Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru!


Saya dan anak-anak murid dewasa ketika bertugas
sebagai sukarelawan mengajar Bahasa Inggeris di
Institute of Foreign Affairs, Laos, 2002


Sejak beberapa malam yang lepas saya teringat kepada guru-guru yang pernah mengajar saya .Tahun lepas saya mengucapkan terima kasih kepada sebahagian daripada mereka melalui blog ini dan tahun ini saya teruskan 'ritual' itu dengan mengenang jasa cikgu-cikgu lain yang pernah mengajar saya.

Sebenarnya,setiap kali ke Ipoh menghadiri perjumpaan tahunan bekas pelajar STAR, Ipoh, saya pasti 'kempunan' (terlupa) untuk menjenguk Cikgu Oh Eng Cheng (yang pernah mengajar saya subjek Matematik semasa di tingkatan 1 sehingga 3) yang tinggal tidak jauh dari sekolah.

Saya akan tersenyum sendirian setiap kali mengingati telatah nakal kami di dalam kelas beliau.Kami pernah menukar jarum jam tangan masing-masing semata-mata untuk memanjangkan masa Pendidikan Jasmani sehingga mengambil sebahagian masa daripada kelas beliau. Apabila kami lewat masuk ke kelas dia melihat kami sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Haiya, saya sudah rugi satu masa dengan kamu!", dia hanya mampu mengeluh.

Kami tahu dia takkan melenting dengan telatah kami kerana mungkin memahami karenah pelajar remaja lelaki yang selalunya 'nakal' dan suka memberontak. Namun apabila dia mengajar, kami membalas kembali 'jasanya' itu dengan memberikan 100% tumpuan kepada topik yang diajarnya.

Malah, kalau ada rakan-rakan yang cuba mengganggu perjalanan kelasnya dengan lawak jenaka mereka,kami akan menunggu-nunggu beliau memaling muka kepada kami dan berkata,

"Bagi dia satu kali!"

Maka dengan kebenaran ayat keramat itulah,kami ramai-ramai akan membelasah sipolan itu dengan tamparan di belakang badan si polan berkenaan.Hahaha!

Hari Guru tahun ini juga mengingati saya kepada Cikgu Zulkifli, jurulatih pasukan hoki bawah 15 tahun semasa saya di STAR.

Pernah semasa saya terpilih untuk kesebelasan utama pasukan hoki sekolah, salah seorang daripada ahli pasukan saya mempersoalkan pemilihan saya.

Dia menjawab ringkas, "He never missed the training!".

Saya mengingati beliau kerana beliau mengajar saya betapa pentingnya "to show up" di dalam hidup saya.

Dan mungkin untuk Hari Guru tahun ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Amardin Alang Ahmad. Beliau bukan guru terlatih. Beliau hanyalah matron bilik sakit dan juga pengurus asrama semasa saya di STAR. Selain daripada menjalankan tugas rasmi sebagai matron dan pengurus asrama, beliau juga meluangkan masa di hujung minggu menjadi jurulatih Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) STAR.

Saya semasa di STAR agak nakal dan suka ponteng kelas. Salah satu cara untuk ponteng kelas ialah mendaftarkan diri dengan Tuan Haji Amardin untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kg.Simee.Yahoo!Acapkali saya tersenyum di dalam hati kerana berjaya 'bohong sunat' dengan beliau dan berehat di 'sick bay'.Hehehe.

Entah bagaimana semasa di Tingkatan Lima,saya mendaftar diri di dalam PBSM dan tak disangka-sangka beliau melantik saya sebagai Komander Briged.Beliau lah mengajar saya cara-cara berkawad,membalut anduh dan yang paling penting memimpin briged PBSM sekolah.

Apabila saya mengimbau kembali saat itu,saya menyedari bahawa beliau telah mengajar saya dengan cara yang paling halus sekali untuk mengubah diri saya dari seorang pelajar yang tidak tentu halatuju hidup kepada seorang pelajar yang bertanggungjawab kepada diri sendiri dan ahli-ahli pasukannya.

Barangkali pada zahirnya beliau hanyalah seorang matron atau pengurus asrama,namun pada hemat saya dia adalah guru yang cemerlang kerana telah berjaya mengubah saya menjadi seorang manusia.

Selamat Hari Guru!

3 comments:

umiazuddin said...

Nice piece, doc!

The teacher who is indeed wise does not bid you to enter the house of his wisdom but rather leads you to the threshold of your mind. ~Khalil Gibran

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Great quote!

Caieja said...

Great teachers do wonders in carving a fine line that defines who we are.