Wednesday, July 13, 2011

Tiada Rotan Akar pun Berguna

Jambatan Akar di India (Kredit foto: http://babakoto.eu)
 
Ketika berkelana ke Maninjau, di Sumatera Barat, saya menerima SMS daripada sahabat saya Tuan Hazman, ahli lembaga pengelola Teratak Rahmat.

Beliau menulis, "Salam tuan, ada entri terbaru di blog Teratak Rahmat mengenai projek Perpustakaan Kanak-kanak di Teratak Rahmat."

Apabila pulang ke rumah, saya segera membuka blog Teratak Rahmat. Alangkah gembiranya saya membaca entri terbaru blog mereka.

Tersenyum saya membaca catatan sahabat saya itu,

Beliau menulis.

...Seperti yang dipersetujui, ketika DR Bubbles mencari dana bagi membeli buku, peralatan dan perabot dalam perpustakaan, kami di Teratak Rahmat pula bertekad untuk menyediakan ruang dengan menegakkan dinding, tingkap dan pintu yang bersesuaian, di samping memasang kipas elektrik untuk keselesaan pengguna perpustakaan.

Syukur kepada Allah, seruan kami untuk orang ramai membantu sudah disahut. Sumbangan berupa papan lapis (plywood) dan kayu-kayan terpakai sudah diterima. 

Sumbangan papan lapis dan kayu-kayan
 

Inilah bahan asas yang akan digarap dan diperindah oleh para warden kami yang turut bertindak sebagai jurubina ruang ini. Tentunya juga usaha itu akan dilaksanakan dengan kos yang paling minimum....

Sumbangan meja dan papan lapis

Usaha warga Teratak Rahmat ini mengingatkan saya kepada kepada peribahasa Melayu yang berbunyi,

“Tiada rotan, akar pun berguna.”

Peribahasa Melayu ini bermaksud, kalau tiada yang baik, maka yang kurang baik pun boleh juga.

Namun, saya paling suka peribahasa ini yang dititipkan oleh sahabat saya itu,

“Tunggul kayu kalau ditarah pelicin; elok juga”.

Maksud peribahasa ini ialah, barang yang buruk kalau dihiasi tentu akan cantik juga kelihatannya.

Tepat sekali!

Ternyata idea penglibatan komuniti dalam usaha ini berhasil. Tatkala belum pun saya dapat meraih dana yang cukup bagi menubuhkan perpustakaan, warga Teratak Rahmat sudah berjaya membuktikan komitmen mereka dalam usaha bersama ini, dengan meraih sumber dalam bentuk material bagi menyediakan ruang perpustakaan di Teratak Rahmat.

John Wood, si pencetus idea 'community participation' dalam penubuhan perpustakaan seperti ini, pasti tersenyum lebar.

Malah, kejayaan Teratak Rahmat itu memberi semangat kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi mendapatkan dana secukupnya bagi penubuhan perpustakaan di tempat mereka.

Lalu, terdetik di hati saya ketika selepas bersolat sebentar tadi,

"Tidakkah kita mahu membantu mereka yang berusaha membantu diri mereka sendiri?


Nota: Sumbangan bagi membeli buku untuk Projek Perpustakaan Teratak Rahmat boleh disalurkan kepada akaun Maybank: 162188016529 (Iskandar Syah Ismail).

No comments: