Friday, March 14, 2014

Wak Kerusi



Kerusi buatan Wak Kerusi


Sudah lama saya mengidamkan sebuah bangku untuk diletakkan di anjung rumah.

Dengan adanya bangku itu, bolehlah saya bersantai-santai di anjung sambil membaca buku. Ini mungkin gara-gara saya terpesona dengan adegan penamat dalam filem Notting Hill yang memaparkan Hugh Grant sedang duduk  di sebuah bangku di sebuah taman bunga sambil  khusyuk membaca buku. Julia Roberts pula sedang berbaring di atas pahanya. Ewah!

Wak Kerusi di jalanan.


Kerana itu saya sering memerhati seorang lelaki tua yang sering kelihatan di  kawasan Ampang Jaya, berjalan kaki sambil memikul bangku di bahunya. Namun saya tidak berkesempatan menegur beliau kerana kebiasaannya saya terlihat beliau ketika saya memandu keluar ke tempat kerja tidak lama dahulu.

Hari ini, ketika saya berjalan kaki melewati masjid Kg. Melayu bagi menuju ke stesen LRT, saya terserempak dengan beliau. Beliau sedang berjalan sambil memikul bangku kayu di bahunya. Lantas, saya melambaikan tangan memberi isyarat agar beliau berhenti sebentar.

Saya bertanya, "Tuan, berapakah harga bangku ini?" Niat di hati sekadar mahu meninjau harganya.

Beliau tersengih lalu menampakkan giginya yang rongak dan berkata, "Harganya RM120. Tapi untuk anak, ambil sahajalah RM100."

"Eh, bukankah bangku ini tuan pikul untuk orang lain yang menempahnya?"

Beliau menjawab, "Oh, tidak. Bangku ini belum ada pembelinya. Anak ambillah."

Saya teragak-agak kerana saya sudah berada tidak jauh dari Stesen LRT.

Namun, dia kemudian berkata, "Lagipun, daripada saya meminta-minta, lebih baik saya membuat dan menjual bangku ini  bagi mencari rezeki."

Saya lantas menukar fikiran dan mengajak beliau kembali ke rumah.

Ketika berjalan pulang ke rumah, mulut saya ramah pula bertanya, "Tuan tinggal di mana?"

"Di Keramat."

Wah! Dari Keramat ke Kg. Melayu Ampang jaraknya sekitar 3-4 km. Rupa-rupanya beliau berjalan kaki sambil memikul bangku itu.

Beliau bercerita lagi yang beliau membuat bangku itu dalam masa sehari. "Saya buat dengan tangan sahaja. Jika pakai mesin, 5-6 buah bangku boleh dibuat dalam masa sehari."

Timbul rasa kasihan di hati saya melihat lelaki tua ini yang bersusah payah memikul sebuah bangku bagi mencari sesuap rezeki. Lantas apabila tiba di rumah, saya segera ke dapur dan mengambil segelas air sejuk untuk lelaki tua itu. Nampak benar beliau keletihan memikul bangku itu berbatu-batu jauhnya.

Ketika mahu membayar harga bangku itu, saya menghulurkan RM120 kepada beliau. Cepat-cepat beliau menepisnya.

"Saya tidak mahu. Saya hanya mahu RM100 sahaja!" tegas beliau sambil mengambil dua keping not RM50 sahaja.

Sambil meletakkan dua keping not RM10 ke atas tapak tangannya, saya berkata, "Ambillah tuan, buat belanja makan."

"Saya tidak mahu. Ia sudah cukup." Beliau kemudian mengambil duit itu dan meletakkan di atas bangku. "Terima kasih, tuan. Saya tidak mahu, tuan. Saya tidak mahu." Berulang kali beliau berkata demikian sambil beredar pergi.

Wak Kerusi berjalan pulang.


Nota:

Sejak dari hari itu, saya beberapa kali bertemu dengan lelaki tua yang saya gelarkan sebagai Wak Kerusi. Setiap kali bertemu beliau, saya akan membeli kerusi daripada beliau. Sempat juga saya menempah rak dan meja daripada beliau. 

Rak buatan Wak Kerusi


Namun sekarang kelibat Wak Kerusi tidak lagi kelihatan di kawasan Ampang Jaya. Entah apalah nasib beliau sekarang. Setiap kali terkenang Wak Kerusi, saya berdoa agar beliau sentiasa sihat di mana jua beliau berada. 

Atas ingatan kepada Wak Kerusi, saya menulis sebuah buku kanak-kanak bertajuk DR Bubbles & Wak Kerusi yang bakal diterbitkan oleh Buku Prima pada April 2014.

Terbit April 2014!



3 comments:

Wan F said...

Kami pun ada 'kawan' electrician yang semacam ini. Dia Cina beragama Buddha yang kami kenal semasa pindah ke rumah teres kami awal 1980an dulu. Dia buat kerja wiring tambahan. Dengan dia, dia akan ambil harga yang dipersetujui awal sahaja. Lebih dari itu tidak mahu terima. Katanya, "awak sembahyang punya orang, sayapun sembahayang punya orang juga. Buat kerja kena betul2 dan ikhlas". Sampai sekarang apa2 kerja wiring dialah yang kami pilih.

Iskandar aka DR Bubbles said...

Puan Wan Faridah,

Terima kasih kerana sudi melawat blog saya. Saya suka membaca catatan puan di blog puan.

Wan F said...

Bila sdr ada new entry saya singgah. Seronok kerja sukarelawan dan nampak saudara memang prepare untuk tujuan ini, siap ambil kursus lagi untuk lagak clown....syabas. Ramai jiwa2 yang tersisih perlukan sokongan ini. Harap diteruskan khidmat bakti ini. Terima kasih kerana sudi membaca celoteh saya.