Monday, December 15, 2008

Projek Perpustakaan Kembali lagi!

Ramai rakan-rakan yang sudah bertanya tentang hal ini.

Saya tentu sahaja tidak mahu menghampakan hasrat mereka untuk membantu dan terus membantu.

Maka eloklah saya umumkan di sini, untuk projek perpustakaan yang seterusnya,

"Mari kita cuba tubuhkan lebih daripada satu!"

Calon-calon rumah kebajikan sudah ada namanya dan sudah pun dilawati baru-baru ini.

Berikut adalah cadangan rumah-rumah kebajikan/anak yatim untuk projek perpustakaan kali ini:

1. Rumah Anak Yatim & Miskin Dar'us Salam, Tambun,Perak
2.Rumah Anak Yatim & Miskin Bait Al-Amin,Parit,Perak
3. Rumah Kebajikan pelbagai kaum (di negeri Perak kalau boleh).

Mengapa Perak?Rasionalnya, eloklah kita fokus untuk satu-satu negeri dahulu sebelum beralih ke negeri lain. Untuk tujuan pemantauan, cara ini akan memudahkan lawatan susulan, sekali 'harung' sahaja untuk menjimatkan kos dan masa.

Maahad Dar'us Salam dilawati pada bulan Ramadan yang lepas. Memang daif. (Saya akan masukkan foto yang diambil semasa lawatan berkenaan kemudian).

Ada sebaris buku terpakai hasil derma orang ramai di atas meja pejabat rumah berkenaan. Itulah 'perpustakaan'nya. Malah, saya tidak terkejut kalau melihat anak-anak penghuni rumah berkenaan meluangkan masa bermain di kawasan paya berair (dalam!) di belakang asrama mereka.

Saya bayangkan di dalam kepala waktu itu,

"Alangkah baiknya, kalau mereka mempunyai satu tempat dimana mereka
boleh duduk berjam-jam dikelilingi buku!"

Saya menjangkakan dana sekitar RM5000 diperlukan untuk Rumah Dar'us Salam. Jangkaan ini berdasarkan kekangan dari segi ruang yang terhad untuk tujuan perpustakaan.



Bait Al-Amin pula bukan asing bagi saya.Itulah projek pertama yang berjaya mengumpulkan sekotak buku baru bernilai lebihRM2000 sekitar Ramadan 2007 .Catatan mengenai projek berkenaan boleh dilawati di sini.

Saya merasa teruja ketika pertama kali melawat rumah ini awal bulan ini. Dahulu saya hanya mampu mengirimkan buku tersebut melalui Islamic Relief yang melawat rumah berkenaan pada bulan September 2007 dalam rangka lawatan program bantuan Ramadan mereka.Kali ini,saya datang sebagai pegawai Islamic Relief melihat sendiri rumah berkenaan dan mencari jalan untuk terus membantu.

Alhamdulillah,saya gembira melihat perkembangan terkini rumah berkenaan.Tidak dapat tidak, ini adalah hasil berkat usaha gigih pengurusnya,Encik Roslan.Jika dahulu hanya ada rumah kayu yang daif tempat mereka berlindung.Kini sudah ada 3 blok bangunan baru yang sudah hampir siap dibina yang akan menempatkan asrama bagi anak-anak yatim berkenaan.

Malah, apabila diajukan tentang perpustakaan,beliau berkata,

"Sudah ada bilik yang kami sediakan untuk tujuan itu".

"Buku-buku yang tuan berikan dahulu masih diminati oleh anak-anak berkenaan",tambahnya.

Mengapa kembali semula ke sini? Tujuannya ialah untuk menambahbaik projek-projek perpustakaan yang sebelum ini hanya dapat dijalankan dengan dana yang kecil.Dana yang kecil maksudnya bukunya yang sedikit sahaja dapat dibeli.

Kerana itu, setelah berbincang dengan rakan-rakan, maka eloklah perpustakaan di rumah-rumah kebajikan yang ditubuhkan sebelum ini dapat ditambahkan lagi buku-buku yang baru dan juga dihadiahkan dengan satu set ensiklopedia sekurang-kurangnya. Supaya semua rumah-rumah berkenaan mendapat jumlah buku yang setara. Saya menjangkakan dana sekitar RM6000 diperlukan untuk penambahbaikan perpustakaan Bait Al Amin.

Selain itu, saya juga masih mencari-cari rumah anak yatim pelbagai kaum di negeri Perak untuk tujuan yang sama. Semasa melawat Bait Al Amin tempoh hari, puas kami mencari di kawasan Menglembu dan Lahat berpandukan maklumat daripada rakan-rakan, namun tidak berjumpa.

Insya Allah, buku-buku untuk anak-anak yatim pelbagai kaum akan disaring sesuai dengan umur dan pegangan agama mereka. Yang pasti, usaha ini selaras dengan prinsip kerja Islamic Relief yang tiada prejudis terhadap perbezaan agama,warna kulit dan bangsa.Saya jangka,kita memerlukan sekitar RM6000 untuk tujuan ini.

Jumlah dana kesemuanya yang diperlukan ialah sebanyak RM17000.

Untuk rakan-rakan yang ingin terus membantu, bolehlah menghulurkan sumbangan anda melalui laman web Islamic Relief Malaysia atau terus ke sini. Setakat ini sudah ada dana terkumpul sebanyak lebih kurang RM4000. Jumlah ini adalah baki daripada projek perpustakaan sebelum ini, iaitu di Yayasan An-Nur Maisarah,Chemor,Perak yang dilaksanakan pada bulan Ramadan yang lepas.

Sekali lagi saya merayu kepada rakan-rakan bahawa projek ini ialah untuk bertujuan untuk menghadiahkan buku-buku yang baru kepada rumah-rumah anak yatim dan tidak menerima buku-buku terpakai.

Sekira ada kemusykilan, saya boleh dihubungi melalui emel: adabi99-at-yahoo- dot-com.

2 comments:

Caieja said...

Tuan Dr,

Mintak izin pinjam link ke blog anda yer...

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

bisa aje sih!