Tuesday, April 12, 2011

Tolong menolong

Mengadakan persembahan 'theatre clowning' di DCDC,
Vientiane, Laos pada tahun 2006.

"Mengapa awak terima duit dari orang yang bekerja dengan badan gereja Kristian itu?"

Soalan yang dilontarkan oleh seorang sahabat melalui Yahoo Chat sekitar tahun 2002 itu membuatkan saya terpana.

Beberapa hari sebelum itu, saya berkongsi kegembiraan saya dengan rakan-rakan di dalam emel, mengenai usaha saya mencari dana, bagi menyertai Clown Camp di University of Wisconsin-La Crosse di Amerika, sudah hampir berhasil.

Di dalam emel itu, saya menceritakan bagaimana sahabat saya semasa di Laos, Puan Xuyen Dangers turut membantu usaha saya itu. Beliau adalah pekerja sosial bagi Church World Service (CWS), sebuah NGO Kristian yang beroperasi di Laos bagi membantu penduduk miskin dengan mendirikan sekolah, mengadakan kelas-kelas pendidikan dan sebagainya. 

Seorang lagi sahabat saya semasa di Vientiane, seorang rakyat Singapura, Yap Wei Ling yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada Xuyen, dan pusat pendidikan selepas sekolah yang ditubuhkannya, Donekoi Children Development Center (DCDC).

Pusat itu dikelolakan oleh para sukarelawan remaja tempatan yang dilatih beliau, bagi menjalankan pelbagai aktiviti selepas waktu sekolah, bagi mengisi masa lapang kanak-kanak dan remaja di kawasan Donekoi, sebuah kampung yang terletak kira-kira 6 batu dari kota Vientiane.

Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Donekoi, dan bertemu dengan Xuyen adalah semasa hari terbuka DCDC yang pertama. Xuyen berpesan kepada Wei Ling,

"Mohon Tuan Iskandar datang menghiburkan kanak-kanak di sini esok, sebagai 'clown'!'"

Wei Ling sebelum itu pernah bercerita kepada beliau tentang seorang sukarelawan dari Malaysia yang juga seorang 'clown'. 

Ia benar-benar membuatkan Xuyen tertarik hati dan beria-ria benar mahu berjumpa saya. Justeru, beliau mengundang saya supaya datang pada hari itu untuk bertemu dengan beliau.

Justeru, saya tiba di sana dengan berpakaian badut yang serba ringkas. Hidung merah pastinya melekat di hidung, dan kopiah merah ala Raihan kepunyaan saya berubah menjadi topi badut dengan stiker bulat dan kecil berwarna kuning, yang dilekatkan awal-awal lagi pada malam sebelumnya. Semuanya dilakukan secara 'improvised'.

Ketika di sanalah, saya mula mengenali dengan lebih dekat lagi wanita separuh abad yang berhati waja bernama Xuyen Dangers itu.

Di kalangan anak-anak tempatan yang rata-rata beragama Buddha, beliau amat disenangi mereka. DCDC yang diilhamkan beliau, menjadi pusat segala macam aktiviti bagi mengisi masa lapang kanak-kanak di situ. Kelas bahasa, menjahit, kraftangan, muzik, semuanya ada. Di sekeliling kawasan DCDC pula, terdapat taman herba, kebun sayur-sayuran, dan sudut membuat baja kompos. 

Sememangnya, DCDC menjadi tumpuan anak-anak kecil dan remaja di sekitar Donekoi selepas waktu sekolah. Para sukarelawan yang dilatih oleh Xuyen, mengelolakan segala aktiviti di situ.

Justeru, tanpa banyak soal, apabila beliau meminta saya mengajarkan anak-anak didiknya dengan ilmu 'clowning', saya bersetuju.

Maka sejak itu, saya sering menghabiskan masa pada hujung minggu di Vientiane, dengan mengajar anak-anak didiknya itu segala apa yang saya tahu tentang 'clowning'. 


Dari kiri: Xuyen, saya, dua remaja bekas penagih dadah, rakan Xuyen dari Amerika. Foto diambil semasa saya kembali melawat Vientiane, Laos pada tahun 2006.
Beliau nyata sangat gembira, dan apabila mengetahui saya sedang berusaha keras mencari dana bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang 'clowning' di University of Wisconsin La-Crosse, semasa Clown Camp pada tahun 2003, pada suatu hari, beliau menghulurkan sepucuk sampul surat berisi kad ucapan dan beberapa keping duit seratus dolar Amerika.

Beliau menulis,

"Terima kasih kerana sudi mengajar anak-anak didik di Donekoi ilmu 'clowning. Terimalah duit ini sebagai 'upah' mengajar mereka selama ini. Saya doakan tuan berjaya!"

Saya benar-benar terkejut, kerana saya tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan daripada  apa yang saya lakukan itu. Saya hanya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anak-anak tempatan. Malah saya seronok melakukannya.

Namun, sumbangan beliau itu benar-benar membantu usaha saya itu. Justeru, saya amat berterima kasih atas 'gesture' beliau itu.

Justeru, apabila saya disoal dengan pertanyaan begitu oleh seorang rakan yang sudah lama tidak ditemui, yang tiba-tiba sahaja menghubungi saya kerana semata-mata mahu bertanya tentang isu itu, saya berasa agak terkejut.

Saya tidak sangka, sumbangan ikhlas Xuyen sebagai tanda terima kasih beliau itu boleh menjadi isu kepada beliau.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya.

'Salahkah saya menerimanya dari seorang yang beragama Kristian?'

Entahlah. Bagi saya, situasi itu sangat mudah dan indah.

Seorang Muslim yang berkongsi ilmu dengan anak-anak kecil beragama Buddha, dan sumbangannya itu dihargai oleh seorang Kristian dengan sedikit dana sebagai upah atau tanda penghargaan beliau. 

Tidakkah indah melihat insan-insan yang berlainan agama, bekerjasama membantu orang lain, yang juga bukan seagama dengan mereka?

Itulah jawapan yang saya berikan kepada soalan yang dilontarkan oleh sahabat saya itu.

4 comments:

Anonymous said...

Is...

kadang kadang manusia itu narrow minded n selalu rasa pandangan dia aje yg betul.

U r such great human being granted a talent to bring joy to the kids regardless of religion.

Biarlah ape org nak cakap , yg penting Allah maha melihat & mengetahui, yg penting apa yg di kerjakan ikhlas dari hati. Pasal sumbangan tu, lets say its a gift frm Allah!

Keep up the great work..

Lee said...

Hi Dr Bubbles, from what little my out of tune bahasa can faham your this posting....its interesting what the you, the people doing these SEA countries.
Outstanding!

I myself believe hands that help are Holier than lips that pray.
You have fun and keep well. Lee.

Al-Manar said...

A noble job goes beyond race and religion.

ninotaziz said...

Dear Dr Bubbles,

I believe we are the bridges that connect people across the oceans. And as such bring smiles (as you do so well sampai mencari ilmu dalam bidang clowning - I have never heard of this!) all around.

Never give up - sticks and stones won't hurt you!