Hari ini saya ke gedung kain Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi mencari kain untuk dibuat 'lab coat' DR Bubbles yang baru.
Lab coat yang dipakai sekarang sudah lusuh setelah beberapa tahun digunakan bagi menghibur pesakit kanak-kanak di hospital dan juga ketika mengendalikan kursus pengurusan stres di agensi-agensi kerajaan sejak kebelakangan ini.
Saya masih teringat kenangan 'bertikam lidah' dengan tukang jahit ketika mahu membuat lab coat sebelum ini. Beliau berkeras supaya poketnya berwarna biru di kedua-dua bahagian jaket sedangkan saya mahukan ia berwarna kuning di sebelah kiri.
Akhirnya saya mendengar kata beliau. Baru-baru ini seorang peserta kursus pengurusan stres di Kelantan memberitahu, "Tuan, saya rasakan poket lab coat tuan itu seharusnya berwarna kuning."
Saya tersenyum lebar dan mengiyakan saranan beliau itu.
Lab coat ini sebahagian daripada karakter DR Bubbles. Pemilihan warna penting sekali. Bagaimana rasanya memakai pakaian yang kita tidak suka warnanya? Tentu sedikit tidak enak. Ia seolah-olah jiwa kita masih terperangkap dan tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya.
Apabila kita memakai pakaian yang kita suka, jiwa kita yang gembira pasti terserlah!
Oleh kerana itu, kali ini saya menukar selera dengan menghantar kain kepada tukang jahit di Medan MARA yang sudah dilanggani sejak setahun yang lalu. Harganya berpatutan dan perkhidmatannya memuaskan. Baju-baju yang dijahit beliau dan isteri sebelum ini 'sedap' dipakai.
Dan paling penting, salah satu poket lab coat itu nanti pasti berwarna kuning!