Friday, November 19, 2010

Pengemis atau seniman?


Sepasang warga tua ini mengemis dari meja ke meja di sebuah restoran dengan menghulurkan secawan kertas kepada para pelanggan.


Apabila mereka tiba di meja kami, saya mengerling kepada rebab yang dikelek lelaki itu.

Saya bertanya, "Tuan boleh memainkan satu lagu untuk saya?"

Beliau mengangguk-angguk.

Saya menghulurkan kerusi kepada beliau. Beliau duduk sambil memasang alat pendengaran di telinga dan terus menggesek rebab yang berbadankan tempurung kelapa.


Isterinya yang berdiri disisi beliau tiba-tiba mendendangkan sebuah lagu Cina.

Sejujurnya, tiada apa-apa yang istimewa daripada persembahan mereka. Suara isterinya pula serak-serak sahaja. Alunan rebab yang digesekkan beliau itu tidaklah begitu merdu.


Namun, apabila mereka selesai membuat persembahan spontan itu, saya bertepuk tangan dan lantas mengeluarkan duit not merah daripada dompet dan memberikan kepada mereka.

Wanita itu sambil tersenyum mengucapkan sesuatu di dalam Bahasa Cina. Saya tidak dapat menangkap maksudnya, namun saya menjangkakan bahawa beliau menyatakan rasa terima kasih mereka.


Apabila mereka mendekati saya sebelum ini, boleh sahaja saya memberikan RM1 kepada mereka dan mengharapkan mereka beredar pergi dengan segera.

Namun saya tidak mahu melakukan sebegitu kerana dengan berbuat demikian, kita akan sentiasa melihat mereka hanyalah sebagai pengemis jalanan.


Dengan membayar sedikit wang saguhati kepada mereka untuk menikmati suatu persembahan seni (walaupun sekadar persembahan gesekan muzik rebab dan nyanyian yang biasa-biasa sahaja) , setidak-tidaknya kita melihat mereka sebagai seniman jalanan.

Dan hari ini, biarlah saya memilih untuk melihat dan menghormati mereka sebagai seniman kerana maruah sebagai seorang seniman walaupun menghiburkan khalayak di jalanan, nyata ia lebih tinggi darjatnya daripada mengemis!

Tuesday, November 02, 2010

Kunci Kejayaan

Saya menyangka saya tergolong di kalangan orang-orang yang bijak pandai.


Barangkali itulah tanggapan saya sejak di sekolah rendah sehingga saya berada di Tingkatan Tiga di STAR Ipoh.


Apabila keputusan SRP diumumkan pada tahun 1991, saya berjaya mendapat pangkat 7A1 1A2.


"Wah! Akulah antara pelajar yang hebat di STAR!", saya berbangga.


Akibatnya, semasa di Tingkatan Empat semangat tahun "Bulan Madu" yang sering diperkatakan oleh pelajar senior mula meresap di dalam jiwa.


Saya mulai leka.


Saya ponteng kelas sesuka hati. Apabila rakan-rakan satu bilik di asrama bergegas menuju ke kelas pada waktu pagi, saya pula tidur di bawah katil untuk mengelak daripada ditangkap warden. Kadang-kadang saya berlindung di bilik sakit, berpura-pura demam atau sakit perut.


Seingat saya, hanya sekali sahaja saya berjaya ditangkap oleh warden, itu pun saya berjaya melepaskan diri daripada dikenakan tindakan disiplin dengan alibi yang kuat; saya memang tidak sihat pada hari itu dan sudah mendapat kebenaran guru bertugas untuk ke bilik sakit. Namun, bilik sakit pula berkunci, Maka, saya pun terus pulang ke asrama dan tidur di atas katil sebelum dikejutkan oleh warden yang membuat rondaan di asrama.


Jika dicongak-congak, hampir separuh tahun saya tidak menjejakkan kaki ke kelas. Pernah sekali, apabila saya tergerak hati untuk hadir ke kelas Bahasa Inggeris, guru yang sedang mengajar di hadapan kelas tiba-tiba bertanya kepada saya,


"Siapakah kamu? Saya tidak pernah nampak kamu sebelum ini."


Saya hanya mampu tersengih seperti kerang busuk.


Jika saya hadir ke kelas sekalipun, saya akan tidur tanpa menghiraukan guru yang sedang mengajar di hadapan.


Justeru, hukum sebab dan kesan pun memainkan peranannya.


Akibatnya prestasi akademik saya merosot.


Daripada seorang pelajar yang cemerlang semasa SRP dengan keputusan yang membanggakan, saya bertukar menjadi pelajar yang tercorot di kelas yang terpintar. Keputusan agregat peperiksaan saya hanya mencecah pangkat 2 sahaja. Tidak pernah berjaya untuk merasa agregat Pangkat 1 langsung sedangkan rata-rata pelajar di kelas no. 1 dengan mudahnya mendapat pangkat 1.


Namun pada penghujung tahun, semasa perhimpunan pagi terakhir di dewan sekolah sebelum cuti penggal bermula, Tuan Pengetua tiba-tiba mengumumkan kepada semua pelajar Tingkatan Empat,


"Sesiapa yang tidak berjaya untuk memperbaiki keputusan ujian pertama pada Tingkatan Lima kelak dan mendapatkan gred 1, mereka akan dibuang sekolah!"


Kata-kata itu bagaikan halilintar yang memanah jiwa saya.


Saya tersedar daripada alam mimpi yang saya nikmati selama ini.


Cuti penggal terakhir semasa di Tingkatan Empat itu merupakan tempoh perubahan di dalam hidup saya.


Saya tekad untuk berubah. Saya tidak mahu dibuang sekolah apabila naik ke Tingkatan Lima kelak.


Setiap hari, saya akan mengulangkaji pelajaran tanpa perlu disuruh-suruh. Ibu bapa saya pun terkejut apabila melihat anaknya ini kembali tekun mengulangkaji pelajaran.


Tentu sahaja ia merupakan tempoh sukar bagi seorang pelajar yang hampir enam bulan tidak menghadirkan diri ke kelas sehingga gurunya tidak mengenalinya langsung. Namun, saya secara beransur-ansur mentelaah dan cuba memahami subjek-subjek pelajaran yang sukar dan kompleks seperti Matematik Tambahan dan Sains seperti Fizik,Kimia dan Biologi.


Setiap hari saya membuat latihan matematik tambahan tanpa jemu dan mengingati persamaan kimia yang memeningkan!


Apabila kami kembali ke sekolah pada awal bulan Januari tahun 1993, hukum sebab dan kesan memberi kesan terhadap kehidupan saya sebagai pelajar. Saya telah diturunkan kelas daripada kelas no.1 kepada kelas no.2. Saya dapat menerima hakikat itu dengan baik malah ia benar-benar membakar semangat saya untuk membuktikan bahawa saya akan bangkit semula!


Namun kata-kata Tuan Pengetua semasa perhimpunan pagi yang mengingatkan kami tentang janji yang akan dikotanya itu benar-benar menggerunkan saya,


"Ingat! Ujian bulanan yang pertama pada hujung bulan ini akan menentukan nasib kalian. Jika kamu tidak berjaya mendapatkan gred 1 di dalam ujian ini, anda diminta keluar dengan hormatnya dari sekolah ini."


Wajah ibu bapa saya yang mengharapkan agar anaknya ini meraih kejayaan terbayang di benak fikiran.


Namun, saya menduduki ujian bulanan pada bulan itu dengan rasa tenang. Saya tidak berasa terlalu yakin atau pun gementar. Apa yang saya fikirkan ialah untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan sebaik mungkin.


Setelah selesai menduduki ujian, kami mengikuti kelas seperti biasa. Saya tidak pernah lagi ponteng kelas dan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru, saya berusaha untuk menyiapkannya dengan segera.


Rutin hidup saya di asrama juga sudah berubah. Kini, sayalah yang terawal sekali tiba di dewan makan pada jam 6.30 pagi lagi untuk bersarapan. Pada pukul 7.00 pagi, saya sudah tiba di kelas sebelum pelajar-pelajar lain datang demi untuk mentelaah subjek-subjek pelajaran yang akan diajar guru pada hari itu.


Di dalam kelas pula, saya akan mengambil nota-nota pendek dan akan segera mengulangkajinya pada sebelah petang sewaktu kelas persediaan.


Jika kelas persediaan hanya bermula pada jam 3.30 petang sehingga jam 4.30 petang, saya sudah tiba di kelas pada jam 2.45 petang atau 3.00 petang. Di dalam tempoh masa 30 - 45 minit sebelum itu, saya dapat tidur sekejap di asrama , membersihkan diri dan bersolat.


Pendek kata, saya benar-benar berubah.


Beberapa minggu selepas ujian pertama itu, tiba-tiba suasana kelas no. 2 menjadi hingar-bingar apabila guru kelas yang juga guru Kimia mengumumkan keputusan ujian itu kepada kami,


" Ada salah seorang pelajar daripada kelas ini telah berjaya mendapatkan markah ujian Kimia terbaik dan mengatasi markah pelajar terpintar di kelas no.1!"


"Siapakah dia, cikgu?" seorang pelajar bertanya.


"Itulah orangnya!" beliau menunjukkan jarinya tepat ke arah saya.


Tentu sahaja ia mengejutkan saya sendiri. Dalam pada ketika rakan-rakan sekelas berkerumun mengucapkan taniah dan menepuk-nepuk bahu saya, saya menyedari bahawa kejayaan pada hari itu berjaya dicapai dengan dua anak kunci.


Kunci yang pertama ialah usaha gigih dan kunci yang kedua ialah disiplin di dalam hidup kita.


Apabila saya merenung kembali, saya bukanlah orang yang pintar atau cerdik di dalam sesuatu perkara. Saya hanya ada dua kunci itu untuk membuka pintu kejayaan di dalam hidup!


Ingat! Hanya usaha dan disiplin diri!