmat juga menulis entri mengenai majlis perasmian perpustakaan itu di SINI.
Terima kasih tuan-tuan yang dermawan yang telah menyumbang kepada kejayaan projek perpustakaan terakhir saya buat masa ini. Saya berdoa agar tuan-tuan yang budiman terus dimurahkan rezeki. Amin...Amin...
Saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya kepada usaha Red Bubbles menghibur pesakit kanak-kanak di hospital pula selepas ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)





