Thursday, November 17, 2011

Meniup gelembung-gelembung buih



Meniup gelembung buih kepada si cilik di HUKM, Nov 2011.




Saya masih teringat peristiwa ini walaupun ia sudah hampir enam tahun berlaku.


Ketika itu, saya dan rakan badut saya, Tuan Uncle Button, dijemput oleh pertubuhan wanita sukarela Soroptimist International ke Pusat Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur bagimenghiburkan pesakit-pesakit kanser kanak-kanak di Wad KK3, sempena lawatan  mereka ke wad itu.


Selesai sahaja melawat wad KK3 dan menghiburkan pesakit kanak-kanak di wad itu, kami keluar ke lobi utama pusat pediatrik itu untuk pulang.


Apabila tiba di lobi utama, kami ternampak seorang lelaki dan anak kecil yang comel berdiri di suatu sudut di lobi itu. Anak kecil itu kelihatan muram sahaja wajahnya. Sebaik sahaja beliau melihat kami, beliau cepat-cepat bersembunyi di sebalik tubuh bapanya.


“Ah, ini satu peluang untuk kita bermain dengan si anak comel itu!” Saya memberitahu Uncle Button.


Kami memastikan kedudukan kami dalam ‘jarak yang selamat’ di dalam usaha berinteraksi dengan si anak kecil itu. Jika kami berdiri terlalu hampir, kami pasti akan menakutkan beliau.


Guru badut saya, Avner Eisenberg pernah memberitahu,

“jarak yang ‘selamat’ di antara dua orang yang berdiri berhadapan di antara satu sama lain, ialah sejauh mana kedua-dua tangan seseorang itu dapat menyentuh hujung jari orang yang berdiri di hadapannya.”
Saya mengeluarkan tabung berisi buih sabun dan segera meniup gelembung buih yang paling besar ke arah anak kecil yang masih berdiri, bersembunyi disebalik bapanya itu. Bapa beliau tersenyum melihat telatah anaknya itu.


Anak kecil yang muram itu tiba-tiba ketawa mengekek-ngekek apabila buih sabun itu tiba-tiba pecah betul-betul di atas hidungnya.


Segerombolan gelembung buih kecil yang ditiup terus membuatnya terkekek-kekek ketawa.   Dengan spontan, beliau berlari-lari mengelilingi tubuh bapanya dan terus menampar-nampar buih-buih kecil itu dengan jari-jarinya.


Memang tidak dapat disangkal lagi, gelembung buih adalah silap mata terbaik untuk anak-anak kecil mahupun orang dewasa! Tiuplah gelembung buih kepada sesiapa pun, mereka pasti teruja! Tidak hairanlah, kebanyakan program 'clown doctors' di seluruh dunia menggunakan gelembung buih untuk berinteraksi dengan pesakit kecil dan bayi.


Melihat anaknya berlari-lari dan ketawa, bapanya memberitahu kami,


“Anak saya ini baru sahaja selesai pembedahan. Dia menderita sakit angin pasang (hernia) . Saya gembira kerana inilah kali pertama sejak pembedahan itu, saya melihat dia ketawa.”


Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha Red Bubbles bagi menghibur pesakit kanak-kanak di wad hospital dapat diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my


Nota: Entri ini pernah disiarkan pada 16 November 2009, dan setelah dikemaskini,ia disiarkan semula pada 17 November 2011 sebagai entri 'tribute' kepada Red Bubbles yang akan 'kembali' semula ke Wad KK3, HKL.

Tentu Ada Jalan!

Di HUKM pada Sabtu lepas, meniup buih untuk si kecil.

"Selepas ini kita boleh pergi ke HKL!" kata sahabat saya yang mengusahakan agar Red Bubbles boleh memasuki 'kota' HKL yang 'tebal' itu.

Di dalam hati saya, "Wah, mudahnya!" Namun, mengetahui latar belakang beliau yang begitu 'passionate' dalam usaha memberi semangat, kegembiraan, dan harapan kepada pesakit kanak-kanak, ia tidak mustahil.

Tentu sahaja saya berasa gembira dengan khabar ini. Ia ibarat sirih pulang ke gagang kerana di wad KK3, HKL itulah (wad yang dikhaskan untuk pesakit kanser kanak-kanak), inspirasi bagi usaha Red Bubbles ini bermula. Di sanalah, saya melihat sendiri bagaimana anak-anak ini menjadi 'dewasa' dalam usaha melawan kanser yang menyerang mereka. Di sanalah, saya mula meneroka dan mencari cara terbaik bagi menjadikan kehidupan anak-anak di wad itu agar menjadi lebih selesa dan ceria, dengan idea program 'clown doctors'.

Namun, perasaan gembira di hati saya segera berubah menjadi risau. Risau bagaimana harus kami mencari dana secukupnya bagi mengekalkan program lawatan bulanan Red Bubbles di Hospital UKM, Cheras dan sekarang ditambah pula bagi meneruskan usaha menghibur kanak-kanak pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Namun apabila saya teringat kata-kata seorang ibu kepada pesakit kanser di HUKM yang berkata, " Terima kasih kepada Allah kerana ada insan seperti tuan yang membawa keceriaan kepada anak-anak di wad ini," lantas saya berkata kepada diri saya, "Tentu ada jalan!"


Apabila mahu diambil foto, dia cepat-cepat menanggalkan
'face mask' dan terus mengukir senyuman yang manis sekali!

Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha  menghibur kanak-kanak di wad hospital diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.

Bagi pertanyaan lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my