Sunday, December 25, 2011

Sunyinya Wad KK3!

Wad KK3, Institut Pediatrik HKL

 Hari ini Hari Krismas. Oleh kerana program yang sepatutnya berlangsung pada hari ini terbatal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya keluar menuju ke Institut Pediatrik HKL. Tujuan utama, ke Wad KK3 yang khusus menempatkan kanak-kanak pesakit kanser.

Apabila tiba di wad itu, saya menjangkakan yang pada hari ini, wad itu tentu meriah dengan lawatan para dermawan dan Santa Klaus sedang memberikan hadiah kepada pesakit kanak-kanak sempena Hari Krismas. Rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. 

Wad itu sunyi sepi tanpa pengunjung. It's all quiet at the western front

Kelihatan dua orang doktor dan beberapa orang jururawat sedang bertugas. Saya terus melangkahkan kaki melewati setiap bilik sehingga ke hujung wad. Kelihatan anak-anak sedang berbaring ditemani keluarga mereka. Suasananya suram dan sangat normal. 

Pada waktu itu, mahu sahaja saya bertukar bagaikan Superman, dan masuk ke setiap bilik di dalam wad itu bagi menghiburkan mereka. 

 Tiba di hujung wad, bilik di sebelah kanan, kosong tanpa penghuni. Saya berpatah balik dan ketika melewati nurse station, saya bertanya kepada salah seorang daripada doktor yang sedang bertugas di situ, "Tidak ada orang melawatkah sempena Hari Krismas ini?"

"Tidak ada nampaknya. Dahulu pernah juga para pelajar sekolah antarabangsa datang membawa hadiah. Malah dahulu, ada juga seorang lelaki datang membuat belon untuk anak-anak ini. Kali ini tiada pula."

Beliau bertanya, "Tuan melawat saudarakah?"

"Oh, tidak. Saya sekadar berziarah. Insya Allah, saya datang lagi nanti." Saya menjawab sambil tersenyum. 

Dalam hati, saya berkata, 'Saya akan datang lagi ke sini berkali-kali!"



Bilik Permainan Kanak-kanak. Tutup.

1 comment:

IARNIZA BAKHTIAR said...

anak kami pernah ditempatkan di sini keran knser mt..kini di tid lgi dijemput Ilhi pd 9hb Jn llu...selama 5 bulan kmi berulang alik ke sini ibarat rumah ke2...kini hanya tinggl kenangn abadi...kepada semua parents pesakit kanser moga tabah menghadapi ketentuan Ilahi even berat untuk kita melepaskannya...

Bagi kmi wad ini dah cukup selesa dgn nurse2 yg baik, sabar dan tabah melayan karenah pesakit kanser...doktor2 yg sentiasa membantu di kala getir...cuma sesekali wad ini sunyi di kala tiada pengunjung...terasa sayu hati di kala suasana sepi tanpa semua ahli keluarga di sisi...