Thursday, March 15, 2012

Kawan Rapat

Ketika tinggal di Penjom sekitar 1980-1986, sahabat baik saya ialah Shahril.

Saya masih ingat ketika saya menetap sementara di Johor Bahru pada tahun 1985, beliau mengirim surat dari Penjom.

Sampul surat sahaja yang besar. Suratnya hanya bersaiz sebesar 3 jari.

, " Apa khabar Jis? Harap awak sihat di sana. Jangan lupa saya di sini."

Ringkas sahaja kandungan surat beliau itu.

Namun ia sentiasa saya ingati sehingga kini.

Keluarga saya kemudian berpindah ke Kuala Lipis dan akhirnya ke Jerantut.

Sejak itu, hubungan kami terputus.

Tiga tahun lepas, saya mencari beliau di Penjom. Ibu beliau mengkhabarkan yang beliau kini bertugas di sebuah sekolah menengah, tidak jauh dari situ. Saya langsung menjejakinya di sekolah.

Tentu sahaja beliau terperanjat melihat saya setelah sekian lama tidak bertemu. Kami berbual panjang. Beliau sudah berkeluarga dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia.

Saya gembira mendengar cerita beliau.

Itu cerita tiga tahun dahulu.

Hari ini saya menerima SMS daripada beliau.

Selain ucapan tahniah atas perkahwinan saya, beliau memberitahu,

"Maaf tidak dapat hadir. Anak saya sedang dirawat di PPUM, PJ."

Saya segera menelefon beliau bagi mendapat cerita lanjut. Rupa-rupanya anak beliau berusia 5 tahun kini menghidap Leukemia, yang dikesan pada akhir tahun lalu. Sekarang beliau dan isteri berulang-alik dari Lipis ke PPUM setiap minggu bagi menguruskan rawatan anak beliau itu.Saya sempat memberitahu beliau yang saya akan segera menziarahi beliau di PPUM apabila pulang ke KL kelak.

Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan beliau pada saat-saat yang sukar ini.

Dan, Ya Allah, sembuhkanlah anak kawan rapatku ini. Amin...Amin...