Saya dibesarkan di sini. Kampung Penjom, Batu 6, Jalan Lipis – Benta, Kuala Lipis, Pahang. Daripada tahun 1980 – 1986 saya menghabiskan (menikmati!) zaman masa kanak-kanak saya di kampung ini. Bapa saya bertugas sebagai Guru Besar di SK Penjom ketika itu. Kami tinggal di rumah guru yang dibina sejak 1930an lagi . Rumah berdinding kayu itu beratapkan zink. Bising bunyinya apabila ditimpa hujan. Rumah itu kini sudah tiada digantikan dengan rumah guru berdinding batu beberapa tahun dahulu.
Saya singgah di kampung itu semalam untuk menunaikan solat Zohor. Saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. Sudah banyak berubah. Masjid lama tempat saya bermain dan belajar-belajar melaungkan azan sudah tinggal separuh menjadi setor menyimpan pinggan mangkuk. Beduk tua yang selalu mengejutkan saya diwaktu subuh sudah tidak digunakan lagi. Kebun getah berhampiran masjid yang menjadi laluan harian saya adik-beradik untuk belajar mengaji Al-Quran di rumah Haji Daud juga telah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah semak samun dan ulan menjalar.
Berlegar-legar di sekitar masjid yang baru dibina bersebelahan masjid lama saya sempat menjenguk kawasan perkuburan berhampiran. Dahulu saya selalu mengikuti gotong-royong penduduk kampung membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan itu. Sayu di hati melihat pada batu-batu nesan tertera nama-nama mereka yang saya masih ingat dan kenal biarpun hampir 20 tahun saya meninggalkan kampung ini. Tok Penghulu Zaharuddin Hj Talib yang selalu menjadi pengadil bolasepak perlawanan persahabatan diantara belia kampung itu dan kampung berdekatan baru sahaja meninggal dunia tahun lepas. Haji Daud, guru mengaji saya pun telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun lalu.
Saya melawat kembali SK Penjom yang terletak bersebelahan dengan masjid. Disitulah tempat yang menjadi ruang kehidupan kanak-kanak saya selama 6 tahun. Kolam ikan disebelah pejabat sekolah masih ada. Dahulu saya suka mencari-cari berudu di situ. Perpustakaan sekolah masih tegak berdiri. I owe a lot to that building. Di sanalah setiap hari, saya khayal ‘mengembara’ ke serata dunia dengan membaca buku-buku Enid Blyton, Thomas The Tank Engine, Ensiklopedia dan himpunan buku-buku Penguin Books. Dahulu sayalah yang memegang kunci perpustakaan itu. Selepas tamat waktu persekolahan saya akan meminta kunci perpustakaan dari Pakcik Zaaba, kerani sekolah yang mahir menari Tarian Tradisional dan memulangkannya kembali dengan menyusupkan kunci melalui bawah pintu pejabatnya apabila selesai
Pintu perpustakaan sekolah itu semalam berkunci. Kalau tidak sudah tentu saya kembali ‘khayal’ menatapi buku-buku yang pernah menjadi sahabat karib saya dahulu.
Saya masih ingat akan Perayaan Jubli Emas SK Penjom pada tahun 1980. ”King Ghaz” Tan Sri Ghazali Shafie datang merasmikan majlis sambutan. Pesta. Meriah. Malam itu Kumpulan Carefree tampil membuat persembahan konsert dan lawak jenaka oleh A. Tawil . Malah ada pertunjukan wayang gambar di padang besar berhampiran.
Hari ini, SK Penjom akan menyambut Perayaan Jubli Intannya. Sudah 75 tahun usia SK Penjom. Sambutannya kini kecil-kecilan. Sambutan hanyalah berkisar akan ceramah motivasi, forum perdana dan pameran buku. Majlis akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lipis. Zaman berubah.
Selamat Ulang Tahun ke-75 SK Penjom!
5 comments:
Mengamit kenangan silam
^_^
Alangkah sayunya pulang ke tempat kenangan. Tempat asal mencerminkan masa depan kita, dan di mana kita sekarang menggesakan kita supaya memandang ke tempat lalu. Bukan begitu?
Aha! dan saya berasal dari Kg Sega, Raub!
salam..bleh x sy tau.kt kg penjom ni..ade homestay x?..t.kasih
add la facebook Anak Penjom...
Post a Comment