Tuesday, January 24, 2012

Stiker Sakti






Lupakan belon! Stiker ini ternyata senjata yang lebih sakti untuk seorang doktor badut. 

Si cilik Faiz memilih stiker kesukaannya bagi dihiaskan pada enjin kereta sport beliau (err...Mesin IV sebenarnya).






Monday, January 09, 2012

Berselipar ke Sekolah

Beberapa hari yang lalu, saya menerima emel daripada sahabat saya di Kota Kinabalu.

Beliau menulis, 

Assalamualaikum.

Semoga tuan Iskandar sejahtera sentiasa.

Saya sempat berkunjung ke Madrasah Al Hikmah di Kg. Likas pada 4 Januari yang lepas, bagi meninjau hari pertama persekolahan mereka.

Ketika saya tiba, kelas Darjah 4 sedang berlangsung. Kelihatan pakaian sekolah mereka putih berseri-seri pada hari pertama persekolahan. Ada murid yang datang lengkap dengan kasut sekolah yang baru. Namun ada juga murid yang hanya datang ke sekolah dengan berselipar sahaja.

Murid-murid Darjah 4 sedang belajar.

Terharu saya melihat semangat dan persediaan murid-murid tersebut untuk menghadiri sesi persekolahan tahun baharu, meskipun sekolah mereka hanyalah sebuah bilik kayu kecil yang usang.  Mungkin ia besar sedikit sahaja daripada bilik darjah SD Muhammadiyah dalam filem Laskar Pelangi. Di dalam ruang  yang kecil itu, ada 4 papan hijau di setiap penjuru, justeru, setiap hari 4 kelas akan berjalan serentak.

Saya bertanya kepada guru-guru di sekolah itu mengenai jumlah pendaftaran pelajar bagi sesi tahun 2012 ini. Mereka menjawab, jumlah keseluruhan masih belum dapat mereka pastikan kerana pendaftaran sesi baru masih terbuka dan ia akan berlanjutan sehingga sepanjang tahun sehingga cukup jumlah pelajar yang dapat ditampung oleh bilik darjah.

Di suatu sudut lain, guru sedang mengurus pendaftaran murid bersama ibu bapa.


Sekarang ini, keadaan cuaca di Kota Kinabalu selalunya hujan di sebelah tengah hari dan kadangkala pada waktu petang. Lantas Saya terfikir bagaimana agaknya anak-anak sekolah ini pergi ke sekolah dan pulang ke rumah setiap hari dalam keadaan cuaca sebegini. Madrasatul Hikmah ini terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama yang menjadi  tempat mereka menunggu bas. Ada juga di antara  mereka yang pergi sekolah dengan berjalan kaki sahaja.

Si cilik, Afiq, sedang menunggu kakaknya yang sedang belajar di dalam kelas.


Justeru, selepas membaca warkah emel daripada sahabat saya di Sabah ini, saya teringat kata-kata Nelson Mandela, 

"Education is the most powerful weapon which you can use to change the world."


Nota pendek:  Mahukah tuan dan puan yang budiman mengubah hidup anak-anak ini? Jika tuan dan puan ingin membantu mereka mendapat nikmat pendidikan dalam hidup mereka, mohon hubungi saya melalui FB atau emel: adabi99@gmail.com.