Friday, March 15, 2013

Menjejak Pustakawan Pulau Raasay

Feri ke Pulau Raasay



Saya tidak pernah mengenali Bob McCracken.

Saya membaca kisah beliau di dalam Reader's Digest (Disember '91). Beliau diberi penghormatan oleh majalah itu sebagai salah seorang "Heroes of Today".

Bob tinggal di sebuah pulau kecil yang bernama Isle of Raasay di gugusan kepulauan Skye, Scotland. Jika kita mahu bertandang ke pulau itu, kita terpaksa menaiki feri dari tanah besar Scotland.

Bob adalah seorang pustakawan di pulau itu. Beliau menyediakan perkhidmatan perpustakaan bergerak secara sukarela kepada para penduduk di pulau itu dengan hanya berbekalkan koleksi buku-buku peribadi beliau.

Kadang-kadang, bagi menambah koleksi buku untuk perpustakaannya,  beliau mengeluarkan wang simpanan bagi membeli buku-buku daripada kedai-kedai buku terpakai di Inverness dan Portree.

Saya dapat membayangkan beliau bersusah payah menaiki feri dari pulau itu ke tanah besar Scotland dan kemudian membawa pulang berkotak-kotak buku ke pulau itu semata-mata supaya penduduk di pulau Raasay dapat menikmati buku-buku yang bagus dan menarik.

Justeru, saya tergerak hati bagi mengenali beliau dengan lebih dekat. Lantas, saya mencari maklumat mengenainya di internet.  Jika saya dapat menghubungi, tentu sahaja saya mahu mengucapkan selamat dan rasa terima kasih atas jasa bakti beliau. Namun saya tidak ketemu sebarang maklumat mengenai beliau.

Lantas saya cuba menghubungi Persatuan Komuniti Raasay melalui laman web mereka. Saya menulis,

"Tuan,

Saya baru sahaja membaca majalah Reader's Digest edisi Disember 1991. Di dalam bahagian 'Heroes of Today', penulis artikel itu bercerita mengenai usaha Tuan Bob McCracken di Pulau Raasay mengusahakan perpustakaan bergerak kepada penduduk Raasay.

Saya ingin tahu sama ada perpustakaan yang beliau usahakan itu masih ada sehingga kini? Adakah Tuan Bob masih meneruskan usaha murni beliau itu?"

Beberapa hari selepas saya mengutus emel itu, saya menerima balasan emel daripada David Carslaw, wakil Persatuan Komuniti Raasay. Beliau menulis,

"Tuan Iskandar,

Maafkan saya kerana saya ingin memaklumkan khabar sedih yang Bob baru sahaja meninggal dunia pada tahun lalu. Beliau diserang strok beberapa tahun yang lalu dan beliau tidak lagi berupaya mengendalikan perpustakaan bergeraknya. Tahun lepas, strok kembali menyerang beliau dan malangnya kali ini beliau meninggal dunia.

Perpustakaan bergerak yang beliau usahakan itu sudah dibubarkan. Buku-buku beliau sudah didermakan kepada para penduduk dan juga disalurkan kepada kedai-kedai jualan amal (charity shops) di pulau ini."

Sayang sekali, saya terlewat.

Namun begitu, saya mengambil iktibar betapa Bob melakukan tugasnya itu demi kecintaannya kepada buku dan beliau mahu berkongsi kecintaannya itu dengan orang lain.

Penduduk Pulau Raasay sangat beruntung kerana pernah memiliki sang budiman ini dalam kehidupan mereka.

Malam ini, saya benar-benar berasa seperti kehilangan seorang sahabat.


1 comment:

the legend said...

Is,

Itulah pengorbanan seorang manusia terhadap komuniti dia. Namun usaha beliau terhenti disebabkan sebab tertentu.

Good job bro...

apa cherita library kat kedah dan ipoh tu?