Wednesday, November 11, 2009

Gagal kerana tidak mencuba!



Ketika menghadiri bengkel Eccentric Performing di Maine empat tahun dahulu, salah satu latihan awal yang diajar oleh tuan Avner Eisenberg dan puan Julie Goell pada hari pertama bengkel ialah membuat satu persembahan di atas pentas berdasarkan kemahiran masing-masing. Para peserta diminta tampil ke pentas secara individu dan melakukan persembahan masing-masing dengan baik sekali.

“Anggaplah apa yang tuan-tuan akan lakukan ini merupakan persembahan terbaik tuan. Di dalam dunia theatre clowning, sang badut melakukan sesuatu perkara dengan penuh semangat dan hanya memikirkan yang terbaik semata-mata,” beliau menasihati kami.

“Bagaimana tuan-tuan menilai dan merasa tentang persembahan tuan-tuan itu nyata lebih penting, walaupun dalam realitinya persembahan tuan-tuan mungkin baik atau sebaliknya.” *

Namun setelah itu, fikiran saya buntu apabila melihat peserta-peserta lain tampil ke pentas mempersembahkan kemahiran mereka dengan pelbagai cara.

Ada yang menunjukkan kemahiran mereka bermain ‘juggling’ dengan pelbagai teknik yang menarik dan ada juga yang melakukan improvisasi silap mata yang amat memukau.

Saya tiada langsung kemahiran seperti mereka itu untuk ditunjukkan kepada khalayak.

Apabila tiba giliran saya, saya masih buntu memikirkan apa yang hendak dilakukan ketika melangkah kaki menuju ke belakang pentas. Saya mungkin boleh sahaja duduk kembali dan memohon ‘pelepasan’ daripada Avner dan Julie dengan memberi alasan mudah seperti gugup.

“Ah, nyanyi sahaja lagu Negaraku dengan penuh perasaan!” tiba-tiba idea gila muncul di kepala di dalam kepanikan itu.

“Silakan tuan Iskandar,” terdengar suara Avner dari auditorium.

Dengan menghela nafas panjang, saya melangkah keluar ke atas pentas dan melontarkan suara yang paling bersemangat di dalam dunia dan menyanyikan,

“Negaraku, tanah tumpahnya darahku….” sehinggalah ke bait terakhir,

“..Raja kita selamat bertakhta!”

Lega!

Avner tersenyum dan berkata,

“Bagus!”

Julie menambah,

“Tuan mempunyai suara yang sungguh merdu!”

Pengalaman menyanyikan lagu Negaraku semasa bengkel Eccentric Performing itu mengingatkan saya kepada sebuah filem fantasi-komedi yang dilakonkan oleh aktor Robert Downey, Jr., yang bertajuk Heart & Souls (1993).

Di dalam filem itu terdapat satu adegan dimana watak utama, Thomas Reilly yang dilakonkan oleh Robert Downey, Jr. dirasuk Harrison Winslow, watak roh seorang penyanyi yang berbakat tetapi tidak mempunyai keyakinan dan gugup untuk membuat persembahan di atas pentas.

Di dalam adegan itu, Thomas Reilly memaksa Harrison Winslow untuk mengatasi masalah kegugupannya itu dengan menyanyikan lagu kebangsaan Amerika, “The Star-Spangled Banner” di atas pentas sebelum konsert pemuzik blues terkenal di Amerika, B.B King akan dimulakan.

Saya suka skrip adegan tersebut yang berbunyi:


Harrison Winslow: Who came up with this ridiculous concept anyway? Resolve your entire life in one bold stroke? What if I fail? And I will. I’ll fail. I’m telling you. I always fail. Then my whole life will be a complete failure.

Thomas Reilly: No offense, Harrison. But you died a failure because you never tried.

Jika saya tidak tampil ke pentas menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat, kata-kata Thomas Reilly itu pasti akan menghantui saya sampai bila-bila.

Benarlah bahawa orang-orang yang gagal di dalam hidup mereka ialah kerana mereka tidak pernah mahu mencuba!

Nota:

* How you feel about your performance is what counts, not whether it is in reality good or bad. – Eccentric Performing Principle No. 8


Adegan itu boleh ditonton di sini.

2 comments:

Umi Azuddin said...

Salaam Doc,

Laa...saya sangka adegan tuan menyanyikan lagu Negaraku yang boleh ditonton di 'sini'...hehe ;)
(psstt..tak ada ke rakaman persembahan tuan itu?)

love the new look...skema warna seakan-akan sama pula..hmm.. oh well, great minds -- -- (haha perasan!)

VpeaceV

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Alaikumussalam Puan Umi,

Hehe..maaf persembahan menyanyikan lagu negaraku itu tidak dirakamkan.

Saya sengaja ubah template baru. sedang bereksperimen.

Hehe..great minds memang macam tu..hehehe