Tuesday, April 19, 2011

Melawat Teratak Rahmat

Kami berpeluang menayangkan video
projek perpustakaan sebelum ini
kepada anak-anak Teratak Rahmat.

Pada hari Jumaat dan Sabtu lalu, saya dan sahabat-sahabat saya, Latfy dan Shaharin mengunjungi Teratak Rahmat di Mata Ayer, Perlis. Tujuan kami ke sana bagi membuat rakaman video usaha penubuhan perpustakaan di Teratak Rahmat. Dengan berbuat demikian, kami berharap ia dapat membantu usaha mengumpul dana bagi projek perpustakaan itu.

Perjalanan kami ke sana ditemani oleh saudara Hazman Hassan, AJK Biro Pendidikan Teratak Rahmat. Sepanjang perjalanan, beliau menerangkan secara panjang lebar tentang usaha beliau dan rakan-rakan beliau menguruskan Teratak Rahmat sejak 3 tahun yang lalu.

Saya benar-benar kagum dengan usaha mereka itu. Menguruskan rumah anak yatim bukannya mudah. Apatah lagi mereka melakukannya secara sukarela. 

Menurut beliau, para warden dan pentadbir Teratak Rahmat tidak bergaji. Mereka hanya diberikan saguhati dari masa ke masa bagi menampung perbelanjaan keluarga mereka. Bagi menampung sara hidup, mereka bekerja di luar dan mencari sumber dana melalui perniagaan sendiri. 

Justeru, tidak hairanlah kos pengurusan Teratak Rahmat hanya serendah RM5000 sebulan. Kebanyakan rumah anak yatim yang saya pernah kunjungi mempunyai kos pengurusan sekitar RM10,000 - RM20,000 sebulan.

Ketika ini, Teratak Rahmat menumpang berteduh di bangunan Persatuan Al-Islah, di Mata Ayer, Perlis. Adat orang menumpang berteduh, mereka mendirikan bilik-bilik asrama daripada bahan-bahan terpakai seperti papan lapis dan kayu, di bahagian atas dewan persatuan itu. 

Apa sahaja bahan terpakai yang masih boleh digunakan lagi, dimanfaatkan bagi keselesaan penghuni Teratak Rahmat. 

Saya ketawa besar apabila ditunjukkan pintu sebuah bilik asrama mereka.


Pintu ini dibeli daripada penjual barangan terpakai, dan dahulunya ialah pintu bilik Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perlis!

Malah, mereka juga kreatif membuat peralatan senaman daripada bahan terbuang.


Papan seterika juga boleh dijadikan platform senaman angkat berat!

Saya benar-benar kagum!

Hati kecil saya berkata, "keputusan bekerjasama dengan Teratak Rahmat bagi menjayakan projek ini, jelas adalah satu keputusan yang sangat baik!"

Nota: Sumbangan dana bagi menjayakan projek perpustakaan Teratak Rahmat boleh disalurkan ke akaun Maybank : 162188016529 (Iskandar Syah Ismail). Sehingga kini dana sumbangan masih kekal RM3000. 

Bagi menjayakan projek perpustakaan Teratak Rahmat, dana sebanyak RM25,000 - RM30,000 diperlukan bagi membeli buku-buku dan rak buku serta kelengkapan lain seperti tikar dan kusyen.

2 comments:

Anonymous said...

dr bubbles, sy guru di sk penjom dan merangkap guru perpustakaan, mcm mna sy nk contanct dr bubles?

zurahana

DR Bubbles said...

Cikgu boleh hubungi saya melalui emel ini: adabi99@gmail.com