Monday, October 18, 2010

Modalnya hanya RM50!




"Kamu berniaga apa sekarang?" tiba-tiba tuan punya kedai makan di sebelah Masjid Kg. Melayu Ampang itu bertanya ketika saya hendak menghulurkan bayaran untuk makan malam saya, lewat senja tadi.

Pelik juga soalan beliau itu, apatah lagi saya sedang memakai uniform rasmi yang tidak menggambarkan saya sebagai seorang yang terlibat di dalam bisnes. Namun pertanyaan itu beliau ajukan dengan penuh yakin, seolah-olah beliau mengetahui perkembangan hidup saya kebelakangan ini.

Sambil tersipu-sipu, saya membuka rahsia, "Bisnes kecil-kecilan sahaja, makcik."

"Kamu tahu, ketika makcik mula-mula berniaga dahulu, makcik hanya bermodalkan RM50 sahaja!"

"Wah!Benarkah begitu?" kata saya terkejut. Terngiang-ngiang di fikiran kata-kata Tuan Shamsuddin Kadir yang pernah memberitahu bahawa beliau meletakkan cabaran kepada dirinya untuk memulakan sebarang perniagaan dengan modal sebanyak RM100 sahaja.

"Benar. Makcik dahulu berniaga ikan segar dengan hanya bermodalkan RM50 sahaja. Sedikit demi sedikit makcik mengumpul modal untuk mengembangkan bisnes makcik. Ini kisah pengalaman makcik lebih 20 tahun yang lalu. Makcik berniaga gerai makan di tepi masjid ini pun sudah 13 tahun," sambil beliau menunjukkan ke gerai yang saya selalu kunjungi ini.

Beliau terus bercerita bagaimana beliau menjual ikan segar kepada pelanggan di sekitar Kg.Melayu Ampang.Dengan berkat rezeki perniagaan beliau yang bermula dengan modal RM50 itulah, beliau dapat menunaikan umrah dan haji beberapa kali bersama-sama ahli keluarganya.

Nasihat beliau yang masih segar di dalam fikiran saya, "Jangan tinggalkan solat Dhuha. Selepas makcik menyelesaikan kerja-kerja memasak di dapur, makcik akan bersolat Dhuha setiap hari.Malam-malam pula makcik akan bersolat Tahajjud.Kamu amalkanlah, Insya Allah, Allah akan bukakan pintu rezekimu."

"Anak, janganlah kamu risau apabila berniaga. Kita harus rajin dan tabah," beliau terus menasihati.

"Yang penting, kamu jangan sesekali mengalah!" tegasnya.

"Apabila kita merintih, meminta pertolongan daripadaNya, Allah itu Maha Mendengar dan Dia akan memakbulkan doa kita. Makcik percaya kepada hakikat itu."

Menyedari masa tidak mengizinkan, saya bermohon kepada beliau untuk beredar dan mengucapkan terima kasih di atas nasihat-nasihat beliau itu.

"Tahukah siapa yang memberikan poster mutiara kata yang kamu lihat bergantungan di sekeliling kedai makcik ini?" tiba-tiba beliau menyoal.


"Siapa makcik?" tanya saya berminat dan saya tidak jadi untuk melangkah pulang.

Kedai makan beliau sememangnya dihiasi dengan poster-poster mutiara kata yang sentiasa menarik perhatian saya setiap kali singgah di kedai beliau. Jarang-jarang saya lihat kedai makan yang berkonsep sebegini. Saya amat suka kerana sambil kita menikmati makanan, kita dapat juga menikmati 'santapan jiwa' dengan kata-kata yang memberi semangat dan yang mengajak kita untuk berfikir.



"Poster-poster itu diberikan oleh Tuan Haji AWY. Beliau itu abang kandung makcik!"

Oh! Rupa-rupanya Tuan Haji AWY, seorang ahli perniagaan yang berjaya di dalam bisnes penerbitan buku di tanah air adalah abang kandung beliau. Sebuah majalah terbitan syarikat beliau laku keras sehingga diulang-cetak beberapa kali.

Hebat!

Secret Story



Mini Secret Story Seronok & Santai 24 Oktober 2010 (terbuka kepada 10 peserta sahaja)

Tuan Iskandar Syah Ismail (Dr Bubbles : http://drbubbles.blogspot.com/) akan menjadi pembongkar rahsia seterusnya dan bakal menggunakan buku Toilet Paper Origami ini untuk menceritakan bagaimana kita boleh mengaplikasikan seni 'hospital clowning' ketika melawat kanak-kanak sakit.

Beliau juga bakal berkongsi tip penting cara berinteraksi dengan orang awam strangers/audience) dengan menggunakan teknik 'asking permission by breathing' dan menggunakan sedikit pendekatan clowning.

Program satu jam ini berlangsung di : 31-4-2, Jalan 3/50, Diamond Square Business Center, Off Jalan Gombak, 53000, Kuala Lumpur, Malaysia.

Untuk mendaftar/menghadiri program ini, klik pada pautan di SINI.

Thursday, October 14, 2010

Selesai Masalah Dengan Berkhayal!

(Setem kenangan memperingati kejayaan F.A Kukule menemui struktur molekul Benzena)

Selama seharian seorang ahli kimia berbangsa Jerman, Friedrich Kukule sarat berfikir namun buntu jua.

Tentu sahaja berehat di hadapan api pendiang merupakan cara terbaik untuk beliau menenangkan jiwa dan membiarkan fikiran menerawang pada malam yang sungguh dingin di dalam tahun 1865.

Beliau terpesona melihat bara api yang berterbangan di pendiangan itu. Percikan bara api itu berterbangan di dalam bentuk lingkaran membuatkan beliau tenggelam di dalam khayalan.

Di dalam khayalan beliau, beliau membayangkan bara api itu sedang menari meliuk-liuk seperti seekor ular.

Tidak semena-mena, 'ular' itu memakan 'ekor'nya seolah-olah membentuk satu bulatan!


Beliau tiba-tiba sedar daripada lamunan dan berteriak,


"Itulah jawapannya!"


"Lingkaran seperti gelang."

Itulah rupa-rupanya struktur kimia molekul Benzena (Benzene) yang beliau telah cari-cari selama ini.

Kejayaan Tuan Kukule menemui struktur molekul Benzena merupakan suatu kejayaan yang besar di dalam dunia sains kimia organik!

Namun apa yang menariknya ialah bagaimana beliau menyelesaikan suatu permasalahan yang kompleks dengan hanya berkhayal dan mengelamun!



(Struktur molekul Benzena yang dibayangkan Kukule.)

Wednesday, October 13, 2010

Panas!

Panas!

Sudah berhari-hari Kuala Lumpur dilanda cuaca panas.

Malam yang panas ini mengingatkan saya kenangan berkelana ke Vientiane, Laos lapan tahun dahulu.

Apabila Vientiane dilanda musim kemarau, suhu bisa mencecah sehingga 45 C!

Dan malam-malam sebegini, saya akan tersadai di Hotel Lao Plaza di tengah-tengah kota Vientiane untuk berlindung dan menikmati udara dingin penyaman udara di lobi hotel.

Hanya setelah jarum jam mencecah jam 12 malam, barulah saya pulang ke rumah penginapan. Itulah rutin setiap malam.

Jika saya boleh bertahan di Vientiane dengan cuaca yang melampau seperti itu, apalah sangat jika dibandingkan dengan malam yang panas di Kuala Lumpur ketika ini.

Saya cuba memujuk diri sendiri!

Resmi Penyu



"Ikutlah resmi seekor penyu, wahai anakku!" pesan seorang ibu kepada anaknya yang sedang bermain-main di ruang tamu rumah mereka.

Anaknya pula menyoal, "Penyu?"

Ibu menerangkan, "Tahukah anakku, bahawa sifat penyu mempunyai cengkerang luar yang keras dan badannya lembut di dalam."

"Oh, ia sama seperti seekor kura-kura, ya Ibu?"

"Tidak. Penyu tidak boleh menarik lehernya masuk ke dalam cengkerang seperti kura-kura. Lehernya sentiasa berada di luar."

"Jadi, mengapa ibu mahu saya menjadi seperti seekor penyu?"

"Anakku, jika kamu mahu mencapai kejayaan di dalam hidup, cengkerang yang keras itu menggambarkan fokus dan komitmenmu terhadap matlamat yang ingin dicapai."

"Tubuhmu yang lembut di dalam cengkerang pula membawa erti keghairahan terhadap cita-citamu."

"Manakala, lehermu yang sentiasa terjulur keluar pula melambangkan keyakinan dirimu, kegigihan dan semangat berpasukan yang tinggi!"

Nota: Berpegang kepada nasihat ibunya, Nikki Stone, anak kecil berusia 5 tahun itu kemudiannya berusaha bersungguh-sungguh sehingga dewasa untuk menjadi atlet aerial free-style skiing yang terkemuka di dunia.

Nikki kemudian berjaya mengatasi rintangan kecederaan tulang belakang yang dialaminya ketika berlatih dan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 1998.


Tuesday, October 05, 2010

Senyumlah!


"Terima kasih!" ujar jurutol sambil tersenyum apabila saya menghulurkan wang kecil untuk membayar tol di lebuhraya AKLEH pagi semalam.

Wah! Bayaran tol sebanyak RM1.50 tidak terasa mahal apabila ia dibalas oleh senyuman yang manis dan ikhlas!

Ketika pulang ke rumah melalui tol yang sama malam tadi, sekali lagi saya teruja apabila jurutol melemparkan senyuman kepada saya ketika menyambut wang kecil yang dihulurkan.

Tekanan dan keletihan sepanjang hari hilang serta merta dek senyuman ikhlas yang dilemparkan oleh para jurutol itu. (Saya seperti mahu menulis nota terima kasih kepada Prolintas, syarikat yang menyelenggara AKLEH di atas perkhidmatan luar biasa mereka yang saya nikmati hari ini.)

Petang semalam, ketika melawat sebuah rumah anak yatim di Kanchong Darat, Banting, saya terpandang pada mutiara kata yang dipaparkan di dinding rumah berkenaan yang barangkali dapat menyampaikan makna sebenar pengalaman-pengalaman itu.

Sekuntum senyuman mampu menyejukkan seribu hati yang membara!