Wednesday, April 27, 2011

Lulus!

Logo rasmi pertubuhan

Alhamdulillah. Pendaftaran bagi 'Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah Kuala Lumpur dan Selangor' sudah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nama singkatan rasminya adalah Red Bubbles. Inilah platform rasmi bagi saya mengusahakan program 'clown doctors' di hospital di Malaysia.

Logo ini direka oleh tetuan BeSpoke yang budiman. Terima kasih. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik kalian itu.

Pagi tadi semasa menjalani rutin harian: sarapan di gerai makan di tepi Masjid Kg. Melayu Ampang Tambahan, telefon saya berdering. Melihatkan nombornya, saya meneka dengan tepat bahawa panggilan itu daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan.

Saya hanya mampu mengucapkan, "Alhamdulillah, dan terima kasih banyak-banyak," apabila pegawai yang menelefon itu memberitahu saya bahawa permohonan kami itu sudah diluluskan, dan saya boleh mengambil sijil pendaftaran pada bila-bila masa di pejabat mereka.

Saya bersyukur kerana dalam tempoh yang singkat sahaja, permohonan itu diluluskan, walaupun sepanjang tempoh itu, proses pengurusan pendaftaran tergendala akibat masalah teknikal. Namun saya berterima kasih kepada pihak pendaftar pertubuhan kerana berusaha membantu menyelesaikan urusan pendaftaran itu dengan secepat mungkin, walaupun mereka menghadapi masalah teknikal yang di luar kawalan mereka. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik mereka itu.

Langkah yang seterusnya? Mencari dana awal bagi membuka akaun persatuan, dan membina  website. Saya tidak tahu caranya, namun saya akan bertanya. 

Saturday, April 23, 2011

Video Projek Perpustakaan Teratak Rahmat




Terima kasih kepada Tuan Latfy Anuar Latif dan Tuan Shaharin Zainon atas titipan rakaman video ini. Saya juga berterima kasih kepada seorang dermawan yang tidak dikenali kerana menyumbang sejumlah dana pada hari ini. Semoga Allah memurahkan rezeki pada dermawan yang menyokong usaha menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat ini. Amin.


Sehingga hari ini dana terkumpul sudah mencecah RM8000.00. Alhamdulillah.


Bagi tuan-tuan yang ingin menyumbang, sumbangan dana boleh disalurkan kepada saya melalui akaun Maybank: 1621 8801 6529.


Terima kasih.


____________________________________________________________


I would like to thank my good friend, Latfy and Shaharin for capturing the moments in video at Teratak Rahmat, last weekend. 


I would like to thank an anonymous donor  who contributed a sum of donation today. May Allah bless your generosity accordingly. Ameen. 


To date, we have raised RM8000.00. Alhamdulillah.


To contribute, you might want to send your donations to my Maybank account: 1621 8801 6529.


Thank you.

Thursday, April 21, 2011

A poor woman learns to write

Puisi ini mengingatkan saya kepada hakikat, bahawa dua pertiga daripada 796 juta penduduk dunia yang buta huruf, adalah kaum wanita.


A poor woman learns to write

She squats, bare feet
splayed out, not
graceful; skirt tucked around ankles.
Her face is lined and cracked.
She looks old,
older than anything.
She’s probably thirty.
Her hands also are lined and cracked
and awkward. Her hair concealed.
She prints with a stick, laboriously
in the wet grey dirt,
frowning with anxiety.
Great big letters.
There. It’s finished. 
Her first word so far.
She never thought she could do this,
Not her. 
This was for others,
She looks up, smiles 
as if apologizing,
but she’s not. Not this time. She did it right.
What does the mud say?
Her name. We can’t read it.
But we can guess. Look at her face:
Joyful Flower? A Radiant One? Sun On Water?

Margaret Atwood, author.

Source: UNESCO's Alphabet of Hope, 2007.

Tuesday, April 19, 2011

Melawat Teratak Rahmat

Kami berpeluang menayangkan video
projek perpustakaan sebelum ini
kepada anak-anak Teratak Rahmat.

Pada hari Jumaat dan Sabtu lalu, saya dan sahabat-sahabat saya, Latfy dan Shaharin mengunjungi Teratak Rahmat di Mata Ayer, Perlis. Tujuan kami ke sana bagi membuat rakaman video usaha penubuhan perpustakaan di Teratak Rahmat. Dengan berbuat demikian, kami berharap ia dapat membantu usaha mengumpul dana bagi projek perpustakaan itu.

Perjalanan kami ke sana ditemani oleh saudara Hazman Hassan, AJK Biro Pendidikan Teratak Rahmat. Sepanjang perjalanan, beliau menerangkan secara panjang lebar tentang usaha beliau dan rakan-rakan beliau menguruskan Teratak Rahmat sejak 3 tahun yang lalu.

Saya benar-benar kagum dengan usaha mereka itu. Menguruskan rumah anak yatim bukannya mudah. Apatah lagi mereka melakukannya secara sukarela. 

Menurut beliau, para warden dan pentadbir Teratak Rahmat tidak bergaji. Mereka hanya diberikan saguhati dari masa ke masa bagi menampung perbelanjaan keluarga mereka. Bagi menampung sara hidup, mereka bekerja di luar dan mencari sumber dana melalui perniagaan sendiri. 

Justeru, tidak hairanlah kos pengurusan Teratak Rahmat hanya serendah RM5000 sebulan. Kebanyakan rumah anak yatim yang saya pernah kunjungi mempunyai kos pengurusan sekitar RM10,000 - RM20,000 sebulan.

Ketika ini, Teratak Rahmat menumpang berteduh di bangunan Persatuan Al-Islah, di Mata Ayer, Perlis. Adat orang menumpang berteduh, mereka mendirikan bilik-bilik asrama daripada bahan-bahan terpakai seperti papan lapis dan kayu, di bahagian atas dewan persatuan itu. 

Apa sahaja bahan terpakai yang masih boleh digunakan lagi, dimanfaatkan bagi keselesaan penghuni Teratak Rahmat. 

Saya ketawa besar apabila ditunjukkan pintu sebuah bilik asrama mereka.


Pintu ini dibeli daripada penjual barangan terpakai, dan dahulunya ialah pintu bilik Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perlis!

Malah, mereka juga kreatif membuat peralatan senaman daripada bahan terbuang.


Papan seterika juga boleh dijadikan platform senaman angkat berat!

Saya benar-benar kagum!

Hati kecil saya berkata, "keputusan bekerjasama dengan Teratak Rahmat bagi menjayakan projek ini, jelas adalah satu keputusan yang sangat baik!"

Nota: Sumbangan dana bagi menjayakan projek perpustakaan Teratak Rahmat boleh disalurkan ke akaun Maybank : 162188016529 (Iskandar Syah Ismail). Sehingga kini dana sumbangan masih kekal RM3000. 

Bagi menjayakan projek perpustakaan Teratak Rahmat, dana sebanyak RM25,000 - RM30,000 diperlukan bagi membeli buku-buku dan rak buku serta kelengkapan lain seperti tikar dan kusyen.

Monday, April 18, 2011

Syurga buku

Saya terkenang.

Pada tahun 1987,apabila abah bertukar sekolah dari SK Penjom ke SK Wan Ibrahim di Kuala Lipis, kami juga berpindah dan menetap di rumah kerajaan di Bukit Kerani, Kuala Lipis. 

Dari rumah guru yang kecil dan sempit, kami berpindah ke rumah kayu yang mempunyai ruang dan bilik yang besar. Saya sendiri mendapat sebuah bilik kecil di tepi dapur. 

Paling menggembirakan, bekas penghuni rumah ini meninggalkan khazanah paling berharga bagi saya. Di dalam bilik itu, terdapat berkotak-kotak buku, milik anak-anak beliau. Di dinding pula, barisan ensiklopedia sedang menunggu sahaja giliran halamannya diselak-selak.



Sambil berbaring, saya mengenali Audubon, George Washington Carver, dan Sacajawea dalam ensiklopedia People with Great Deeds. (Saya percaya hasil pembacaan itu membuatkan saya teruja mencontohi mereka). Saya juga mula mengenali karya-karya dari Indonesia seperti Salah Asoehan dan sebagainya. Siri Hikayat 1001 Malam yang ditinggalkan mereka juga membuatkan saya berkurung sepanjang hari di dalam bilik itu. 

Justeru, saya berterima kasih kepada bekas penghuni rumah itu, kerana meninggalkan sebuah syurga buku bagi seorang kanak-kanak!

Tuesday, April 12, 2011

Tolong menolong

Mengadakan persembahan 'theatre clowning' di DCDC,
Vientiane, Laos pada tahun 2006.

"Mengapa awak terima duit dari orang yang bekerja dengan badan gereja Kristian itu?"

Soalan yang dilontarkan oleh seorang sahabat melalui Yahoo Chat sekitar tahun 2002 itu membuatkan saya terpana.

Beberapa hari sebelum itu, saya berkongsi kegembiraan saya dengan rakan-rakan di dalam emel, mengenai usaha saya mencari dana, bagi menyertai Clown Camp di University of Wisconsin-La Crosse di Amerika, sudah hampir berhasil.

Di dalam emel itu, saya menceritakan bagaimana sahabat saya semasa di Laos, Puan Xuyen Dangers turut membantu usaha saya itu. Beliau adalah pekerja sosial bagi Church World Service (CWS), sebuah NGO Kristian yang beroperasi di Laos bagi membantu penduduk miskin dengan mendirikan sekolah, mengadakan kelas-kelas pendidikan dan sebagainya. 

Seorang lagi sahabat saya semasa di Vientiane, seorang rakyat Singapura, Yap Wei Ling yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada Xuyen, dan pusat pendidikan selepas sekolah yang ditubuhkannya, Donekoi Children Development Center (DCDC).

Pusat itu dikelolakan oleh para sukarelawan remaja tempatan yang dilatih beliau, bagi menjalankan pelbagai aktiviti selepas waktu sekolah, bagi mengisi masa lapang kanak-kanak dan remaja di kawasan Donekoi, sebuah kampung yang terletak kira-kira 6 batu dari kota Vientiane.

Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Donekoi, dan bertemu dengan Xuyen adalah semasa hari terbuka DCDC yang pertama. Xuyen berpesan kepada Wei Ling,

"Mohon Tuan Iskandar datang menghiburkan kanak-kanak di sini esok, sebagai 'clown'!'"

Wei Ling sebelum itu pernah bercerita kepada beliau tentang seorang sukarelawan dari Malaysia yang juga seorang 'clown'. 

Ia benar-benar membuatkan Xuyen tertarik hati dan beria-ria benar mahu berjumpa saya. Justeru, beliau mengundang saya supaya datang pada hari itu untuk bertemu dengan beliau.

Justeru, saya tiba di sana dengan berpakaian badut yang serba ringkas. Hidung merah pastinya melekat di hidung, dan kopiah merah ala Raihan kepunyaan saya berubah menjadi topi badut dengan stiker bulat dan kecil berwarna kuning, yang dilekatkan awal-awal lagi pada malam sebelumnya. Semuanya dilakukan secara 'improvised'.

Ketika di sanalah, saya mula mengenali dengan lebih dekat lagi wanita separuh abad yang berhati waja bernama Xuyen Dangers itu.

Di kalangan anak-anak tempatan yang rata-rata beragama Buddha, beliau amat disenangi mereka. DCDC yang diilhamkan beliau, menjadi pusat segala macam aktiviti bagi mengisi masa lapang kanak-kanak di situ. Kelas bahasa, menjahit, kraftangan, muzik, semuanya ada. Di sekeliling kawasan DCDC pula, terdapat taman herba, kebun sayur-sayuran, dan sudut membuat baja kompos. 

Sememangnya, DCDC menjadi tumpuan anak-anak kecil dan remaja di sekitar Donekoi selepas waktu sekolah. Para sukarelawan yang dilatih oleh Xuyen, mengelolakan segala aktiviti di situ.

Justeru, tanpa banyak soal, apabila beliau meminta saya mengajarkan anak-anak didiknya dengan ilmu 'clowning', saya bersetuju.

Maka sejak itu, saya sering menghabiskan masa pada hujung minggu di Vientiane, dengan mengajar anak-anak didiknya itu segala apa yang saya tahu tentang 'clowning'. 


Dari kiri: Xuyen, saya, dua remaja bekas penagih dadah, rakan Xuyen dari Amerika. Foto diambil semasa saya kembali melawat Vientiane, Laos pada tahun 2006.
Beliau nyata sangat gembira, dan apabila mengetahui saya sedang berusaha keras mencari dana bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang 'clowning' di University of Wisconsin La-Crosse, semasa Clown Camp pada tahun 2003, pada suatu hari, beliau menghulurkan sepucuk sampul surat berisi kad ucapan dan beberapa keping duit seratus dolar Amerika.

Beliau menulis,

"Terima kasih kerana sudi mengajar anak-anak didik di Donekoi ilmu 'clowning. Terimalah duit ini sebagai 'upah' mengajar mereka selama ini. Saya doakan tuan berjaya!"

Saya benar-benar terkejut, kerana saya tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan daripada  apa yang saya lakukan itu. Saya hanya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anak-anak tempatan. Malah saya seronok melakukannya.

Namun, sumbangan beliau itu benar-benar membantu usaha saya itu. Justeru, saya amat berterima kasih atas 'gesture' beliau itu.

Justeru, apabila saya disoal dengan pertanyaan begitu oleh seorang rakan yang sudah lama tidak ditemui, yang tiba-tiba sahaja menghubungi saya kerana semata-mata mahu bertanya tentang isu itu, saya berasa agak terkejut.

Saya tidak sangka, sumbangan ikhlas Xuyen sebagai tanda terima kasih beliau itu boleh menjadi isu kepada beliau.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya.

'Salahkah saya menerimanya dari seorang yang beragama Kristian?'

Entahlah. Bagi saya, situasi itu sangat mudah dan indah.

Seorang Muslim yang berkongsi ilmu dengan anak-anak kecil beragama Buddha, dan sumbangannya itu dihargai oleh seorang Kristian dengan sedikit dana sebagai upah atau tanda penghargaan beliau. 

Tidakkah indah melihat insan-insan yang berlainan agama, bekerjasama membantu orang lain, yang juga bukan seagama dengan mereka?

Itulah jawapan yang saya berikan kepada soalan yang dilontarkan oleh sahabat saya itu.

Monday, April 11, 2011

Hanya 100!

Hanya dengan nilai 100, hidup seseorang itu boleh berubah.

RM100, 100 Dolar, atau 100 yuan, jenis matawang itu tidak penting.

Aleksander Gudzowaty memulakan perniagaannya dengan hanya berbekalkan 100 dolar, selepas beliau kehilangan pekerjaannya apabila Poland mencapai kemerdekaannya.                                                                                                                                  

Saturday, April 02, 2011

Di atas sejadah ini

Di atas sejadah ini,
Tiga dahi mencium bumi,
Bersujud menyembah ilahi,

Di atas sejadah ini,
Tiga dahi berkongsi-kongsi,
Melayu, Jawa dan Bangladeshi,

Di atas sejadah ini,
Tiga dahi, tiga hati, tiga isi
Berdoa agar dimakbuli.

Di atas sejadah ini,
Tiga dahi memberi salam kanan dan kiri,
Tinggal dua, seorang berlalu pergi.


Masjid Kg. Batu
1 April 2011