Pagi tadi, saya bertandang ke rumah adik saya di Bandar Baru Bangi untuk menemui orang tua saya yang bermalam di situ. Malam semalam adik saya mengadakan majlis tahlil di rumahnya.
Ketika menghampiri kawasan perumahannya, saya berhenti sebentar untuk membeli suratkhabar yang dijual di tepi jalan raya.
Seorang kanak-kanak perempuan India sedang sibuk menghulurkan suratkhabar kepada pemandu kereta yang turut berhenti di situ. Ada dua gerai menjual suratkhabar di situ. Satu lagi gerai berada di seberang jalan. Gerai di seberang dijaga oleh seorang wanita India dan beberapa orang anak-anaknya.
Saya terus menuju ke meja jualan dengan niat untuk memilih suratkhabar dengan tajuk-tajuk utama menarik. Akibatnya saya memilih kesemua suratkhabar selalu saya baca pada hujung minggu.
“Wah, banyaknya suratkhabar”, tegur si kanak-kanak perempuan itu apabila dia datang ke meja jualan setelah selesai melayan pemandu-pemandu kereta yang membeli suratkhabar secara ‘pandu lalu’ sebentar tadi.
Saya hanya tersenyum.
Dia terus mengambil mesin kira dan mengira jumlah bayaran untuk lima naskhah suratkhabar yang saya beli.
Dia menekan-nekan butang mesin kira beberapa kali. Lama.
“Lambatnya awak kira”, saya menegurnya bergurau.
“RM8.50”, katanya sambil tersenyum.
Sebenarnya saya sudah membuat pengiraan mental dan menjangkakan jumlah yang saya perlu bayar hanyalah RM7.50 sahaja.
Saya tersenyum.
Tiba-tiba seorang perempuan India menghampiri meja jualan itu dan bertanya,
“Encik,anak saya salah kirakah?”, rupa-rupanya perempuan India itu ibu kepada kanak-kanak perempuan India itu.
“Oh, tak mengapa. Saya rasa jumlah kesemua harganya hanya RM7.50 sahaja” setelah saya memeriksa harga setiap akhbar.
“Maafkan dia encik. Dia anak istimewa.” Saya terkejut mendengar kata ibunya.
“Dia ‘slow learner”, ibunya fasih berbahasa Melayu dan Inggeris rupa-rupanya.
“Di mana dia belajar sekarang?”, saya memulakan perbualan.
“Di Sekolah Jalan Reko, Kajang”,
“Semasa sekolah rendah, dia bersekolah di sekolah harian biasa”, ibunya meneruskan perbualan.
“Saya tidak sanggup untuk menghantarnya ke sekolah pendidikan khas”, dia berkongsi isi hatinya. Anak perempuannya itu hanya tersenyum berdiri di sebelahnya seolah-olah tidak mengerti.
“Berapa umurnya?”, saya mencelah bertanya.
“11 tahun. Tetapi dia faham sekadar pelajaran Darjah 1 atau 2 sahaja”, jawab ibunya.
Saya berpaling kepada anaknya dan bertanya,
“Siapa nama awak?”
“Ananthajothi”, lancar dia menjawab sambil tersenyum.
“Baiklah, Ananthajothi. Selamat berjaya!”, hanya itu sahaja yang keluar dari mulut saya.
Ananthajhoti terus tersenyum.
Senyuman manis dan jujur.
Cerita pagi tadi masih bermain-main di dalam fikiran saya hari ini. Saya akan terus mengingati seorang kanak-kanak perempuan India yang istimewa dan berjualan suratkhabar untuk membantu keluarga dan mempunyai senyuman yang paling manis di dunia!