Sunday, April 22, 2012

Send in The Clowns


Semalam, saya dan rakan-rakan Red Bubbles berada di Wad Kanser Kanak-kanak KK3, Institut Pediatrik HKL. Kami menganjurkan majlis sambutan hari lahir untuk pesakit-pesakit kecil yang sedang menjalani rawatan kanser.

Ia suatu pengalaman yang mengujakan. Biarlah kali ini foto-foto sahaja yang bercerita. :-)

 


 


 




 
  



 












Mahukah tuan dan cikpuan melihat mereka tersenyum sentiasa? Hubungi saya.


Tuesday, April 03, 2012

Semanis Tapai


Semalam, saya dan isteri singgah di sebuah kedai makan di Kok Lanas, Kelantan. Kami dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Isteri memberitahu, "Abang, makanan di kedai itu sedap. Kami pernah singgah di sana tiga minggu yang lalu ketika bertandang ke Jerantut."

Saya tersenyum sahaja dan mengangguk-angguk. Lidah saya masih dalam proses menghayati keenakan makanan Kelantan yang sering disebut-sebut oleh isteri. Dua tiga hari berada di sana, nyata banyak lokasi-lokasi rahsia diterokai dan saya mula mempercayainya.

Kedai itu terletak tidak jauh dari sebuah kem tentera. Apabila kami tiba, kelihatan hanya ada beberapa pelanggan singgah makan di situ. Kami segera memesan 'nasi belauk' dan minuman.

Saya terpandang sepinggan tapai berbungkus daun getah di atas meja berhampiran. Segera saya ambil dan bawa ke meja kami.

Apabila diteliti, tapai pulut itu dibungkus dan dicucuk kemas dengan lidi kelapa yang diraut tajam dan halus. Daun getah yang menjadi pembungkus tapai juga kelihatan segar. Masih kelihatan getah putih di pangkal daun seolah-olah ia baru sahaja dipetik.

Kata ibu saya dahulu, tapai yang sedap, manisnya sedang-sedang sahaja. Jika ia masih belum 'masak', manisnya seperti manis buah-buahan. Jika sudah terlalu 'masak', penapaiannya sudah lengkap, justeru rasanya sangat manis sehingga berkerut wajah apabila dimakan.

Lantas saya mengambil sebungkus tapai dan mencubitnya ke dalam mulut.

Aduh! Sedapnya! Manisnya sekadar sederhana seperti yang diceritakan oleh ibu saya. Ia benar-benar mengingatkan saya kepada tapai yang sering ditempah bapa semasa hari raya di kampung.

Habis empat bungkus! Dek sedapnya tapai itu, saya berkata kepada isteri, "Mari kita bungkus dan bawa untuk emak dan abah di Jerantut."

Isteri hanya melihat telatah saya sambil tersenyum. Senyumnya itu seolah-olah memberitahu yang pulang sahaja ke KL nanti, siaplah saya! Berjogginglah abang setiap hari!

Dalam pada itu, terdetik sesuatu di hati saya dan saya luahkan kepada isteri, "Yang, pasti ada cerita menarik di sebalik tapai ini."

Selesai sarapan, kami memanggil pelayan kedai bagi mengira bayaran makanan yang sudah dibayar. Saya sempat memberitahu pelayan itu yang makanan dan tapai itu sungguh sedap rasanya.

Sambil tersenyum pelayan itu berkata, "Tahukah tuan yang membuat tapai ini seorang lelaki?"

Wah! Kebiasaannya kerja renyah seperti membuat tapai ini dilakukan oleh kaum wanita. Jarang sekali saya mendengar orang lelaki pandai membuat tapai.

Beliau terus bercerita, "Orang yang membuat tapai ini adalah seorang imam surau di sebuah kampung tidak jauh dari sini. Pada siang hari, beliau bekerja sebagai pemandu van klinik pergigian. Memang teliti dan cermat orangnya. Lihat sahaja cara beliau membungkus itu."

Saya terkesima.

Beliau menambah, "Tahukah tuan yang anak-anak beliau semuanya berjaya dalam hidup mereka? Seorang anaknya belajar di UIA. Seorang lagi belajar di Mesir dan seorang lagi menjadi Imam di Pulau Chondong, tidak jauh dari sini."

Ternyata benar, memang ada kisah menarik di sebalik bungkusan tapai yang dibalut kemas dan sedap itu!

Sebelum kami berlalu pergi, pelayan itu mengucapkan kata-kata terakhir sebelum menyambung kerjanya di dapur, "Orang yang teliti dan cermat dalam membuat kerja, akan sentiasa menjadi sebutan orang."

Lagi menarik apabila ia menyampaikan satu pelajaran hidup yang berguna kepada kita. Betapa sebungkus tapai yang dibuat dengan penuh kasih sayang dan ikhlas  bisa menggembirakan hati seorang musafir yang kemudiannya terus bercerita tanpa lelah kebaikan sang pembuatnya. Dan betapa sang musafir itu dapat memahami Allah membalas jasa sang pembuatnya dengan memberkati kehidupan keluarga beliau.