Friday, November 19, 2010

Pengemis atau seniman?


Sepasang warga tua ini mengemis dari meja ke meja di sebuah restoran dengan menghulurkan secawan kertas kepada para pelanggan.


Apabila mereka tiba di meja kami, saya mengerling kepada rebab yang dikelek lelaki itu.

Saya bertanya, "Tuan boleh memainkan satu lagu untuk saya?"

Beliau mengangguk-angguk.

Saya menghulurkan kerusi kepada beliau. Beliau duduk sambil memasang alat pendengaran di telinga dan terus menggesek rebab yang berbadankan tempurung kelapa.


Isterinya yang berdiri disisi beliau tiba-tiba mendendangkan sebuah lagu Cina.

Sejujurnya, tiada apa-apa yang istimewa daripada persembahan mereka. Suara isterinya pula serak-serak sahaja. Alunan rebab yang digesekkan beliau itu tidaklah begitu merdu.


Namun, apabila mereka selesai membuat persembahan spontan itu, saya bertepuk tangan dan lantas mengeluarkan duit not merah daripada dompet dan memberikan kepada mereka.

Wanita itu sambil tersenyum mengucapkan sesuatu di dalam Bahasa Cina. Saya tidak dapat menangkap maksudnya, namun saya menjangkakan bahawa beliau menyatakan rasa terima kasih mereka.


Apabila mereka mendekati saya sebelum ini, boleh sahaja saya memberikan RM1 kepada mereka dan mengharapkan mereka beredar pergi dengan segera.

Namun saya tidak mahu melakukan sebegitu kerana dengan berbuat demikian, kita akan sentiasa melihat mereka hanyalah sebagai pengemis jalanan.


Dengan membayar sedikit wang saguhati kepada mereka untuk menikmati suatu persembahan seni (walaupun sekadar persembahan gesekan muzik rebab dan nyanyian yang biasa-biasa sahaja) , setidak-tidaknya kita melihat mereka sebagai seniman jalanan.

Dan hari ini, biarlah saya memilih untuk melihat dan menghormati mereka sebagai seniman kerana maruah sebagai seorang seniman walaupun menghiburkan khalayak di jalanan, nyata ia lebih tinggi darjatnya daripada mengemis!

1 comment:

Ailin Schaendisson said...

Bubbles, Saya teringat pulak beberapa hari lalu, ada "seniman" yang ditahan oleh pak guard di stesen tunnelbanna (metro) kami. Pada pandangan mereka, di masyarakat sosialis seperti Sweden, tidak perlu ada orang mengemis kerana semua mendapat bayaran, gaji dan perkhidmatan dengan seadilnya. "Seniman" itu dituduh berkerja secara hitam "black employment", iaitu kerja mendapat gaji tanpa membayar wang cukai kepada kerajaan.