Friday, December 31, 2010

2011, tahun seribu peluang



Lapan tahun dahulu, saya menulis artikel ini di dalam akhbar Malay Mail.

Ia mencatatkan rasa dan pengalaman saya mencari karakter badut di dalam diri nun jauh sehingga ke bandar kecil bernama La Crosse di Wisconsin pada musim panas tahun 2003.

Ketika melabuhkan tubuh di dalam pesawat MAS menuju ke New York City pada suatu malam, mata merenung jauh keluar tingkap pesawat dan hati berkata,

"Apakah benarkah semua ini?"

Saya tidak percaya ia benar-benar terjadi.

Segala penat lelah dan kepayahan selama dua tahun untuk mencipta episod 'mimpi' itu lenyap serta-merta.

Alhamdulillah.

Lapan tahun kemudian, saya kembali mengejar sambungan episod mimpi itu.

Seorang sahabat telah berjaya membunuh kebimbangan dan ketakutan di hati saya sejak beberapa waktu dengan kata-katanya,

"Anggaplah ini suatu peluang."

Saya bersetuju.

Ya, tahun ini, tahun seribu peluang!

Semoga Allah mempermudahkan jalan hidupku ini. Amin!


Tuesday, December 21, 2010

Asahlah kapakmu itu!


Sumber Foto: Sini

Sambil melabuhkan punggung di atas perdu sebatang pokok, Ali menegur kawannya, Salim yang sedang tidur-tidur di atas tanah, "Wah! Lim, pokok kayu yang kamu tebang lebih banyak daripada aku!"

Salim menguntum senyuman di dalam keletihan.

Ali dan Salim mencari rezeki dengan mengambil upah membersihkan kebun dan belukar di kampung mereka.

Kali ini ini mereka telah diupah oleh seorang tuan tanah untuk membersihkan sebidang tanah belukar yang akan dijadikan tanah pertanian. Selama seharian mereka membanting tulang untuk menyiapkan tugasan mereka.

Sambil meneguk sebotol air yang dibekalkan oleh isterinya, Ali berkata, "Aku menebang pokok tanpa henti daripada pagi ketika membersihkan kawasan aku itu. Namun, aku juga sempat memerhati gelagat kamu sejak pagi tadi. Aku lihat kamu akan bekerja sekejap dan kemudian kamu akan berhenti berehat. Namun, apabila tugas kita selesai untuk hari ini, kawasan belukar yang engkau bersihkan lebih luas daripada aku."

“Kamu guna jinkah untuk membantu?”

Salim ketawa mendengar kata-kata si Ali itu.

Salim bangun dari perbaringannya dan berkata, "Engkau hendak tahu apakah rahsia kehebatan aku itu, Ali?"

Gurau si Ali sambil membaling ranting kayu kecil ke arah Salim yang segera mengelak ranting itu, "Ah, ceritakanlah rahsia besarmu itu kepadaku."

"Benar katamu itu. Aku bekerja bersungguh-sungguh, menebang pokok selama 50 minit dan kemudian aku akan berehat selama 10 minit. Itulah rutinku selama seharian ini." Salim bercerita membuka rahsia.

Sambil mengelap peluh di wajahnya, beliau menambah, "Namun, kamu tahu apakah yang aku lakukan semasa aku berehat selama 10 minit itu?"

"Ha, apakah yang kamu lakukan?" Ali tidak sabar untuk mengetahui jawapan Salim.

"Aku manfaatkan 10 minit itu untuk mengasah kapak kepunyaanku. Apabila kapak itu kuasah agar ia kembali tajam, lebih mudahlah aku menebang pokok dengan pantas!".


Tuesday, December 07, 2010

Tenang



Pagi tadi ketika memasuki kereta untuk pulang ke rumah setelah selesai minum pagi, saya tertarik hati melihat seekor kucing hitam mendaki tubuh seorang lelaki gelandangan yang sering kelihatan berlegar-legar di deretan kedai di Ampang Jaya ini.

Kucing itu mendaki dengan penuh berhati-hati dan merebahkan badannya perlahan-lahan di atas dada si gelandangan itu. Matanya semakin redup dan perlahan-lahan tertutup. Enak sungguh ia berbaring-baring di atas badan lelaki itu!

Sesekali si gelandangan itu mengusap tubuhnya. Tatkala, si gelandangan mengalihkan badannya, si kucing itu melorot jatuh ke lantai. Ia kembali mendaki dan rebah-rebah kembali di atas dadanya.

Si gelandangan itu tersenyum sambil mengusap-usap bulunya.

Saya terfikir betapa si kucing hitam itu seolah-olah tahu tempat yang terbaik untuknya merehatkan tubuh adalah di atas dada yang nafasnya sentiasa naik turun dengan tenang sepanjang hayat.

Friday, November 19, 2010

Pengemis atau seniman?


Sepasang warga tua ini mengemis dari meja ke meja di sebuah restoran dengan menghulurkan secawan kertas kepada para pelanggan.


Apabila mereka tiba di meja kami, saya mengerling kepada rebab yang dikelek lelaki itu.

Saya bertanya, "Tuan boleh memainkan satu lagu untuk saya?"

Beliau mengangguk-angguk.

Saya menghulurkan kerusi kepada beliau. Beliau duduk sambil memasang alat pendengaran di telinga dan terus menggesek rebab yang berbadankan tempurung kelapa.


Isterinya yang berdiri disisi beliau tiba-tiba mendendangkan sebuah lagu Cina.

Sejujurnya, tiada apa-apa yang istimewa daripada persembahan mereka. Suara isterinya pula serak-serak sahaja. Alunan rebab yang digesekkan beliau itu tidaklah begitu merdu.


Namun, apabila mereka selesai membuat persembahan spontan itu, saya bertepuk tangan dan lantas mengeluarkan duit not merah daripada dompet dan memberikan kepada mereka.

Wanita itu sambil tersenyum mengucapkan sesuatu di dalam Bahasa Cina. Saya tidak dapat menangkap maksudnya, namun saya menjangkakan bahawa beliau menyatakan rasa terima kasih mereka.


Apabila mereka mendekati saya sebelum ini, boleh sahaja saya memberikan RM1 kepada mereka dan mengharapkan mereka beredar pergi dengan segera.

Namun saya tidak mahu melakukan sebegitu kerana dengan berbuat demikian, kita akan sentiasa melihat mereka hanyalah sebagai pengemis jalanan.


Dengan membayar sedikit wang saguhati kepada mereka untuk menikmati suatu persembahan seni (walaupun sekadar persembahan gesekan muzik rebab dan nyanyian yang biasa-biasa sahaja) , setidak-tidaknya kita melihat mereka sebagai seniman jalanan.

Dan hari ini, biarlah saya memilih untuk melihat dan menghormati mereka sebagai seniman kerana maruah sebagai seorang seniman walaupun menghiburkan khalayak di jalanan, nyata ia lebih tinggi darjatnya daripada mengemis!

Tuesday, November 02, 2010

Kunci Kejayaan

Saya menyangka saya tergolong di kalangan orang-orang yang bijak pandai.


Barangkali itulah tanggapan saya sejak di sekolah rendah sehingga saya berada di Tingkatan Tiga di STAR Ipoh.


Apabila keputusan SRP diumumkan pada tahun 1991, saya berjaya mendapat pangkat 7A1 1A2.


"Wah! Akulah antara pelajar yang hebat di STAR!", saya berbangga.


Akibatnya, semasa di Tingkatan Empat semangat tahun "Bulan Madu" yang sering diperkatakan oleh pelajar senior mula meresap di dalam jiwa.


Saya mulai leka.


Saya ponteng kelas sesuka hati. Apabila rakan-rakan satu bilik di asrama bergegas menuju ke kelas pada waktu pagi, saya pula tidur di bawah katil untuk mengelak daripada ditangkap warden. Kadang-kadang saya berlindung di bilik sakit, berpura-pura demam atau sakit perut.


Seingat saya, hanya sekali sahaja saya berjaya ditangkap oleh warden, itu pun saya berjaya melepaskan diri daripada dikenakan tindakan disiplin dengan alibi yang kuat; saya memang tidak sihat pada hari itu dan sudah mendapat kebenaran guru bertugas untuk ke bilik sakit. Namun, bilik sakit pula berkunci, Maka, saya pun terus pulang ke asrama dan tidur di atas katil sebelum dikejutkan oleh warden yang membuat rondaan di asrama.


Jika dicongak-congak, hampir separuh tahun saya tidak menjejakkan kaki ke kelas. Pernah sekali, apabila saya tergerak hati untuk hadir ke kelas Bahasa Inggeris, guru yang sedang mengajar di hadapan kelas tiba-tiba bertanya kepada saya,


"Siapakah kamu? Saya tidak pernah nampak kamu sebelum ini."


Saya hanya mampu tersengih seperti kerang busuk.


Jika saya hadir ke kelas sekalipun, saya akan tidur tanpa menghiraukan guru yang sedang mengajar di hadapan.


Justeru, hukum sebab dan kesan pun memainkan peranannya.


Akibatnya prestasi akademik saya merosot.


Daripada seorang pelajar yang cemerlang semasa SRP dengan keputusan yang membanggakan, saya bertukar menjadi pelajar yang tercorot di kelas yang terpintar. Keputusan agregat peperiksaan saya hanya mencecah pangkat 2 sahaja. Tidak pernah berjaya untuk merasa agregat Pangkat 1 langsung sedangkan rata-rata pelajar di kelas no. 1 dengan mudahnya mendapat pangkat 1.


Namun pada penghujung tahun, semasa perhimpunan pagi terakhir di dewan sekolah sebelum cuti penggal bermula, Tuan Pengetua tiba-tiba mengumumkan kepada semua pelajar Tingkatan Empat,


"Sesiapa yang tidak berjaya untuk memperbaiki keputusan ujian pertama pada Tingkatan Lima kelak dan mendapatkan gred 1, mereka akan dibuang sekolah!"


Kata-kata itu bagaikan halilintar yang memanah jiwa saya.


Saya tersedar daripada alam mimpi yang saya nikmati selama ini.


Cuti penggal terakhir semasa di Tingkatan Empat itu merupakan tempoh perubahan di dalam hidup saya.


Saya tekad untuk berubah. Saya tidak mahu dibuang sekolah apabila naik ke Tingkatan Lima kelak.


Setiap hari, saya akan mengulangkaji pelajaran tanpa perlu disuruh-suruh. Ibu bapa saya pun terkejut apabila melihat anaknya ini kembali tekun mengulangkaji pelajaran.


Tentu sahaja ia merupakan tempoh sukar bagi seorang pelajar yang hampir enam bulan tidak menghadirkan diri ke kelas sehingga gurunya tidak mengenalinya langsung. Namun, saya secara beransur-ansur mentelaah dan cuba memahami subjek-subjek pelajaran yang sukar dan kompleks seperti Matematik Tambahan dan Sains seperti Fizik,Kimia dan Biologi.


Setiap hari saya membuat latihan matematik tambahan tanpa jemu dan mengingati persamaan kimia yang memeningkan!


Apabila kami kembali ke sekolah pada awal bulan Januari tahun 1993, hukum sebab dan kesan memberi kesan terhadap kehidupan saya sebagai pelajar. Saya telah diturunkan kelas daripada kelas no.1 kepada kelas no.2. Saya dapat menerima hakikat itu dengan baik malah ia benar-benar membakar semangat saya untuk membuktikan bahawa saya akan bangkit semula!


Namun kata-kata Tuan Pengetua semasa perhimpunan pagi yang mengingatkan kami tentang janji yang akan dikotanya itu benar-benar menggerunkan saya,


"Ingat! Ujian bulanan yang pertama pada hujung bulan ini akan menentukan nasib kalian. Jika kamu tidak berjaya mendapatkan gred 1 di dalam ujian ini, anda diminta keluar dengan hormatnya dari sekolah ini."


Wajah ibu bapa saya yang mengharapkan agar anaknya ini meraih kejayaan terbayang di benak fikiran.


Namun, saya menduduki ujian bulanan pada bulan itu dengan rasa tenang. Saya tidak berasa terlalu yakin atau pun gementar. Apa yang saya fikirkan ialah untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan sebaik mungkin.


Setelah selesai menduduki ujian, kami mengikuti kelas seperti biasa. Saya tidak pernah lagi ponteng kelas dan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru, saya berusaha untuk menyiapkannya dengan segera.


Rutin hidup saya di asrama juga sudah berubah. Kini, sayalah yang terawal sekali tiba di dewan makan pada jam 6.30 pagi lagi untuk bersarapan. Pada pukul 7.00 pagi, saya sudah tiba di kelas sebelum pelajar-pelajar lain datang demi untuk mentelaah subjek-subjek pelajaran yang akan diajar guru pada hari itu.


Di dalam kelas pula, saya akan mengambil nota-nota pendek dan akan segera mengulangkajinya pada sebelah petang sewaktu kelas persediaan.


Jika kelas persediaan hanya bermula pada jam 3.30 petang sehingga jam 4.30 petang, saya sudah tiba di kelas pada jam 2.45 petang atau 3.00 petang. Di dalam tempoh masa 30 - 45 minit sebelum itu, saya dapat tidur sekejap di asrama , membersihkan diri dan bersolat.


Pendek kata, saya benar-benar berubah.


Beberapa minggu selepas ujian pertama itu, tiba-tiba suasana kelas no. 2 menjadi hingar-bingar apabila guru kelas yang juga guru Kimia mengumumkan keputusan ujian itu kepada kami,


" Ada salah seorang pelajar daripada kelas ini telah berjaya mendapatkan markah ujian Kimia terbaik dan mengatasi markah pelajar terpintar di kelas no.1!"


"Siapakah dia, cikgu?" seorang pelajar bertanya.


"Itulah orangnya!" beliau menunjukkan jarinya tepat ke arah saya.


Tentu sahaja ia mengejutkan saya sendiri. Dalam pada ketika rakan-rakan sekelas berkerumun mengucapkan taniah dan menepuk-nepuk bahu saya, saya menyedari bahawa kejayaan pada hari itu berjaya dicapai dengan dua anak kunci.


Kunci yang pertama ialah usaha gigih dan kunci yang kedua ialah disiplin di dalam hidup kita.


Apabila saya merenung kembali, saya bukanlah orang yang pintar atau cerdik di dalam sesuatu perkara. Saya hanya ada dua kunci itu untuk membuka pintu kejayaan di dalam hidup!


Ingat! Hanya usaha dan disiplin diri!


Monday, October 18, 2010

Modalnya hanya RM50!




"Kamu berniaga apa sekarang?" tiba-tiba tuan punya kedai makan di sebelah Masjid Kg. Melayu Ampang itu bertanya ketika saya hendak menghulurkan bayaran untuk makan malam saya, lewat senja tadi.

Pelik juga soalan beliau itu, apatah lagi saya sedang memakai uniform rasmi yang tidak menggambarkan saya sebagai seorang yang terlibat di dalam bisnes. Namun pertanyaan itu beliau ajukan dengan penuh yakin, seolah-olah beliau mengetahui perkembangan hidup saya kebelakangan ini.

Sambil tersipu-sipu, saya membuka rahsia, "Bisnes kecil-kecilan sahaja, makcik."

"Kamu tahu, ketika makcik mula-mula berniaga dahulu, makcik hanya bermodalkan RM50 sahaja!"

"Wah!Benarkah begitu?" kata saya terkejut. Terngiang-ngiang di fikiran kata-kata Tuan Shamsuddin Kadir yang pernah memberitahu bahawa beliau meletakkan cabaran kepada dirinya untuk memulakan sebarang perniagaan dengan modal sebanyak RM100 sahaja.

"Benar. Makcik dahulu berniaga ikan segar dengan hanya bermodalkan RM50 sahaja. Sedikit demi sedikit makcik mengumpul modal untuk mengembangkan bisnes makcik. Ini kisah pengalaman makcik lebih 20 tahun yang lalu. Makcik berniaga gerai makan di tepi masjid ini pun sudah 13 tahun," sambil beliau menunjukkan ke gerai yang saya selalu kunjungi ini.

Beliau terus bercerita bagaimana beliau menjual ikan segar kepada pelanggan di sekitar Kg.Melayu Ampang.Dengan berkat rezeki perniagaan beliau yang bermula dengan modal RM50 itulah, beliau dapat menunaikan umrah dan haji beberapa kali bersama-sama ahli keluarganya.

Nasihat beliau yang masih segar di dalam fikiran saya, "Jangan tinggalkan solat Dhuha. Selepas makcik menyelesaikan kerja-kerja memasak di dapur, makcik akan bersolat Dhuha setiap hari.Malam-malam pula makcik akan bersolat Tahajjud.Kamu amalkanlah, Insya Allah, Allah akan bukakan pintu rezekimu."

"Anak, janganlah kamu risau apabila berniaga. Kita harus rajin dan tabah," beliau terus menasihati.

"Yang penting, kamu jangan sesekali mengalah!" tegasnya.

"Apabila kita merintih, meminta pertolongan daripadaNya, Allah itu Maha Mendengar dan Dia akan memakbulkan doa kita. Makcik percaya kepada hakikat itu."

Menyedari masa tidak mengizinkan, saya bermohon kepada beliau untuk beredar dan mengucapkan terima kasih di atas nasihat-nasihat beliau itu.

"Tahukah siapa yang memberikan poster mutiara kata yang kamu lihat bergantungan di sekeliling kedai makcik ini?" tiba-tiba beliau menyoal.


"Siapa makcik?" tanya saya berminat dan saya tidak jadi untuk melangkah pulang.

Kedai makan beliau sememangnya dihiasi dengan poster-poster mutiara kata yang sentiasa menarik perhatian saya setiap kali singgah di kedai beliau. Jarang-jarang saya lihat kedai makan yang berkonsep sebegini. Saya amat suka kerana sambil kita menikmati makanan, kita dapat juga menikmati 'santapan jiwa' dengan kata-kata yang memberi semangat dan yang mengajak kita untuk berfikir.



"Poster-poster itu diberikan oleh Tuan Haji AWY. Beliau itu abang kandung makcik!"

Oh! Rupa-rupanya Tuan Haji AWY, seorang ahli perniagaan yang berjaya di dalam bisnes penerbitan buku di tanah air adalah abang kandung beliau. Sebuah majalah terbitan syarikat beliau laku keras sehingga diulang-cetak beberapa kali.

Hebat!

Secret Story



Mini Secret Story Seronok & Santai 24 Oktober 2010 (terbuka kepada 10 peserta sahaja)

Tuan Iskandar Syah Ismail (Dr Bubbles : http://drbubbles.blogspot.com/) akan menjadi pembongkar rahsia seterusnya dan bakal menggunakan buku Toilet Paper Origami ini untuk menceritakan bagaimana kita boleh mengaplikasikan seni 'hospital clowning' ketika melawat kanak-kanak sakit.

Beliau juga bakal berkongsi tip penting cara berinteraksi dengan orang awam strangers/audience) dengan menggunakan teknik 'asking permission by breathing' dan menggunakan sedikit pendekatan clowning.

Program satu jam ini berlangsung di : 31-4-2, Jalan 3/50, Diamond Square Business Center, Off Jalan Gombak, 53000, Kuala Lumpur, Malaysia.

Untuk mendaftar/menghadiri program ini, klik pada pautan di SINI.

Thursday, October 14, 2010

Selesai Masalah Dengan Berkhayal!

(Setem kenangan memperingati kejayaan F.A Kukule menemui struktur molekul Benzena)

Selama seharian seorang ahli kimia berbangsa Jerman, Friedrich Kukule sarat berfikir namun buntu jua.

Tentu sahaja berehat di hadapan api pendiang merupakan cara terbaik untuk beliau menenangkan jiwa dan membiarkan fikiran menerawang pada malam yang sungguh dingin di dalam tahun 1865.

Beliau terpesona melihat bara api yang berterbangan di pendiangan itu. Percikan bara api itu berterbangan di dalam bentuk lingkaran membuatkan beliau tenggelam di dalam khayalan.

Di dalam khayalan beliau, beliau membayangkan bara api itu sedang menari meliuk-liuk seperti seekor ular.

Tidak semena-mena, 'ular' itu memakan 'ekor'nya seolah-olah membentuk satu bulatan!


Beliau tiba-tiba sedar daripada lamunan dan berteriak,


"Itulah jawapannya!"


"Lingkaran seperti gelang."

Itulah rupa-rupanya struktur kimia molekul Benzena (Benzene) yang beliau telah cari-cari selama ini.

Kejayaan Tuan Kukule menemui struktur molekul Benzena merupakan suatu kejayaan yang besar di dalam dunia sains kimia organik!

Namun apa yang menariknya ialah bagaimana beliau menyelesaikan suatu permasalahan yang kompleks dengan hanya berkhayal dan mengelamun!



(Struktur molekul Benzena yang dibayangkan Kukule.)

Wednesday, October 13, 2010

Panas!

Panas!

Sudah berhari-hari Kuala Lumpur dilanda cuaca panas.

Malam yang panas ini mengingatkan saya kenangan berkelana ke Vientiane, Laos lapan tahun dahulu.

Apabila Vientiane dilanda musim kemarau, suhu bisa mencecah sehingga 45 C!

Dan malam-malam sebegini, saya akan tersadai di Hotel Lao Plaza di tengah-tengah kota Vientiane untuk berlindung dan menikmati udara dingin penyaman udara di lobi hotel.

Hanya setelah jarum jam mencecah jam 12 malam, barulah saya pulang ke rumah penginapan. Itulah rutin setiap malam.

Jika saya boleh bertahan di Vientiane dengan cuaca yang melampau seperti itu, apalah sangat jika dibandingkan dengan malam yang panas di Kuala Lumpur ketika ini.

Saya cuba memujuk diri sendiri!

Resmi Penyu



"Ikutlah resmi seekor penyu, wahai anakku!" pesan seorang ibu kepada anaknya yang sedang bermain-main di ruang tamu rumah mereka.

Anaknya pula menyoal, "Penyu?"

Ibu menerangkan, "Tahukah anakku, bahawa sifat penyu mempunyai cengkerang luar yang keras dan badannya lembut di dalam."

"Oh, ia sama seperti seekor kura-kura, ya Ibu?"

"Tidak. Penyu tidak boleh menarik lehernya masuk ke dalam cengkerang seperti kura-kura. Lehernya sentiasa berada di luar."

"Jadi, mengapa ibu mahu saya menjadi seperti seekor penyu?"

"Anakku, jika kamu mahu mencapai kejayaan di dalam hidup, cengkerang yang keras itu menggambarkan fokus dan komitmenmu terhadap matlamat yang ingin dicapai."

"Tubuhmu yang lembut di dalam cengkerang pula membawa erti keghairahan terhadap cita-citamu."

"Manakala, lehermu yang sentiasa terjulur keluar pula melambangkan keyakinan dirimu, kegigihan dan semangat berpasukan yang tinggi!"

Nota: Berpegang kepada nasihat ibunya, Nikki Stone, anak kecil berusia 5 tahun itu kemudiannya berusaha bersungguh-sungguh sehingga dewasa untuk menjadi atlet aerial free-style skiing yang terkemuka di dunia.

Nikki kemudian berjaya mengatasi rintangan kecederaan tulang belakang yang dialaminya ketika berlatih dan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 1998.


Tuesday, October 05, 2010

Senyumlah!


"Terima kasih!" ujar jurutol sambil tersenyum apabila saya menghulurkan wang kecil untuk membayar tol di lebuhraya AKLEH pagi semalam.

Wah! Bayaran tol sebanyak RM1.50 tidak terasa mahal apabila ia dibalas oleh senyuman yang manis dan ikhlas!

Ketika pulang ke rumah melalui tol yang sama malam tadi, sekali lagi saya teruja apabila jurutol melemparkan senyuman kepada saya ketika menyambut wang kecil yang dihulurkan.

Tekanan dan keletihan sepanjang hari hilang serta merta dek senyuman ikhlas yang dilemparkan oleh para jurutol itu. (Saya seperti mahu menulis nota terima kasih kepada Prolintas, syarikat yang menyelenggara AKLEH di atas perkhidmatan luar biasa mereka yang saya nikmati hari ini.)

Petang semalam, ketika melawat sebuah rumah anak yatim di Kanchong Darat, Banting, saya terpandang pada mutiara kata yang dipaparkan di dinding rumah berkenaan yang barangkali dapat menyampaikan makna sebenar pengalaman-pengalaman itu.

Sekuntum senyuman mampu menyejukkan seribu hati yang membara!

Friday, September 10, 2010

Perjalanan Hidup

Entah mengapa saya gemar menghayati puisi The Journey oleh Mary Oliver sejak beberapa tahun yang lalu.

Puisi yang saya temui di dalam majalah Oprah yang sudah dibuang ke dalam tong sampah di pejabat sekitar penghujung tahun 2001 sentiasa memberi semangat baru kepada saya untuk meneroka jalan yang sunyi, memekakkan telinga daripada suara-suara pembunuh semangat dan mula mendengar dan mempercayai suara hati sendiri.

Puisi itu telah memberi inspirasi hebat kepada jiwa saya untuk membuat keputusan meninggalkan pekerjaan tetap di sebuah NGO tempatan dan menaiki keretapi ke Laos untuk berkhidmat sebagai sukarelawan selama setahun 5 bulan di Vientiane.

Malam ini saya kembali menikmati puisi itu untuk mendapatkan suntikan inspirasi jiwa untuk meneruskan suatu misi yang sudah lama tertangguh.

10 tahun menimba ilmu di dalam dunia NGO (yang kadang-kadang menyesakkan jiwa dengan politik orang-orang NGO) saya kira sudah cukup untuk saya mengorak langkah, menaikkan sauh dan mengemudikan perahu sendiri menuju laut lepas. (Saya juga obses dengan puisi Sea Fever oleh John Masefield!).

Nikmatilah The Journey. Semoga ia juga dapat memberi inspirasi kepada jiwa yang mahu bebas!

The Journey

One day you finally knew
what you had to do, and began,
though the voices around you
kept shouting
their bad advice --
though the whole house
began to tremble
and you felt the old tug
at your ankles.
"Mend my life!"
each voice cried.
But you didn't stop.
You knew what you had to do,
though the wind pried
with its stiff fingers
at the very foundations,
though their melancholy
was terrible.
It was already late
enough, and a wild night,
and the road full of fallen
branches and stones.
But little by little,
as you left their voices behind,
the stars began to burn
through the sheets of clouds,
and there was a new voice
which you slowly
recognized as your own,
that kept you company
as you strode deeper and deeper
into the world,
determined to do
the only thing you could do --
determined to save
the only life you could save.

~ Mary Oliver ~


Wednesday, September 01, 2010

Point to ponder for tonight

We spend most of our lives cutting down our ambitions because the world has told us to think small.

Dreams express what your soul is telling you, so as crazy as your dream might seem - even to you- I don't care.

You have to let that out.

~Eleni Gabre-Madhin, former World Bank economist who returned to her native Ethiopia to realise her dreams of setting up Ethiopia Commodity Exchange that will help Ethiopia feed itself.~

Sunday, August 29, 2010

Pustaka hati

Alhamdulillah, perpustakaan di Rumah Anak Yatim Nur Hidayah, Kg. Cheh di Bukit Gantang telah selamat ditubuhkan siang tadi.




Anak-anak penghuni rumah ini segera menikmati buku-buku yang telah disusun oleh para sukarelawan Islamic Relief.



Anak kecil ini pula mencapai sebuah buku tanpa disuruh-suruh dan mengeja patah-patah perkataan dengan tekun sekali.



Saya berasa sungguh bahagia!

Tuesday, August 24, 2010

Kembali



Kami telah ke sana pada awal tahun 2008 dan menubuhkan sebuah kutub khanah kecil untuk kegunaan anak-anak yatim dan miskin di situ.



Ketika itu saya berasa ralat sedikit kerana dengan dana yang kami kumpulkan itu, tidak banyak buku yang dapat dibeli dan disediakan untuk penghuni rumah itu.

Saya berjanji di dalam hati,

“Suatu hari nanti, mereka akan mendapat lebih banyak buku!”



Alhamdulillah, pada hujung minggu ini, janji itu akan ditunaikan apabila Islamic Relief akan menubuhkan perpustakaan dengan buku-buku baru yang lebih banyak untuk penghuni Rumah Nurhidayah.

Saya berasa sungguh puas!

Rezeki Ramadan

Seorang sahabat memerhati dan bercerita kepada saya tentang seorang jirannya yang sering datang ke surau di kediamannya untuk membantu menyiapkan jamuan berbuka.

Namun, apabila tiba waktu berbuka, kelibat beliau tidak kelihatan. Rupa-rupanya, beliau pulang ke rumah menunggu suaminya pulang dari kerja.

Itulah rutin beliau setiap hari.

Wanita itu kemudian membuka rahsia.

"Sejak saya datang membantu memasak makanan untuk berbuka di surau, rezeki kami sekeluarga bertambah murah. Suami saya semakin banyak mendapat peluang bisnes akhir-akhir ini."

Suaminya memberitahu beliau,

"Awak teruslah membantu di surau itu,ya."

Thursday, July 01, 2010

Percaya atau tidak percaya?





Telefon saya berdering-dering ketika saya memandu pulang ke pejabat selepas menghadiri Majlis Pelepasan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia ke London di Seri Utusan, Bangi pagi tadi. Nombor yang tertera tidaklah dikenali.

Saya mengambil keputusan untuk berhenti sebentar di stesen minyak di tepi lebuhraya untuk menjawab panggilan itu.

Seorang pemuda OKU bernama Zul daripada Cheras menelefon meminta bantuan kami.

Beliau memberitahu, dia dan ibunya, seorang ibu tunggal dan pandai menjahit telah kesempitan wang kerana sumber pendapatan mereka terjejas apabila mesin jahit mereka rosak.

Sewa rumah mereka sudah dua bulan tidak berbayar kerana mereka tidak dapat menerima tempahan baju daripada pelanggan dek mesin jahit yang rosak itu.

Walaupun mereka menerima bantuan JKM, tetapi masih tidak cukup untuk membayar sewa rumah mereka itu.

Beliau yang membaca tentang usaha kemanusiaan Islamic Relief di akhbar ingin memohon bantuan sebanyak RM700 untuk membaiki atau membeli mesin jahit yang baru secepat mungkin.

"Sekarang masih bulan Rejab, saya yakin kami masih sempat untuk menjahit baju tempahan untuk hari Raya nanti.Kami amat memerlukan mesin jahit itu. Jika tidak diberikan sekalipun, kami sanggup meminjam dana daripada Islamic Relief untuk membaikinya atau membeli mesin jahit yang baru."

Malah beliau menawarkan,

"Saya juga mempunyai kemahiran IT dan Multimedia namun tiada majikan yang mahu mengambil saya bekerja kerana mereka tidak menerima pekerja yang akan kerap bercuti seperti saya kerana saya perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan dialisis setiap minggu. Jika tuan perlukan bantuan di dalam hal IT saya boleh membantu."

"Beginilah Tuan Zul, bolehkah tuan datang ke pejabat kami minggu hadapan untuk berbincang? Bawalah segala dokumen pengesahan latar belakang keluarga tuan bersama-sama.Saya pada masa ini tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana saya harus merujuk perkara ini kepada pihak pengurusan."

"Saya rasa sudah agak lambat tuan.Kalau boleh saya mahu jumpa hari ini juga kerana petang ini tuan rumah yang kami sewakan ini akan datang petang ini untuk menghalau kami." beliau merayu.

"Bertenanglah tuan, berapa jumlah sewa rumah yang tertunggak?" Saya mula mencari fakta dan mula memikirkan solusi pantas.

"RM400."

"OK, berikan saya nombor akaun tuan. Saya dahulukan duit saya dahulu.Tuan bayarlah sewa rumah itu segera.Minggu hadapan tuan datanglah ke pejabat dengan membawa dokumen yang berkaitan."

Senyap di hujung telefon.

"Tuan?"

"Terima kasih tuan kerana mempercayai saya. Terima kasih tuan!Saya akan SMSkan no akaun sebentar lagi." beliau menjawab.

"Tidak mengapa.Kita jumpa minggu hadapan."

Setelah selesai menjawab panggilan itu, saya segera beredar memandu kereta kembali menuju ke pejabat.

Setelah meletakkan kereta di parkir dan sedang saya mengambil beg di dalam kereta untuk naik ke pejabat, tiba-tiba seorang lelaki berpakaian kemas dan bertali leher yang sedang menunggang motosikal berhenti ditepi kereta,

"Minta maaf encik, boleh encik bantu saya?Saya perlukan duit untuk mengisi minyak untuk pulang ke Seremban. Saya sudah malu bertanya ramai orang, semua tidak mahu membantu."

Saya segera mengeluarkan dompet dan melihat ada sekeping not RM10. Saya hulurkan tanpa banyak soal kepada beliau.

"Terima kasih tuan. Bagaimana saya boleh membayar semula duit tuan ini?"

"Tidak mengapa. Tuan 'bayar'kanlah dengan membantu orang lain pula."

Beliau pun beredar menuju ke arah lebuhraya ke Seremban.

Saya berjalan menuju ke pintu lif di pejabat. Saya ternampak seorang wanita Cina tua sedang duduk berlunjur di laluan ke lif. Beliau sedang rancak berbual menelefon dengan menggunakan telefon bimbit. Pakaiannya lusuh. Saya ternampak pula cawan plastik di sisinya dengan not RM1 di dalamnya.

"Wah! Seorang pengemis sedang menggunakan telefon bimbit!" kata hati saya.

Tema pelajaran hidup yang saya pelajari hari ini: Mahu percaya atau tidak mempercayai?

Sunday, June 20, 2010

Sacrifice




We (Islamic Relief) were given a 3m x 3m space at KLCC Convention Centre to put up our exhibition during World Halal Forum starting tomorrow. It is a 2 days conference. People from all over the world will be coming to the forum to talk.

Of course this is the best time for us to be there and tell our beneficiary's stories to anyone and hoping that they will support our cause.

And today, we will be setting up the place for the event and some of my colleagues are going there this afternoon to put up exhibition panels, preparing the brochures and decorate the space given free (we could have been asked to pay for it) by the conference's organiser.

It's Sunday. It's supposed to be a relaxing day for everybody. And yet they are willingly to forgo their Sunday just to ensure everything is well taken care of for tomorrow.

I called them up to offer my help despite that I too have my own assignment to be done later this afternoon. A lady colleague, I can hear her children's voices at the background while we were talking on the phone, said it's alright. She said, they can handle it.

Another, a cheerful young and hardworking chap told me the same thing.

It humbles me to know that I am working alongside with a dedicated team who are willing to sacrifice their time and energy just to ensure voices of the poorest continue to be heard to the world.

It is a great sacrifice indeed, at least to me.

Sunday, May 09, 2010

Mengejar impian hidup



Untuk memenuhi salah satu syarat permohonan ijazah Master in Physical Comedy di Stockholm Academy of Arts, saya harus melakukan rakaman dalam bentuk DVD, sebuah persembahan clowning selama 10 minit.



Alhamdulillah, malam tadi dengan bantuan Tuan Latfy Anuar, rakaman tersebut telah berjaya dilakukan di ruang tamu rumah beliau di Ampang yang dijadikan sebagai 'studio rakaman'.



Fikiran nakal 'clown' di dalam diri saya menggelarkan 'studio' tersebut sebagai The Royal 'Ampang' Hall setaraf dengan Royal Albert Hall yang terkenal itu.



Mengadakan persembahan di ruang tamu sebua rumah atau di Royal Albert Hall tiada apa-apa yang harus dibezakan kerana semua penonton baik di rumah atau di pentas hebat nyata harus dihormati dan dihiburkan.



Untuk menggembirakan sekumpulan kanak-kanak dan meninggalkan kenangan yang manis dan mendalam di dalam hidup mereka yang mungkin akan berkata kepada diri mereka, "Saya bergelak ketawa hari ini kerana seorang badut." pada hemat saya, lebih bermakna daripada menghadap seorang sultan di sebuah singgahsana untuk menerima sekeping pingat kebesaran.


Malam tadi, saya berbaring di atas tilam dan boleh melelapkan mata dengan puas kerana saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang badut.

Thursday, April 15, 2010

Kasih Seorang Sahabat





Saya sering mengelek Reader’s Digest sebagai bahan bacaan mengisi masa lapang kerana saiznya yang kecil memudahkan ia dibawa ke mana-mana. Kisah-kisah benar dan penuh pengajaran serba ringkas yang terkandung di dalam majalah yang sudah menjangkau usia 88 tahun itu tetap segar sepanjang zaman.

Saya menemui kisah ini semasa membelek-belek sebuah majalah Reader’s Digest edisi lama daripada koleksi majalah Reader's Digest di perpustakaan peribadi saya.

Kisah ini telah diceritakan semula oleh seorang pegawai tentera Amerika yang pernah bertugas di Vietnam. Beliau mendengar kisah ini daripada seseorang, namun kesahihan cerita ini tidak dapat dipastikan. Namun, semasa perang, peristiwa-peristiwa aneh seperti ini tidak mustahil berlaku.

Ketika Perang Vietnam yang berlaku pada tahun 1970an, sebuah rumah anak yatim tempatan di sebuah kampung telah dibom oleh pihak Komunis di dalam satu pertempuran dengan pihak askar Amerika.

Akibat serangan bom tersebut, pengurus rumah anak yatim itu telah terbunuh dan ramai anak-anak yatim yang tinggal di situ cedera parah. Mangsa-mangsa yang parah dipindahkan oleh penduduk kampung ke sebuah kawasan selamat yang berhampiran.

Apabila pasukan perubatan daripada sebuah kem askar Amerika berhampiran tiba untuk merawat mangsa-mangsa yang tercedera, seorang kanak-kanak perempuan didapati berada di dalam tahap paling kritikal kerana beliau telah kehilangan banyak darah.

Untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu, ahli pasukan perubatan segera melakukan ujian darah di kalangan mereka. Mereka juga menguji darah kumpulan anak yatim yang terselamat.

Sayangnya, jenis darah ahli-ahli pasukan perubatan tidak sepadan dengan darah yang diperlukan oleh kanak-kanak perempuan itu. Kanak-kanak perempuan itu memerlukan darah jenis kumpulan ‘O’ negatif. Hanya penderma yang mempunyai jenis darah yang sama boleh menderma darah untuknya.

Setelah ujian darah selesai dilakukan, ada beberapa orang anak yatim yang terselamat mempunyai jenis darah yang sepadan dengan kanak-kanak perempuan yang semakin lemah itu.

“Anak-anak, kami perlukan bantuan kamu semua untuk menderma darah jenis O negatif secara sukarela untuk menyelamatkan kawan kamu ini.” Salah seorang daripada doktor berbangsa asing itu yang boleh bercakap di dalam bahasa tempatan pijin dan juga menggunakan bahasa isyarat memberitahu kepada kumpulan anak-anak yatim yang masih lagi berada di dalam ketakutan dan trauma itu.

Mujurlah mereka memahami sedikit sebanyak apa yang dikatakan oleh beliau. Namun, tiada reaksi daripada mereka. Sebaliknya, mereka hanya berbisik-bisik di antara satu sama lain.

Tiba-tiba, doktor itu ternampak seorang kanak-kanak lelaki yang berada jauh di belakang kumpulan anak-anak yatim itu mengangkat tangannya.

Namun, dengan tidak semena-mena tangan itu kembali jatuh.

Dan, tangan itu kembali diangkat perlahan-lahan ke atas. Pelik!

Doktor itu memanggil kanak-kanak lelaki itu dan beliau segera tampil.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kanak-kanak itu, doktor segera memimpin tangannya membawa ke stesen pemindahan darah yang didirikan sementara di sebuah pondok kecil berhampiran.

Beliau meminta kanak-kanak itu berbaring di atas papan sambil menyiapkan peralatan untuk pemindahan darah. Kanak-kanak itu akur dan berbaring dengan senyap sambil memandang kanak-kanak perempuan yang memerlukan darah yang terbaring di sebelahnya

Apabila doktor tersebut memegang lengannya untuk memasukkan jarum suntik yang akan menyedut darah dari tubuhnya, tiba-tiba kanak-kanak itu menangis teresak-esak.

Doktor itu tersentak. Beliau segera bertanya di dalam bahasa isyarat sama ada kanak-kanak itu mahu meneruskan prosedur tersebut. Kanak-kanak itu hanya mengangguk-angguk kepalanya.

Doktor itu kembali menumpukan perhatiannya untuk memasukkan jarum suntikan ke dalam pembuluh darah kanak-kanak itu. Beliau harus melakukannya dengan penuh teliti agar tidak mencederakan kanak-kanak itu. Masa juga semakin suntuk memandangkan kanak-kanak perempuan yang cedera parah itu memerlukan bekalan darah secepat mungkin.

Sekali lagi apabila beliau menusuk jarum di lengan kanak-kanak lelaki itu, kanak-kanak itu kembali menangis dan tubuhnya menggeletar.

Menyedari bahawa situasi ini akan membahayakan nyawa kanak-kanak lelaki itu, doktor itu segera menghentikan tugasannya itu.

Mujur pada masa yang sama, pasukan perubatan daripada hospital tempatan tiba untuk membantu. Doktor itu segera meminta pertolongan mereka dan seorang jururawat wanita berbangsa tempatan tampil untuk membantu. Beliau segera menerangkan kepada jururawat berkenaan tentang situasi yang dihadapinya.

Jururawat wanita itu kemudian bercakap-cakap dengan kanak-kanak lelaki itu. Doktor yang berada di sisinya melihat wajah kanak-kanak itu yang sebelum ini kelihatan runsing kini kembali tenang setelah jururawat itu membisikkan sesuatu di telinga kanak-kanak itu.

Jururawat wanita tempatan itu kemudian mengisyaratkan agar doktor itu segera melakukan semula prosedur yang tergendala sebentar tadi.

Kali ini kanak-kanak lelaki itu berbaring tenang dan tersenyum dan membiarkan darahnya disedut ke dalam kantung darah yang disediakan.

Menyedari keanehan situasi yang berlaku, doktor itu bertanya,

“Mengapa anak itu menjadi tenang sekali? Sedangkan sebelum anda datang, saya sukar sekali untuk menusuk jarum di lengannya.”

“Oh, anak ini keliru,” kata jururawat itu sambil tersenyum.

“Beliau menyangka bahawa beliau harus menderma kesemua darahnya agar kanak-kanak perempuan itu dapat terus hidup. Kerana itu beliau menangis.” Jururawat itu menerangkan kepada doktor.

“Jika dia menyangka begitu, kenapa beliau masih mahu berbuat demikian? Bukankah jika beliau menderma kesemua darahnya kelak beliau sendiri akan kehilangan nyawanya?” Doktor itu bertanya kebingungan.

Jururawat itu kemudian segera bertanyakan pada kanak-kanak itu soalan yang diajukan oleh doktor itu.

Kanak-kanak itu menjawab lembut dan jururawat itu mengangguk-angguk faham.

“Apa yang beliau beritahu anda?” tanya doktor itu.

Jururawat itu pun berkata,

“Beliau memberitahu saya, kanak-kanak perempuan itu sahabat baiknya. Oleh itu, beliau sanggup mendermakan semua darahnya demi kawannya itu.”