Wednesday, October 28, 2009

Kata Hati

Lambat-laun kita menerima kebenaran yang datang dari kata hati kita.

Friday, October 16, 2009

Seorang tua di kedai buku


Catatan 'idea' beliau yang sempat saya rakam senja tadi.


Saya selalu terserempak dengan beliau di kedai buku.

Senja tadi selepas pulang dari tempat kerja, saya menuju ke The Times Bookshop di Pavilion.

Saya ternampak beliau di antara rak-rak buku dan menyapanya.

Seperti kebiasaan beliau bertanya,

"Saya dengar kamu pergi ke luar negeri baru-baru ini?"

"Betul.Saya ke Padang pada minggu yang lalu", saya mengiyakan pertanyaannya itu.

Perbualan kami seterusnya berkisar tentang gempa di Sumatera Barat sebelum dia berkata,

"Kamu harus menulis pengalaman kamu itu."

Saya tersenyum. Sudah berkali-kali seingat saya beliau mengingati tentang hal ini tanpa jemu.

"Jangan difikirkan tentang sebuah buku. Tulis sahaja 'esei' dan bab pendek-pendek.Kemudian baru dirasionalkan bab-bab tersebut," terang beliau.

"Catat segala idea."

Beliau kemudian mengeluarkan buku nota kajang saiz A4 dari beg galasnya.

"Lihat, ini catatan saya pada hari ini."

Benar.Catatannya 'berterabur'.Tiada susunan yang logik.

"Ah.Saya ada satu idea lagi untuk kamu".

"Gunakan perakam suara untuk mencatatkan idea-idea kamu."

"Saya pernah gunakan ia semasa berkelana ke Jerman dan masih tersimpan baik".

Saya terus mendengar dengan tekun. Pada pertemuan kali ini, perbualan kami agak panjang dan beliau terus bercerita panjang lebar tentang proses penulisan yang dilakukan beliau selama ini.

"Ingat, menulis ini untung!"

"Penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh penulis dan kemudiannya diterjemahkan dalam penulisan amat bernilai kerana ia akan terus dapat dinikmati oleh pembaca".

Saya benar-benar teruja dengan nasihat-nasihat beliau dan terus menulis nota ini sebaik sahaja pulang ke rumah kerana takut terlupa apa yang dikatakan beliau.

Saya akan terus menulis.
Terima kasih Pak Samad* kerana sudi berkongsi ilmu!
*Nota: Pak Samad atau dikenali ramai sebagai Sasterawan Negara A.Samad Said