Monday, September 10, 2007

Niat 7 tahun lepas
















Saya harap anak-anak di Bait Al Amin,Parit,Perak akan tersenyum lebar apabila tim Islamic Relief Malaysia bertandang ke rumah mereka pada 1 Ramadhan (13hb September) ini dengan membawa buku-buku yang sudah dibeli (ada juga yang didermakan) untuk perpustakaan mereka.

Pagi tadi, saya sudah serahkan pada sahabat saya di Islamic Relief - 2 kotak penuh dengan buku-buku cerita, novel remaja, kisah perjuangan Nabi, kisah teladan, motivasi dan pelbagai lagi judul menarik.

Puas hati saya. Dalam seminggu jumlah derma terkumpul ialah RM2025.00. Kos harga buku yang sudah dibeli ialah RM2035.09. Kos beli lagi banyak dari jumlah kutipan! Tidak mengapa.


Saya gembira kerana sudah hampir 7 tahun niat saya untuk kembali membina gedung ilmu tertangguh dan akhirnya tercapai juga hari ini. (5 tahun sebelumnya dalam tahun 1995, saya dan rakan-rakan sekolej pernah membina perpustakaan desa di Kg. Banggol Sembilan, Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah).

Sebenarnya 7 tahun lepas, saya sudahpun menerima buku-buku daripada sasterawan Bonda Zaharah Nawawi untuk projek seumpama ini. Beliau telah memberikan beberapa naskhah antologi cerpen "Nasib" kepada saya. Namun, kerana sibuk dengan tugas, projek saya itu terbengkalai sehinggalah saya membaca blog Islamic Relief baru-baru ini tentang keperluan Bait Al Amin untuk melengkapkan buku-buku di perpustakaan mereka.

Mungkin digerakkan kerana rasa "bersalah", saya menghantar SMS kepada rakan-rakan dan Alhamdulillah respon dari mereka amat menggalakkan. Ada yang menderma buku, wang tunai malahan ada yang menzakatkan sumbangan untuk projek ini. Saya benar benar terharu!

Maka, hujung minggu lepas, saya berkejar-kejar ke Koperasi DBP di Dewan Bahasa Pustaka, Kedai Buku Popular dan MPH untuk mendapat buku-buku berkenaan dengan harga diskaun (Hanya di DBP dan Popular saya menikmati 10% diskaun). Memang seronok, mencari buku di rak-rak seolah olah dalam peraduan mencari harta karun!

Semasa di Koperasi DBP, semasa membayar saya sempat berbual dengan seorang pengunjung dari Ipoh yang datang ke sana bersama anak-anaknya. Saya bercerita kepada beliau tentang projek ini dan tidak semena-mena beliau menghulurkan not RM50 untuk projek ini.

"Nah, ikhlas daripada saya!" , katanya.


Aduh. Memang rezeki murah anak-anak yatim di Bait Al-Amin!

Beberapa malam lepas, saya bersengkang mata sehingga pukul 1 pagi merekodkan segala pembelian dan mengkatalog buku-buku berkenaan. Bukan apa, supaya senang saya menggunakan maklumat yang ada untuk projek-projek perpustakaan akan datang. Berdasarkan rekod, sebanyak 114 buah buku yang telah dibeli ialah terbitan DBP dan 91 buah buku adalah dari keluarga penerbitan PTS Publications.

Saya sebenarnya tertarik dengan buku-buku terbitan PTS. Pertamanya, muka surat pertama sentiasa dimulai dengan kalimah Bismillahirahmanirrahim. Yang kedua, hasil karya penulis penulis di bawah PTS begitu segar daripada segi idea dan corak penulisannya. Syabas PTS!Teruskan usaha kalian untuk memandaikan bangsa! (Nota: Tiada kepentingan peribadi atas kenyataan saya ini kerana saya tidak dapat apa-apa diskaun dari PTS kecuali diskaun wajib 10% di Koperasi DBP dan 10% kad diskaun ahli Kelab Buku Popular!)

Terima kasih sekali lagi kepada dermawan-dermawan yang menghulurkan bantuan untuk memandaikan bangsa!

4 comments:

Unknown said...

Is,
Tahniah & terima kasih atas usaha murni ini. Saya ada niat nak buat usah sukarela seperti ini, tapi tidak berkemampuan menyumbang masa dan tenaga.

Mungkin kita boleh fikirkan untuk gerakkan komuniti pencinta buku menyokong usaha sebegini...

Anonymous said...

congratulations teddy bear! :)

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

bang jiwa,

usaha saya itu tergesa-gesa sebenarnya.tak sangka juga respons diterima begitu menggalakkan.

kadang-kadang saya lebih suka gerak kerja kilat sebegini. kalau berkomite dan ber-AJK kadang mencetuskan karenah birokrasi dan akhirnya usaha tergendala.

mm: nothing much la mm. just doing something ought to be doing..anyway thanks...you are my great supporter!

lanzam said...

Salam...
Alhamdulillah..syukur kehadrat ilahi, terima kasih yang tak terhingga kepada sahabat-sahabat yang telah pun menyumbangkan bahan bacaan untuk dimuatkan dalam perputakaan Bait Al-Amin...Alhamdulillah Ramadhan kali ni, memang anak-anak di Bait Al-Amin banyak menghabiskan masa dengan membaca, terutama buku-buku bacaan bercorak motivasi.Seronok tengok diaorang dah ada minat untuk selalu membaca. Semoga usaha murni yang sahabat-sahabat berikan akan mendapat keredhaan Allah Taala.

Salam Dari Saya

lanzam_99@hotmail.com
017-4013738
Pengerusi Bait Al-Amin