Tuesday, April 13, 2010

Saya Tidak Tahu!



Lukisan " Osler in The Almhouse" ini dilukis oleh John Howard Sanden. Sumber foto di SINI.


Sir William Osler merupakan seorang pakar perubatan yang terkenal di Canada pada lewat kurun ke-19 dan dikenali ramai sebagai Bapa Perubatan Zaman Moden. Beliau juga dikenali sebagai seorang pakar patologi, pendidik dan juga pencinta buku.

Malah beliau juga dikenali sebagai seorang yang suka mempermainkan orang lain. Pernah sekali dalam satu insiden yang menggelikan hati, beliau yang menyamar dengan nama Egerton Yorrick Davis telah berjaya memperdayakan para editor Philadelphia Medical News agar menyiarkan laporan beliau tentang fenomena ‘penis captivus’ yang terjadi di kalangan lelaki di dalam jurnal mereka.

Ketokohan dan kepakaran beliau membuatkan beliau amat disanjungi dan disegani oleh para ahli perubatan pada zaman tersebut. Tidak hairanlah apabila beliau melawat pesakit di wad hospital, ramai para doktor pelatih akan mengekori beliau dari wad ke wad semata-mata untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada beliau.

Sudah menjadi kebiasaan para doktor menulis perkataan singkatan yang difahami mereka pada laporan perubatan pesakit untuk melaporkan perkembangan pesakit.

Namun apabila beliau menulis perkataan G.O.K pada sesetengah laporan perubatan pesakit, para doktor pelatih yang sering mengekori beliau mula tertanya-tanya akan maksud akronim tersebut.

Seorang daripada mereka bertanya kepada beliau,

“Tuan, apakah maksud perkataan G.O.K yang tuan sering catat di dalam laporan pesakit setelah tuan selesai memeriksa mereka?”

Dengan tersenyum sambil mengangkat bahu beliau menjawab,

“Hanya Tuhan Yang Mengetahuinya! (God Only Knows).”

Rupa-rupanya beliau sendiri tidak tahu tentang penyakit yang dihadapi oleh pesakit tersebut dan sekadar mencatatkan akronim G.O.K di dalam laporan perubatan mereka.

Seringkali di dalam kehidupan seharian, kita terperangkap di dalam dunia keegoan kita untuk mendedahkan kepada orang lain bahawa kita tidak tahu atau tiada pengalaman di dalam sesuatu perkara.

Seabad yang lalu, seorang pakar perubatan yang terkemuka secara jujur mengakui bahawa beliau tidak tahu mengajar kita betapa satu pelajaran yang penting di dalam kehidupan ialah bersedia untuk membuang perasaan megah dan bangga diri dan berkata,

“Saya tidak tahu!”

2 comments:

KNizam said...

good one! suka dengan entry2 sebegini. kudos to you doc! hehe :)

Anonymous said...

Dunia ini Allah yang punya.Kita menumpang seketika sahaja!