Monday, October 18, 2010

Modalnya hanya RM50!




"Kamu berniaga apa sekarang?" tiba-tiba tuan punya kedai makan di sebelah Masjid Kg. Melayu Ampang itu bertanya ketika saya hendak menghulurkan bayaran untuk makan malam saya, lewat senja tadi.

Pelik juga soalan beliau itu, apatah lagi saya sedang memakai uniform rasmi yang tidak menggambarkan saya sebagai seorang yang terlibat di dalam bisnes. Namun pertanyaan itu beliau ajukan dengan penuh yakin, seolah-olah beliau mengetahui perkembangan hidup saya kebelakangan ini.

Sambil tersipu-sipu, saya membuka rahsia, "Bisnes kecil-kecilan sahaja, makcik."

"Kamu tahu, ketika makcik mula-mula berniaga dahulu, makcik hanya bermodalkan RM50 sahaja!"

"Wah!Benarkah begitu?" kata saya terkejut. Terngiang-ngiang di fikiran kata-kata Tuan Shamsuddin Kadir yang pernah memberitahu bahawa beliau meletakkan cabaran kepada dirinya untuk memulakan sebarang perniagaan dengan modal sebanyak RM100 sahaja.

"Benar. Makcik dahulu berniaga ikan segar dengan hanya bermodalkan RM50 sahaja. Sedikit demi sedikit makcik mengumpul modal untuk mengembangkan bisnes makcik. Ini kisah pengalaman makcik lebih 20 tahun yang lalu. Makcik berniaga gerai makan di tepi masjid ini pun sudah 13 tahun," sambil beliau menunjukkan ke gerai yang saya selalu kunjungi ini.

Beliau terus bercerita bagaimana beliau menjual ikan segar kepada pelanggan di sekitar Kg.Melayu Ampang.Dengan berkat rezeki perniagaan beliau yang bermula dengan modal RM50 itulah, beliau dapat menunaikan umrah dan haji beberapa kali bersama-sama ahli keluarganya.

Nasihat beliau yang masih segar di dalam fikiran saya, "Jangan tinggalkan solat Dhuha. Selepas makcik menyelesaikan kerja-kerja memasak di dapur, makcik akan bersolat Dhuha setiap hari.Malam-malam pula makcik akan bersolat Tahajjud.Kamu amalkanlah, Insya Allah, Allah akan bukakan pintu rezekimu."

"Anak, janganlah kamu risau apabila berniaga. Kita harus rajin dan tabah," beliau terus menasihati.

"Yang penting, kamu jangan sesekali mengalah!" tegasnya.

"Apabila kita merintih, meminta pertolongan daripadaNya, Allah itu Maha Mendengar dan Dia akan memakbulkan doa kita. Makcik percaya kepada hakikat itu."

Menyedari masa tidak mengizinkan, saya bermohon kepada beliau untuk beredar dan mengucapkan terima kasih di atas nasihat-nasihat beliau itu.

"Tahukah siapa yang memberikan poster mutiara kata yang kamu lihat bergantungan di sekeliling kedai makcik ini?" tiba-tiba beliau menyoal.


"Siapa makcik?" tanya saya berminat dan saya tidak jadi untuk melangkah pulang.

Kedai makan beliau sememangnya dihiasi dengan poster-poster mutiara kata yang sentiasa menarik perhatian saya setiap kali singgah di kedai beliau. Jarang-jarang saya lihat kedai makan yang berkonsep sebegini. Saya amat suka kerana sambil kita menikmati makanan, kita dapat juga menikmati 'santapan jiwa' dengan kata-kata yang memberi semangat dan yang mengajak kita untuk berfikir.



"Poster-poster itu diberikan oleh Tuan Haji AWY. Beliau itu abang kandung makcik!"

Oh! Rupa-rupanya Tuan Haji AWY, seorang ahli perniagaan yang berjaya di dalam bisnes penerbitan buku di tanah air adalah abang kandung beliau. Sebuah majalah terbitan syarikat beliau laku keras sehingga diulang-cetak beberapa kali.

Hebat!

1 comment:

afzam adenan said...

Bab solat Dhuha, pesan yang molek. Mengingatkan saya pada pesan mak saya tentang membuka pintu rezeki, memudahkan jalan...