Thursday, November 17, 2011

Tentu Ada Jalan!

Di HUKM pada Sabtu lepas, meniup buih untuk si kecil.

"Selepas ini kita boleh pergi ke HKL!" kata sahabat saya yang mengusahakan agar Red Bubbles boleh memasuki 'kota' HKL yang 'tebal' itu.

Di dalam hati saya, "Wah, mudahnya!" Namun, mengetahui latar belakang beliau yang begitu 'passionate' dalam usaha memberi semangat, kegembiraan, dan harapan kepada pesakit kanak-kanak, ia tidak mustahil.

Tentu sahaja saya berasa gembira dengan khabar ini. Ia ibarat sirih pulang ke gagang kerana di wad KK3, HKL itulah (wad yang dikhaskan untuk pesakit kanser kanak-kanak), inspirasi bagi usaha Red Bubbles ini bermula. Di sanalah, saya melihat sendiri bagaimana anak-anak ini menjadi 'dewasa' dalam usaha melawan kanser yang menyerang mereka. Di sanalah, saya mula meneroka dan mencari cara terbaik bagi menjadikan kehidupan anak-anak di wad itu agar menjadi lebih selesa dan ceria, dengan idea program 'clown doctors'.

Namun, perasaan gembira di hati saya segera berubah menjadi risau. Risau bagaimana harus kami mencari dana secukupnya bagi mengekalkan program lawatan bulanan Red Bubbles di Hospital UKM, Cheras dan sekarang ditambah pula bagi meneruskan usaha menghibur kanak-kanak pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Namun apabila saya teringat kata-kata seorang ibu kepada pesakit kanser di HUKM yang berkata, " Terima kasih kepada Allah kerana ada insan seperti tuan yang membawa keceriaan kepada anak-anak di wad ini," lantas saya berkata kepada diri saya, "Tentu ada jalan!"


Apabila mahu diambil foto, dia cepat-cepat menanggalkan
'face mask' dan terus mengukir senyuman yang manis sekali!

Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha  menghibur kanak-kanak di wad hospital diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.

Bagi pertanyaan lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my

No comments: