Wednesday, February 23, 2011

Wednesday, February 09, 2011

Sang labah-labah, jurutera yang genius!



Dua minggu yang lalu, ketika berjalan kaki di waktu pagi di Kg. Janda Baik, Pahang saya mendongak ke langit dan terlihat sarang labah-labah yang terdapat di kabel elektrik di tepi jalan.

Pelik juga melihat bagaimana jaringan sarangnya itu boleh terbentang luas seperti hamparan permaidani dan berpaut kukuh pada kabel elektrik itu.

Apabila diamati dengan teliti, rupa-rupanya ada seutas benang sarang labah-labah terjalin merentangi jauh sehingga ke kabel elektrik di seberang jalan, mengikat jaringan sarang itu menjadi kukuh.

Wah! Ia benar-benar menarik perhatian saya.

Jarak di antara kabel ke kabel sekitar 10 meter, mengikuti kelebaran jalan itu.

Saya hairan memikirkan bagaimana seekor labah-labah lagi berupaya mengikat benang sarangnya dari kabel ke kabel dengan jarak sejauh itu.

Pada pandangan saya, tidak mungkin Sang Labah-labah boleh terbang ataupun meloncat sejauh itu sambil membawa benang sarangnya.

Tiada pula pokok-pokok di kedua-dua sisi jalan yang membolehkan sang labah-labah meloncat dari ranting ke ranting menuju ke seberang jalan.

Hanya satu cara sahaja yang jelas dalam fikiran, Sang Labah-labah itu mungkin turun ke tanah sambil membawa benang itu, lalu merangkak-rangkak melintas jalan.

Kemudian, ia memanjat tiang elektrik dan mencari lokasi yang bertentangan dengan sarangnya yang dijalinnya pada kabel di seberang jalan lalu menarik benang itu sehingga tegang.

Namun, bukankah itu suatu laluan yang sungguh mencabar bagi Sang Labah-labah yang kecil dengan kereta lalu-lalang di jalan itu hampir sepanjang masa?

Bila-bila masa sahaja benang dan Sang Labah-labah boleh digelek tayar kereta!

Logiknya, Sang Labah-labah mungkin berusaha pada malam hari ketika tiada kereta melalui jalan itu.

Sekiranya ia berjaya sekalipun melintasi jalan, cabaran lain pula sedang menunggu.

Bagaimana pula ia mencari lokasi yang bersetentangan dengan sarang yang dibinanya di seberang jalan?

Bolehkah ia melihat dan mengagak kedudukan sarangnya dengan tepat dengan keupayaan matanya yang terhad bagi melihat dengan jelas pada waktu malam?

Bayangkan pula, apabila ia berjaya mengatasi cabaran-cabaran itu, Sang Labah-labah dengan tubuhnya yang kecil menggunakan segala kudrat yang ada, menarik pula benang itu sehingga tegang supaya sarangnya siap dibina.

Saya benar-benar terpukau dengan kehebatan Sang Labah-labah, biarpun tubuhnya kecil namun ia jurutera yang genius!


Nota:

Semalam, ketika mencari maklumat tentang labah-labah, barulah saya mengetahui tentang kebolehan Sang Labah-labah 'terbang' dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Fenomena yang dikenali sebagai 'ballooning' itu menyaksikan Sang Labah-labah memancut gentian benang sutera halus yang dipanggil gossamer ke udara.

Benang gossamer yang ditiup angin akan menarik tubuh Sang Labah-labah ke udara dan membawa Sang Labah-Labah ke tempat lain mengikut aliran udara.

Subhanallah!

Menyamar

(Foto: Timeout KL)

Pagi tadi, saya sengaja meninggalkan kereta di tepi masjid Kg. Melayu Ampang lalu menaiki bas ke KLCC.

Tambang bas hanya RM1 sehala. Nyata menjimatkan.

Parkir di KLCC pada hari-hari bekerja boleh mencecah belasan ringgit jika memerap diri berjam-jam di toko buku Kinokinuya itu.

Hari ini saya ke Kinokinuya lagi. Terpesona dengan buku Richard Bandler, pengasas NLP. Sempat melihat 'in-house detective' Kinokinuya berpakaian preman berkeliaran di dalam toko.

Pemerhatian itu membuatkan saya terfikir betapa senangnya orang mengecam mereka walaupun tidak memakai uniform.

Berpakaian t-shirt berkolar bulat dan berjaket hitam. Kasut pula kasut sukan.

Daripada gerak hati sahaja sudah tahu mereka itu bekerja mencari pencuri buku, jika ada.

Bagi yang benar-benar berkunjung ke Kinokinuya untuk mencari buku seperti saya, rimas mata memandang! Masakan tidak, di pintu sudah ada pengawal beruniform berbangsa Nepal. Mesin penggera bunyi pun ada. Di dalamnya, ada pula detektif yang tidak pandai menyamar!

Barangkali saya harus membisikkan pada mereka,

"Tuan, buat-buatlah membaca buku. Penyamaran tuan pasti lebih berkesan!"