Friday, January 28, 2011

Doktor badut yang cilik



Karier saya sebagai doktor badut bermula sejak kecil.

Namun saya tidak menyedarinya.

Membelek-belek koleksi foto zaman tori, saya terjumpa foto ini.

Ia menyegarkan semula kenangan semasa kecil dahulu.

Saya sedang beraksi sebagai doktor yang sedang memeriksa pesakit dalam satu drama pendek sempena majlis penyampaian hadiah tahunan semasa saya belajar di Tadika KEMAS Kg. Penjom, Kuala Lipis.

"Sudah berapa hari encik tidak sakit?"

Kesilapan menyebut skrip menyebabkan para hadirin ketawa berdekah-dekah. Saya hanya mampu tersengih kemalu-maluan.

Selama berhari-hari selepas insiden itu, saya akan disapa oleh orang kampung dengan kata-kata itu,

"Sudah berapa hari encik tidak sakit?"

Saya hanya membalasnya dengan senyuman.

Apakah itu suatu petunjuk pada suatu hari nanti, kanak-kanak yang menggembirakan penduduk kampung itu akan menggembirakan pula pesakit kanak-kanak di hospital?

Saya yakin, Allah sudah melorongkan jalan yang seluas-luasnya kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab itu.

Apa pun, jangan pedulikanlah gelagat seorang kanak-kanak lelaki, di suatu sudut foto, yang sedang cuba mengezipkan seluarnya itu.

Wednesday, January 26, 2011

Anak-anak yang cekal!

Teringat perbualan telefon di suatu petang, beberapa ketika dahulu.

"Pak Ngah, Siti Hajar akan bertunang kelak,Fairuz pula akan berkahwin pada bulan Jun ini!" gadis kecil, Nazatul memberitahu. Mereka menggelar diriku 'Pak Ngah' kerana wajahku iras-iras komposer muzik tanah air, Pak Ngah.

"Benarkah?"

"Ya. Pak Ngah bila lagi?"

"Hahaha!" tergelak besar apabila Nazatul bertanya soalan 'cepu emas' itu.

"Ah,tunggulah nanti," saya memberi jawapan 'standard'.

"Siddiq dan Fauzan apa khabar?" saya cepat-cepat menukar tajuk perbualan dan terus berbual dengan beliau.

Nazatul, Siddiq, Fauzan, Fairuz dan Siti Hajar adalah anak-anak yang cekal melawan kanser di dalam hidup mereka. Saya bersahabat dengan mereka ketika bertugas di sebuah organisasi amal membantu pesakit kanser.

Ibu kepada salah seorang daripada mereka bercerita kepada saya, mereka pernah diraikan dalam satu program amal bersama artis tempatan seperti Afdlin Shauki dan Harith Iskander. Saya tidak menghadiri majlis itu kerana pada ketika itu saya bertugas di luar kawasan. Dalam majlis itu, mereka mencari-cari saya dan bertanya kepada semua orang,

" Nampak tak abang Iskandar?"

"Ini dia abang Iskandar," Afdlin menunjukkan mereka kepada Harith.

"Eh, ini bukan abang Iskandar kami!" jawab mereka.

Saya ketawa mendengar kisah itu. Tidak pernah saya menyangka betapa kehadiran saya dalam hidup mereka amat besar ertinya bagi mereka.

Saat bersama mereka selama beberapa tahun itu adalah suatu pengalaman yang sungguh indah. Saya tidak menyangka, sudah hampir 10 tahun saya mengenali mereka, dan kini mereka sudah dewasa!

Tuesday, January 25, 2011

Memberi itu tiada noktah



Pagi-pagi, ketika membuka pintu, saya terpandang seorang wanita ditemani seorang lelaki berketurunan Cina sedang duduk menunggu di ruang tamu pejabat.


Saya segera menyapa mereka," Selamat pagi tuan dan puan. Bagaimana saya boleh membantu kalian?"


Wanita itu bersuara. Lelaki yang menemaninya itu hanya diam membatu. Barangkali beliau adalah suaminya.


"Saya ingin menyerahkan sumbangan duit syiling untuk tabung kanser kelolaan organisasi tuan," kata beliau sambil menghulurkan sekarung duit syiling.


Saya menyambutnya sambil mengucapkan terima kasih.


Terang beliau, "Duit ini milik anak perempuan kami. Beliau memang suka menyimpan duit syiling di dalam tabung," suaminya mengangguk-angguk bersetuju.


"Wah, anak puan sungguh mulia hatinya! Boleh saya tahu namanya?"


Wanita itu tersenyum,


"Namanya Lee Ling Pei. Umurnya 8 tahun. Beliau adalah satu-satunya anak kami,"


"Oh, begitu. Kenapa beliau tidak datang sekali bersama puan?"


Soalan itu membuatkan mereka terdiam.


Kemudian, Puan Lee kembali bersuara. Dengan tenang beliau menerangkan,


"Ling Pei menghidap Leukemia. Beliau melawan kanser dengan penuh ketabahan selama beberapa tahun. Namun, takdir tuhan itu pasti.


Beliau meninggal dunia di hospital baru-baru ini. Hari ini, genap sebulan beliau meninggalkan kami. Apa pun, saya amat berbangga dengannya. She is a good fighter!"


Saya terpana. Sebak. Menahan air mata.


"Maafkan saya,"


"Tidak mengapa tuan. Kami mahu menyumbang duit syiling hasil tabungan beliau ini sebagai tanda kenangan kami kepada beliau. Namun, lebih daripada itu, kami tahu inilah hasrat sebenar hatinya. Semoga beliau terus dapat membantu orang lain yang melawan kanser walaupun beliau sudah tiada di dunia ini," beliau menjelaskan mengakhiri perbualan pada pagi itu. Tuan Lee mengangguk bersetuju.


Setiap kali terkenang peristiwa ini yang berlaku pada tahun-tahun saya berkhidmat membantu pesakit kanser, saya tersenyum mengingati betapa besarnya jiwa mereka yang saya pernah temui sepanjang tempoh masa itu.


Pagi itu, keluarga si anak kecil bernama Ling Pei mengajar saya betapa, tugas memberi itu tiada noktah.

Sunday, January 09, 2011

Di luar kotak



Sudah seminggu berada di luar kotak.

Segala ketakutan dan keraguan sudah kutinggalkan di persimpangan jalan. Seorang teman sering menasihati,

"Jangan toleh belakang, pandang ke hadapan."

Ya, aku berterima kasih kepadanya kerana tidak jemu mengingati.

Semoga Allah terus mempermudahkan perjalanan hidupku yang sungguh berwarna-warni ini.