Saya terpaksa tangguh rancangan saya untuk sambung belajar di UKM dalam bidang Psikologi Kesihatan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Tak mengapalah. Saya sudah ada rancangan yang lain sementara tunggu tahun depan untuk sambung niat saya itu kembali.
Rancangan terbaru: Saya sekarang sedang berusaha untuk melanjutkan pengajian 'clowning & hospital' di Bonts International Clown School di , Ibiza, Spain selama 2 minggu dari 14 Januari sehingga 25 Januari 2008.
Bila sebut Ibiza, terbayang di kepala ialah sebuah pulau yang gawat parti,disko dan arak. Jangan bimbang, Bonts School terletak jauh dari kawasan itu. Kalau nak ke sana, tiada bas lalu ke sana. Anda kena singsing lengan dan hulurkan ibu jari di tepi jalan untuk tumpang naik kereta ke studio.Alternatifnya, berjalan kaki berbelas-belas kilometer!
Selama 2 minggu itu kelak saya akan belajar dengan Eric de Bonts, Pepa Astillero dan Encarna de las Heras untuk mendalami "energy work" di dalam situasi hospital dan teknik "theatre clowning" dalam persekitaran yang sensitif seperti di hospital. Melihat gambar-gambar Bonts School teringat saya Celebration Barn Theatre di Maine dimana ia adalah bekas bangsal ladang lama dibangunkan semula oleh Tony Montanaro sebagai tempat latihan teater fizikal (physical theatre). Bonts School pula ialah bekas tiga gedung wain lama.
Untuk ke sana Januari ini, saya sedang berusaha mencari dana dan penajaan untuk tampung perbelanjaan semasa ke sana. Tiket kapal terbang saya akan cuba usahakan untuk dapatkan penajaan Qatar Airways yang mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madrid melalui Doha . Dari Madrid, saya dimaklumkan oleh Saudara Aiyub Omar dari Kedutaan Malaysia di Madrid, saya boleh terbang ke Ibiza dengan penerbangan tambang murah (no frills) seperti Spanair atau Iberia Vueling.
Sebagai tanda terima kasih kalau Qatar Airways sudi taja, saya bercadang singgah di Doha untuk berkongsi ilmu yang dikutip di Ibiza dengan mengadakan bengkel untuk sukarelawan program Reach Out to Asia (ROTA) yang dipimpin oleh puteri Sultan Qatar yang cantik ngetop, Her Excellency Sheikha Mayassa bint Hamad bin Khalifa Al Thani. (Saya harap dia tak kawin lagi! Amin! Hahahaha!)
Selain itu, saya sudah meminta bantuan Dr Azhar Abdul Aziz, pakar rakyat Malaysia di Hamad Medical Centre Doha yang saya kenali beliau melalui buku catatan perjalanan "Sorrow Behind The Smiles" oleh Dr Mohamed Hatta Shaharom mendapatkan maklumat perhubungan "the right person" di Hamad Medical Centre Doha untuk mendapatkan kebenaran rasmi mengadakan "hospital clowning visits" di sana.
OK, masa untuk sambung balik kerja saya siapkan proposal! Jumpa lagi