Wednesday, December 28, 2011

Meraikan Gedung Ilmu Teratak Rahmat


Mereka yang menerima manfaat sebuah perpustakaan!

Kata sahabat saya, Nasrun yang mengikuti perjalanan projek perpustakaan di rumah-rumah anak yatim sejak 2008, "This is the best project we've done so far."

Saya bersetuju kerana inilah kali pertama saya melihat komitmen yang diberikan oleh semua pihak yang berkepentingan (stakeholders), RISM dan Teratak Rahmat melebihi apa yang diharapkan. Malah, saya benar-benar terharu melihat komitmen 200% yang diberikan oleh semua warga Teratak Rahmat. Daripada layanan yang mesra sehinggalah kepada persiapan majlis sambutan yang dilaksanakan dengan begitu profesional. Ada di antara mereka yang tidak tidur malam semata-mata kerana mahu menyiapkan kemasan akhir perpustakaan sebelum ia dirasmikan. Syabas!

Sayang sekali salah seorang dermawan budiman yang memainkan peranan penting dalam penubuhan perpustakaan ini tidak dapat hadir bersama pada hari perasmian Perpustakaan Kanak-kanak RISM-ICI di Teratak Rahmat. Beliau sedang berehat di London selepas pembedahan pintasan jantung. Namun pada pagi hari perasmian, beliau ada menghubungi kami bertanyakan perkembangan akhir projek ini. Terima kasih tiada terhingga kepada Dr. Khoo Boon Khean atas kesungguhan beliau memastikan projek ini berjaya dilaksanakan.

Bagi melihat foto-foto semasa majlis perasmian perpustakaan, mohon klik di Album Facebook saya ini.

Teratak Rahmat juga menulis entri mengenai majlis perasmian perpustakaan itu di SINI.

Terima kasih tuan-tuan yang dermawan yang telah menyumbang kepada kejayaan projek perpustakaan terakhir saya buat masa ini. Saya berdoa agar tuan-tuan yang budiman terus dimurahkan rezeki. Amin...Amin...

Saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya kepada usaha Red Bubbles menghibur pesakit kanak-kanak di hospital pula selepas ini.

Sunday, December 25, 2011

Sunyinya Wad KK3!

Wad KK3, Institut Pediatrik HKL

 Hari ini Hari Krismas. Oleh kerana program yang sepatutnya berlangsung pada hari ini terbatal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya keluar menuju ke Institut Pediatrik HKL. Tujuan utama, ke Wad KK3 yang khusus menempatkan kanak-kanak pesakit kanser.

Apabila tiba di wad itu, saya menjangkakan yang pada hari ini, wad itu tentu meriah dengan lawatan para dermawan dan Santa Klaus sedang memberikan hadiah kepada pesakit kanak-kanak sempena Hari Krismas. Rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. 

Wad itu sunyi sepi tanpa pengunjung. It's all quiet at the western front

Kelihatan dua orang doktor dan beberapa orang jururawat sedang bertugas. Saya terus melangkahkan kaki melewati setiap bilik sehingga ke hujung wad. Kelihatan anak-anak sedang berbaring ditemani keluarga mereka. Suasananya suram dan sangat normal. 

Pada waktu itu, mahu sahaja saya bertukar bagaikan Superman, dan masuk ke setiap bilik di dalam wad itu bagi menghiburkan mereka. 

 Tiba di hujung wad, bilik di sebelah kanan, kosong tanpa penghuni. Saya berpatah balik dan ketika melewati nurse station, saya bertanya kepada salah seorang daripada doktor yang sedang bertugas di situ, "Tidak ada orang melawatkah sempena Hari Krismas ini?"

"Tidak ada nampaknya. Dahulu pernah juga para pelajar sekolah antarabangsa datang membawa hadiah. Malah dahulu, ada juga seorang lelaki datang membuat belon untuk anak-anak ini. Kali ini tiada pula."

Beliau bertanya, "Tuan melawat saudarakah?"

"Oh, tidak. Saya sekadar berziarah. Insya Allah, saya datang lagi nanti." Saya menjawab sambil tersenyum. 

Dalam hati, saya berkata, 'Saya akan datang lagi ke sini berkali-kali!"



Bilik Permainan Kanak-kanak. Tutup.

Wednesday, December 14, 2011

Tertubuhnya Perpustakaan di Teratak Rahmat


 Ahad ini, perpustakaan Teratak Rahmat akan diserahkan secara rasminya kepada pengurusan Teratak Rahmat oleh penaja bersama projek ini, Pertubuhan Juruukur DiRaja Malaysia dan ICI Paints (Malaysia) Sdn Bhd.

Usaha sejak beberapa bulan yang lalu telah berhasil. "Man jadda wa jada", barangsiapa yang berusaha dia akan berjaya.





Terima kasih kepada para dermawan yang telah menyumbang kepada projek perpustakaan ini. Saya mempelajari sesuatu ketika mengusahakan projek ini. Dalam menjayakan projek seperti ini, pihak yang berkepentingan (stakeholder) bukan sahaja para penyumbang, malah penerima bantuan juga adalah pihak yang berkepentingan. Justeru, pandangan dan hasrat mereka juga mesti dihormati.