Thursday, April 15, 2010

Kasih Seorang Sahabat





Saya sering mengelek Reader’s Digest sebagai bahan bacaan mengisi masa lapang kerana saiznya yang kecil memudahkan ia dibawa ke mana-mana. Kisah-kisah benar dan penuh pengajaran serba ringkas yang terkandung di dalam majalah yang sudah menjangkau usia 88 tahun itu tetap segar sepanjang zaman.

Saya menemui kisah ini semasa membelek-belek sebuah majalah Reader’s Digest edisi lama daripada koleksi majalah Reader's Digest di perpustakaan peribadi saya.

Kisah ini telah diceritakan semula oleh seorang pegawai tentera Amerika yang pernah bertugas di Vietnam. Beliau mendengar kisah ini daripada seseorang, namun kesahihan cerita ini tidak dapat dipastikan. Namun, semasa perang, peristiwa-peristiwa aneh seperti ini tidak mustahil berlaku.

Ketika Perang Vietnam yang berlaku pada tahun 1970an, sebuah rumah anak yatim tempatan di sebuah kampung telah dibom oleh pihak Komunis di dalam satu pertempuran dengan pihak askar Amerika.

Akibat serangan bom tersebut, pengurus rumah anak yatim itu telah terbunuh dan ramai anak-anak yatim yang tinggal di situ cedera parah. Mangsa-mangsa yang parah dipindahkan oleh penduduk kampung ke sebuah kawasan selamat yang berhampiran.

Apabila pasukan perubatan daripada sebuah kem askar Amerika berhampiran tiba untuk merawat mangsa-mangsa yang tercedera, seorang kanak-kanak perempuan didapati berada di dalam tahap paling kritikal kerana beliau telah kehilangan banyak darah.

Untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu, ahli pasukan perubatan segera melakukan ujian darah di kalangan mereka. Mereka juga menguji darah kumpulan anak yatim yang terselamat.

Sayangnya, jenis darah ahli-ahli pasukan perubatan tidak sepadan dengan darah yang diperlukan oleh kanak-kanak perempuan itu. Kanak-kanak perempuan itu memerlukan darah jenis kumpulan ‘O’ negatif. Hanya penderma yang mempunyai jenis darah yang sama boleh menderma darah untuknya.

Setelah ujian darah selesai dilakukan, ada beberapa orang anak yatim yang terselamat mempunyai jenis darah yang sepadan dengan kanak-kanak perempuan yang semakin lemah itu.

“Anak-anak, kami perlukan bantuan kamu semua untuk menderma darah jenis O negatif secara sukarela untuk menyelamatkan kawan kamu ini.” Salah seorang daripada doktor berbangsa asing itu yang boleh bercakap di dalam bahasa tempatan pijin dan juga menggunakan bahasa isyarat memberitahu kepada kumpulan anak-anak yatim yang masih lagi berada di dalam ketakutan dan trauma itu.

Mujurlah mereka memahami sedikit sebanyak apa yang dikatakan oleh beliau. Namun, tiada reaksi daripada mereka. Sebaliknya, mereka hanya berbisik-bisik di antara satu sama lain.

Tiba-tiba, doktor itu ternampak seorang kanak-kanak lelaki yang berada jauh di belakang kumpulan anak-anak yatim itu mengangkat tangannya.

Namun, dengan tidak semena-mena tangan itu kembali jatuh.

Dan, tangan itu kembali diangkat perlahan-lahan ke atas. Pelik!

Doktor itu memanggil kanak-kanak lelaki itu dan beliau segera tampil.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kanak-kanak itu, doktor segera memimpin tangannya membawa ke stesen pemindahan darah yang didirikan sementara di sebuah pondok kecil berhampiran.

Beliau meminta kanak-kanak itu berbaring di atas papan sambil menyiapkan peralatan untuk pemindahan darah. Kanak-kanak itu akur dan berbaring dengan senyap sambil memandang kanak-kanak perempuan yang memerlukan darah yang terbaring di sebelahnya

Apabila doktor tersebut memegang lengannya untuk memasukkan jarum suntik yang akan menyedut darah dari tubuhnya, tiba-tiba kanak-kanak itu menangis teresak-esak.

Doktor itu tersentak. Beliau segera bertanya di dalam bahasa isyarat sama ada kanak-kanak itu mahu meneruskan prosedur tersebut. Kanak-kanak itu hanya mengangguk-angguk kepalanya.

Doktor itu kembali menumpukan perhatiannya untuk memasukkan jarum suntikan ke dalam pembuluh darah kanak-kanak itu. Beliau harus melakukannya dengan penuh teliti agar tidak mencederakan kanak-kanak itu. Masa juga semakin suntuk memandangkan kanak-kanak perempuan yang cedera parah itu memerlukan bekalan darah secepat mungkin.

Sekali lagi apabila beliau menusuk jarum di lengan kanak-kanak lelaki itu, kanak-kanak itu kembali menangis dan tubuhnya menggeletar.

Menyedari bahawa situasi ini akan membahayakan nyawa kanak-kanak lelaki itu, doktor itu segera menghentikan tugasannya itu.

Mujur pada masa yang sama, pasukan perubatan daripada hospital tempatan tiba untuk membantu. Doktor itu segera meminta pertolongan mereka dan seorang jururawat wanita berbangsa tempatan tampil untuk membantu. Beliau segera menerangkan kepada jururawat berkenaan tentang situasi yang dihadapinya.

Jururawat wanita itu kemudian bercakap-cakap dengan kanak-kanak lelaki itu. Doktor yang berada di sisinya melihat wajah kanak-kanak itu yang sebelum ini kelihatan runsing kini kembali tenang setelah jururawat itu membisikkan sesuatu di telinga kanak-kanak itu.

Jururawat wanita tempatan itu kemudian mengisyaratkan agar doktor itu segera melakukan semula prosedur yang tergendala sebentar tadi.

Kali ini kanak-kanak lelaki itu berbaring tenang dan tersenyum dan membiarkan darahnya disedut ke dalam kantung darah yang disediakan.

Menyedari keanehan situasi yang berlaku, doktor itu bertanya,

“Mengapa anak itu menjadi tenang sekali? Sedangkan sebelum anda datang, saya sukar sekali untuk menusuk jarum di lengannya.”

“Oh, anak ini keliru,” kata jururawat itu sambil tersenyum.

“Beliau menyangka bahawa beliau harus menderma kesemua darahnya agar kanak-kanak perempuan itu dapat terus hidup. Kerana itu beliau menangis.” Jururawat itu menerangkan kepada doktor.

“Jika dia menyangka begitu, kenapa beliau masih mahu berbuat demikian? Bukankah jika beliau menderma kesemua darahnya kelak beliau sendiri akan kehilangan nyawanya?” Doktor itu bertanya kebingungan.

Jururawat itu kemudian segera bertanyakan pada kanak-kanak itu soalan yang diajukan oleh doktor itu.

Kanak-kanak itu menjawab lembut dan jururawat itu mengangguk-angguk faham.

“Apa yang beliau beritahu anda?” tanya doktor itu.

Jururawat itu pun berkata,

“Beliau memberitahu saya, kanak-kanak perempuan itu sahabat baiknya. Oleh itu, beliau sanggup mendermakan semua darahnya demi kawannya itu.”

3 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Kanak-kanak - mereka sungguh suci...

Saya juga gemar membaca Reader's Digest. Sejak saya di sekolah rendah(dibeli oleh ayah walaupun gajinya sebagai konstabel polis tidak seberapa dan anak yang ramai). Dan percayakah? Saya masih membacanya walaupun saya kini seorang nenek berusia 51 tahun...

Wasalam...

jeansLusuh said...

punya uang ribuan kawan keliling pinggang, ketawa ketawa senang dicari dimana mana, kawan menangis dimanakah harus ku mencari .. begitulah dunia sekarang .. dunia kanak kanak berbeza dengan dunia kita yang telah terlalu matang mungkin, kawan baik yang dah matang ini kununnya hanyalah wang, pangkat da kuasa ..

Mr Lonely said...

nice blog.. have a view of my blog when free.. http://www.lonelyreload.blogspot.com .. do leave me some comment / guide if can.. if interested can follow my blog...