Monday, July 02, 2007

weekends

Hujung minggu lepas

Hujung minggu lepas, saya ke Kg Janda Baik mengikuti program outreach MAKNA menghantar barang barang derma untuk Rumah Anak Yatim Az-Zahrah di Kg Sum Sum Hilir, Janda Baik. Seronok memandu di sana. Air sungai yang bersih dan ramai orang datang ke sana untuk berpiknik.

Berbalik kepada Rumah Anak Yatim Az-Zahrah, mereka baru sahaja berpindah ke "rumah hantu" bak kata Puan Ainon Mohd. (Pengerusi PTS Publications dan Sifu penulisan PTS dan suaminya Profesor Abdullah Hassan juga pakar linguistik kesohor. Rumah mereka di seberang jalan berhadapan "rumah hantu" itu) yang telah lama di tinggalkan oleh pemiliknya. Alhamdulillah, anak anak seramai 25 orang itu cerdik cerdik belaka setelah di amati melalui aktiviti dalam kumpulan yang sempat dilakukan oleh sukarelawan MAKNA.

Sebelum itu, kami menziarahi rumah ke rumah memberi bantuan kepada, warga tua, kanak-kanak istimewa, ibu tunggal. Agak menarik perhatian kami kerana, tiada pula rumah yang dilawati mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser! Mungkin suasana yang tenang, menyegarkan dan "kurang stres" di sini menjadi penyebabnya.

Semasa melawat sebuah rumah warga tua di situ, sempat saya "menculik" benih pokok senduduk putih yang dikhabarkan banyak khasiat kesihatan dan pokok jempiring (kaca piring atau melur cina) . Pasti ibu saya tersenyum lebar kalau saya bawa pulang benih pokok ini kerana sepanjang 31 tahun ini, inilah kali pertama saya suka "gardening!"

Hujung minggu baru ini

Sabtu lalu, saya menghadiri induksi sukarelawan Islamic Relief Malaysia di pejabat di Seri Kembangan sambil hantarkan "handpuppets" dan sedikit derma. Sempat juga berkenalan ringkas dengan sukarelawan, Naziehah,Safawati, Fatiiah, Yana and Yuri (I love these twins!), Abang Isa and Abang Walid, Amir dan Husni.
Seronok dikelilingi rakan rakan baru yang punyai "passion" yang sama. Saya, Naziehah dan Safa kenal Islamic Relief sejak zaman universiti lagi. Mengimbau kenangan sewaktu "student" dahulu di Bradford, Islamic Relief (IR) sebenarnya tidak asing bagi saya kerana pernah membantu IR mengumpul baju sejuk dan pakaian untuk pelarian (IDP) Kosova semasa saya aktif dalam Persatuan Melayu Universiti Bradford sekitar 1998.

Saya masih ingat lagi pengalaman menghantar "a wagon load of warm clothings" ke cawangan IR di Manningham Lane. Rancangan pada mulanya mahu dihantar ke Manchester untuk dikumpul kan bersama hasil kutipan derma pergerakan MISG-ABIM di sana namun kalau mahu tunggu "shipment" dari Manchester itu, jawabnya selepas musim sejuk sahajalah pelarian IDP itu baru mendapat bantuan tersebut dan kerana itu kami mencari alternatif lain dan IR menjadi pilihan.

Kerana pengalaman tersebut jugalah saya mula berminat untuk "change the course of life" daripada bidang kejuruteraan ke bidang bantuan kemanusiaan dan kemasyarakatan sehingga kini.Saya juga masih mengikuti secara "online" aktiviti yang dilakukan oleh IR di seluruh dunia dan tiada apa yang saya dapat katakan kecuali rasa hormat di atas kegigihan dan kesungguhan mereka membantu mereka yang memerlukan. Sehingga kini, usaha gigih mereka sudah merentasi 33 negara dan bantuan tersebut tidak dibatasi oleh fahaman politik, agama, warna kulit dan paksi.

Seperkara menarik ialah mereka tiada masalah untuk bekerjasama dengan organisasi berteraskan fahaman Kristian demi membantu meringankan penderitaan umat sejagat. (Anda boleh lawati http://www.islamic-relief.org.uk/ untuk maklumat lanjut tentang fakta ini). Manakala, Islamic Relief Malaysia boleh dilawati di http://www.irm.org.my/.

No comments: