Thursday, February 27, 2014

Barca Aku Datang!

Sagrada Familia, Barcelona, Spain (Kindra Clineff), Sunday Times UK

Kelmarin saya menerima emel daripada Michael Christensen. Beliau pengasas program doktor badut The Big Apple Circus Clown Care Unit di Amerika dan digelar sebagai "The Father of Hospital Clowning."

Beliau memberitahu yang saya telah terpilih bagi menyertai bengkel International Workshop On Hospital Clowning yang julung-julung kali diadakan di Barcelona, Sepanyol pada 13-31 Oktober 2014. 

Beliau akan mengendalikan bengkel itu bersama beberapa orang 'trainer' terkemuka dalam bidang 'hospital clowning'. Hanya 24 orang peserta sahaja dari seluruh dunia yang akan dipilih bagi menyertai bengkel ini.

Perasaan saya sebenarnya bercampur baur. Gembira bercampur risau. Gembira kerana sebab yang memang jelas. Ini peluang belajar yang sukar dilepaskan!

Risau juga kerana sebab yang memang jelas: Kekangan kewangan bagi menyertai bengkel ini.

Barcelona matawangnya Euro. Bengkel ini saya yakin lazimnya akan mengenakan yuran  kepada para peserta. Entah berapa ribu Euro bagi bengkel selama 3 minggu nanti. Saya sudah menyemak kos sewa bilik melalui khidmat 'airbnb'. Nampaknya setara dengan kos kehidupan di New York sewaktu kelana saya sebelum ini. 

Kos makan dan minum masih belum dicongak. Kos tiket kapal terbang pula sekitar RM4000 hingga RM5000. Jika kos penerbangan ke Barca kelihatan agak mahal, mungkin sahaja saya menuju ke London dahulu dan kemudian menaiki penerbangan murah ke Barcelona. 

Saya mula merancang bagi mengutip pengalaman sebanyak-banyaknya daripada kelana kali ini. Perancis sudah hampir. Begitu juga UK. Tidak jauh untuk saya bagi  pergi pula menadah ilmu dan pengalaman daripada program-program 'clown doctors' di Paris, dan juga di England selepas menghadiri bengkel ini. 

Saya akan menulis kepada Le Rire Medecin bagi memohon peluang melihat pelaksanaan program mereka di hospital di Paris. Begitu juga bagi menimba ilmu di England nanti, saya akan menulis pula kepada Theodora Children Trust.

Ya Allah, permudahkanlah usaha hambamu ini. Amin.




No comments: