Thursday, July 01, 2010

Percaya atau tidak percaya?





Telefon saya berdering-dering ketika saya memandu pulang ke pejabat selepas menghadiri Majlis Pelepasan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia ke London di Seri Utusan, Bangi pagi tadi. Nombor yang tertera tidaklah dikenali.

Saya mengambil keputusan untuk berhenti sebentar di stesen minyak di tepi lebuhraya untuk menjawab panggilan itu.

Seorang pemuda OKU bernama Zul daripada Cheras menelefon meminta bantuan kami.

Beliau memberitahu, dia dan ibunya, seorang ibu tunggal dan pandai menjahit telah kesempitan wang kerana sumber pendapatan mereka terjejas apabila mesin jahit mereka rosak.

Sewa rumah mereka sudah dua bulan tidak berbayar kerana mereka tidak dapat menerima tempahan baju daripada pelanggan dek mesin jahit yang rosak itu.

Walaupun mereka menerima bantuan JKM, tetapi masih tidak cukup untuk membayar sewa rumah mereka itu.

Beliau yang membaca tentang usaha kemanusiaan Islamic Relief di akhbar ingin memohon bantuan sebanyak RM700 untuk membaiki atau membeli mesin jahit yang baru secepat mungkin.

"Sekarang masih bulan Rejab, saya yakin kami masih sempat untuk menjahit baju tempahan untuk hari Raya nanti.Kami amat memerlukan mesin jahit itu. Jika tidak diberikan sekalipun, kami sanggup meminjam dana daripada Islamic Relief untuk membaikinya atau membeli mesin jahit yang baru."

Malah beliau menawarkan,

"Saya juga mempunyai kemahiran IT dan Multimedia namun tiada majikan yang mahu mengambil saya bekerja kerana mereka tidak menerima pekerja yang akan kerap bercuti seperti saya kerana saya perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan dialisis setiap minggu. Jika tuan perlukan bantuan di dalam hal IT saya boleh membantu."

"Beginilah Tuan Zul, bolehkah tuan datang ke pejabat kami minggu hadapan untuk berbincang? Bawalah segala dokumen pengesahan latar belakang keluarga tuan bersama-sama.Saya pada masa ini tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana saya harus merujuk perkara ini kepada pihak pengurusan."

"Saya rasa sudah agak lambat tuan.Kalau boleh saya mahu jumpa hari ini juga kerana petang ini tuan rumah yang kami sewakan ini akan datang petang ini untuk menghalau kami." beliau merayu.

"Bertenanglah tuan, berapa jumlah sewa rumah yang tertunggak?" Saya mula mencari fakta dan mula memikirkan solusi pantas.

"RM400."

"OK, berikan saya nombor akaun tuan. Saya dahulukan duit saya dahulu.Tuan bayarlah sewa rumah itu segera.Minggu hadapan tuan datanglah ke pejabat dengan membawa dokumen yang berkaitan."

Senyap di hujung telefon.

"Tuan?"

"Terima kasih tuan kerana mempercayai saya. Terima kasih tuan!Saya akan SMSkan no akaun sebentar lagi." beliau menjawab.

"Tidak mengapa.Kita jumpa minggu hadapan."

Setelah selesai menjawab panggilan itu, saya segera beredar memandu kereta kembali menuju ke pejabat.

Setelah meletakkan kereta di parkir dan sedang saya mengambil beg di dalam kereta untuk naik ke pejabat, tiba-tiba seorang lelaki berpakaian kemas dan bertali leher yang sedang menunggang motosikal berhenti ditepi kereta,

"Minta maaf encik, boleh encik bantu saya?Saya perlukan duit untuk mengisi minyak untuk pulang ke Seremban. Saya sudah malu bertanya ramai orang, semua tidak mahu membantu."

Saya segera mengeluarkan dompet dan melihat ada sekeping not RM10. Saya hulurkan tanpa banyak soal kepada beliau.

"Terima kasih tuan. Bagaimana saya boleh membayar semula duit tuan ini?"

"Tidak mengapa. Tuan 'bayar'kanlah dengan membantu orang lain pula."

Beliau pun beredar menuju ke arah lebuhraya ke Seremban.

Saya berjalan menuju ke pintu lif di pejabat. Saya ternampak seorang wanita Cina tua sedang duduk berlunjur di laluan ke lif. Beliau sedang rancak berbual menelefon dengan menggunakan telefon bimbit. Pakaiannya lusuh. Saya ternampak pula cawan plastik di sisinya dengan not RM1 di dalamnya.

"Wah! Seorang pengemis sedang menggunakan telefon bimbit!" kata hati saya.

Tema pelajaran hidup yang saya pelajari hari ini: Mahu percaya atau tidak mempercayai?