Thursday, May 26, 2011

Dua papan hijau, dua kelas serentak!

Foto terbaru Sekolah 'Antarabangsa', Likas, Sabah.
Sahabat saya di Kota Kinabalu, melawat Sekolah "Antarabangsa", semalam.


Beliau menulis,


Assalamualaikum,

Saya tergamam!

Terima kasih yang tidak terhingga kerana menemukan saya dengan sekolah ini. Hanya baru semalam saya berpeluang untuk melawat dan melihat sendiri dengan mata kasar saya keadaan sekolah ini.

The moment I entered the building, suddenly I lost my will to speak, I was speechless, so pity!

Sengaja saya mengelak daripada melihat wajah pelajar-pelajarnya, takut saya tidak dapat mengawal emosi saya. Terus saja saya bertanyakan soalan kepada guru-guru mereka, menunggu sehingga pelajar-pelajarnya pulang. Justeru gambar-gambar yang saya ambil hanyalah ketika pada waktu kelasnya kosong, tanpa kehadiran pelajar.

Menurut guru-gurunya, bangunan ini adalah bekas surau. Ia dijadikan sebagai kelas mungkin sejak seawal tahun 2004 lagi sehingga sekarang tahun 2011. Perkampungan air di Likas ini sudah tiada, semuanya sudah dirobohkan kecuali bangunan sekolah ini yang hanya menunggu gilirannya sahaja.

Dua papan hijau, dua kelas berlangsung serentak!
Di dalam kelas ini terdapat dua papan hijau, satu papan hijau untuk satu darjah. Maksudnya, setiap sesi pembelajaran dijalankan serentak bagi dua darjah. Sebagai contoh, Darjah 5 mungkin di sebelah kanan kelas, dan sesi pembelajaran Darjah 4 di sebelah kiri kelas.

Ada lapan meja dan bangku panjang di kiri kanan kelas dan dua meja di tengah-tengah, jumlah semua 18 meja panjang.

Tiada kipas angin tiada di dalam kelas itu. Bekalan air di tandas pula hanyalah menggunakan air tadahan hujan.

Jumlah pelajar terkini adalah lebih kurang 394 orang dengan 4 orang guru.

Murid-murid Tadika terdiri daripada 140 orang, murid Darjah 1 seramai 91 orang, Darjah 2 pula seramai 68 orang, Darjah 3 seramai 57 orang, Darjah 4 seramai 31orang, dan Darjah 5 seramai 11orang. Manakala, tiada kelas bagi Darjah 6 diwujudkan di sekolah itu.

Dalam sehari terdapat 3 sesi pembelajaran : 8.00-10.30 pagi (Darjah 1 & Darjah 2), 10.30 pagi-1.30 tengah hari (Darjah 1 & tadika) dan 1.30-4.30 petang (Darjah 3 – Darjah 5).

Para pelajarnya rata-rata berumur antara 6 hingga 15 tahun.

Terdapat 5 subjek yang diajar di sekolah itu sekarang: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Pendidikan Islam. Dalam sehari, setiap darjah akan belajar 2 subjek.

Insya Allah, saya akan sambung lagi cerita mengenai sekolah ini.


Berita baik! Pihak penerbitan PTS telah sudi menyumbang zakat sebanyak RM1000 sebulan bagi menampung gaji seorang guru tambahan, dan perbelanjaan lain bagi sekolah ini. Saya berdoa kepada Allah semoga melimpahkan rezeki yang mencurah-curah kepada para karyawan dan petugas PTS. Amin.


Monday, May 23, 2011

Selesai menterjemah, kembali mencari dana

Lukisan cat minyak untuk dijual bagi mengumpul dana 

Alhamdulillah. Saya berasa sungguh lega kerana kerja terjemahan buku Leaving Microsoft to Change The World berjaya diselesaikan selepas hampir dua bulan menyiapkannya. Ia suatu pengalaman yang mengujakan.
Saya belajar satu perkara daripada pengalaman pertama kali menterjemah buku ini: Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, kita pasti berjaya mencapainya. 

Terima kasih kepada Cikpuan Norhaslinda dan Cikpuan Faslin serta Puan Asma di PTS Litera kerana memberi kepercayaan dan dorongan kepada saya bagi menterjemah buku ini. Saya juga berterima kasih atas dorongan dan tunjuk ajar mentor terjemahan saya,  Allahyarham Tuan Adlie Syamsuddin, Puan Fatimah Rodhiah, dan Tuan Imran dalam menyelesaikan penterjemahan buku ini.

Saya juga berterima kasih atas sokongan dan bantuan Cikpuan Nor Hayati Mohd Redzwan kerana turut sama membantu menyunting hasil terjemahan buku ini, siang dan malam, sebelum ia diserahkan kepada editor. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Amin.

Hari ini, saya bersyukur kerana dapat kembali berusaha mengumpul dan bagi menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat. Pada hari Sabtu lepas, sahabat saya, Dr.Faridah Abdul Manaf telah sudi menderma sumbangan dana dan dua buah lukisan cat minyak yang cantik. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Beliau sejak dahulu lagi sentiasa menyokong usaha ini. Jika ada tuan dan puan yang berminat membeli lukisan-lukisan ini sambil menderma, bolehlah menghubungi saya melalui emel: adabi99@gmail.com. 

Sehingga kini dana bagi menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat meningkat kepada RM11,689. Saya sedang berusaha mendapatkan RM18,381 lagi bagi merealisasikan impian ini. Seperti mana yang saya katakan tadi, 
Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, kita pasti berjaya mencapainya.

Saturday, May 21, 2011

Paku karat, dan nilai sebuah pendidikan!

Sekolah "Antarabangsa", Kg. Likas, Kota Kinabalu, Sabah

Dari jauh, bangunan balai raya usang ini mengingatkan saya kepada kepada balai raya di Kg. Penjom, Kuala Lipis, Pahang, tempat saya dibesarkan. Saya sangka bangunan seperti ini sudah tiada lagi kerana bangunan seperti ini kebiasaannya diganti dengan balai raya yang serba baru dan berdinding batu.

Balai raya ini masih wujud hingga ke hari ini. Balai ini terletak di kawasan Likas, Kota Kinabalu, Sabah. Ia tidak digunakan lagi sebagai sebuah balai raya. Namun, fungsinya sekarang menjadi bertambah besar lagi daripada menjadi sebuah balai raya semata-mata.

Seperti kata sahabat saya, seorang sukarelawan di Sabah, Tuan Yahya Yacob, " Inilah sekolah 'antarabangsa' yang saya usahakan."

Rupa-rupanya, balai raya itu dijadikan beliau sebagai sebuah sekolah harian bagi membantu anak-anak miskin muslim dari keluarga imigran Filipina dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah. Kali terakhir saya ke sini pada tahun 2008. Pada ketika itu, jumlah pelajarnya sekitar 250 orang berhimpit-himpit setiap hari demi mendapatkan ilmu. Pada ketika itu, hanya terdapat 3 orang guru yang mengajar subjek Kira-kira, Pengetahuan Agama Islam, Bahasa Melayu, dan Sivik.

Kelas pembelajarannya dijalankan dalam dua sesi setiap hari bagi menampung jumlah pelajar yang besar itu. Setiap kelas mempunyai pelajar berusia dari sekecil 6 tahun sehinggalah 14 tahun. Mereka belajar kurikulum pembelajaran yang sama tanpa mengira pecahan umur seperti di sekolah biasa. Matlamat 'sekolah antarabangsa' itu juga mudah, bagi memastikan anak-anak ini boleh membaca, mengira, dan menulis. Perkataan universiti, ijazah tidak ada dalam kamus hidup mereka.



 sel
Anak-anak yang sanggup duduk bersesak demi mendapatkan ilmu.


Saya diberitahu beliau, "Ibu bapa mereka bekerja sebagai buruh dan berpendapatan kecil. Namun mereka sanggup berjalan kaki sejauh 5-6 kilometer atau menaiki bas dari pekan Menggatal semata-mata mahu menghantar anak mereka ke sekolah ini. Walaupun mereka tidak berpelajaran, mereka sedar bahawa pendidikan itu penting bagi anak-anak mereka. Mereka tidak mahu melihat anak-anak mereka senasib dengan mereka."


Saya pulang ke Semenanjung dan cuba membantu. Namun respon yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Membantu anak-anak ini yang bukan warganegara seolah-olah sukar diterima.

Saya tertanya-tanya, kita begitu mudah menghulurkan bantuan kepada anak-anak Palestin, Afrika, dan lain-lain tempat di seluruh dunia. Namun, anak-anak ini yang berada di hadapan mata kita, kita pejamkan mata sahaja. Barangkali kerana mereka menimbul ketidaksenangan di hati kita dengan status mereka sebagai pendatang di negara ini. Namun, mereka juga berhak menerima hak pendidikan universal sama seperti anak-anak kita di rumah, anak-anak di Palestin dan di Afrika.

Malah, jika kita tidak memberikan peluang pendidikan kepada mereka, kita jugalah yang menerima kesan jangka panjangnya kelak. Sebutlah apa sahaja. Samun, rompakan, dan pelacuran. Mereka jualah yang kita salahkan kelak, sedangkan kita boleh mengubah hidup mereka sedari kecil lagi.

Wajah anak-anak ini terus menghantui diri saya sehingga ke hari ini.

Semalam, Tuan Yahya menghubungi saya. Beliau bercerita tentang sekolah itu lagi. Ia masih kekal di situ. Namun jumlah pelajarnya kini berganda. Kini ada seramai 400 orang pelajar dan sesi pembelajarannya bertambah menjadi 3 sesi, dengan 4 orang guru sahaja. Itulah kemajuan yang saya lihat sejak saya ke sana pada tahun 2008. 3 sesi pembelajaran membawa maksud, masa belajar juga terpaksa dipendekkan bagi menampung pertambahan pelajar sebanyak dua kali ganda itu.

Tuan Yahya berkata, " Ibu bapa mereka gigih bekerja mencari rezeki walaupun bergelar 'pendatang tanpa dokumen'. Walau sekuat mana mereka bekerja bagi mengubah hidup, mereka tetap miskin kerana tanggungan mereka besar terutama kebanyakan mereka mempunyai anak-anak yang ramai. Bayangkanlah, walaupun kami meminta yuran persekolahan sebanyak RM10 sebulan bagi menampung kos pembelajaran, hanya 40 peratus daripada keluarga mereka mampu membayarnya." "

Beliau menambah,"Pada sekolah ini, mereka berharap hidup anak-anak mereka boleh berubah supaya menjadi lebih baik daripada mereka."

Namun, kata-katanya seterusnya benar-benar menyentuh perasaan saya, "Mereka juga bukan orang yang suka meminta-minta. Mereka cukup malu bagi meminta bantuan daripada saya. Sebulan yang lalu, seorang pelajar di sekolah ini terpijak paku berkarat. Ibu bapanya tidak mampu bagi membawanya ke hospital kerajaan bagi dirawat. Kosnya hanya RM50. Sebagai pendatang tanpa dokumen, mereka perlu membayar kos perubatan yang lebih berbanding rakyat biasa. Namun, kerana mereka malu mahu meminta bantuan daripada saya, luka anak mereka merebak dan akhirnya anak mereka meninggal dunia kerana tidak dirawat."

Saya sedar bahawa walau apa pun, mereka perlu dibantu. Menurut Tuan Yahya, pada ketika ini mereka memerlukan bantuan-bantuan berikut:

  • Bantuan pembiayaan gaji sebanyak RM700 sebulan bagi seorang lagi guru tambahan bagi membantu empat orang guru yang sedia ada di sekolah itu. Bayangkanlah nisbah lima orang guru itu dengan jumlah pelajarnya seramai 400 orang. Bagi setiap orang guru, murid-muridnya seramai 80 orang. Dua kali ganda daripada nisbah guru : pelajar di sekolah kerajaan. 
  • Bantuan kewangan bagi menampung kos alat tulis, fotokopi, buku teks, dan lain-lain bagi sekolah itu. Anggaran kos dalam RM500 sebulan.
  • Bantuan kewangan bagi membiayai pemeriksaan kesihatan berkala untuk anak-anak itu. Anggaran kos belum diberikan lagi. Namun jika ada para sukarelawan kesihatan yang ingin membantu, ia amatlah dialu-alukan.
Pesan Tuan Yahya lagi, "Apa sahaja bantuan bagi mereka, saya alu-alukan. Semoga lebih ramai di antara kita prihatin bagi mengubah hidup anak-anak ini."

Saya percaya bahawa apabila pendidikan dijadikan 'senjata' bagi mengubah hidup seseorang, perubahan itu pasti berlaku dengan jayanya. Pepatah Cina menyebutnya, "Jika seseorang diberi makan, beliau hanya kekenyangan selama sehari. Jika beliau diberi pancing, beliau pasti kekenyangan selama-lamanya."

Jika tuan dan puan ingin membantu berikut adalah nombor akaun Public Bank sekolah 'antarabangsa' itu:


No Akaun (Public Bank): 3992 921831
Penama Cek/Sumbangan tunai: MADRASAHTUL HIKMAH


Dalam pada itu, saya sedang merancang sesuatu yang sungguh besar bagi membantu mereka.

Nota tambahan: Seorang sahabat saya sudah memulakan usaha membantu dengan berusaha mengumpul dana bagi membeli alat tulis untuk anak-anak di sekolah ini. Alhamdulillah.

Wednesday, May 04, 2011

Kindness of strangers



Pagi tadi, Puan Masmah menelefon saya. Suaranya tercungap-cungap memberitahu bahawa beliau sedang berjalan kaki menuju ke bank. Beliau mahu menyumbang sama bagi projek perpustakaan di Teratak Rahmat.

Sudah lama tidak mendengar khabar beliau kerana sebelum ini beliau berada di Jeddah selama setahun. Kami pernah bekerjasama mencari dana bagi menubuhkan perpustakaan di asrama anak yatim Darul Hikmah, Gopeng, Perak. 

Beliau bersama-sama rakan sekolah beliau,TKC 'Vintage 69' mengumpul dana bagi menubuhkan perpustakaan di Darul Hikmah sebagai tanda kenang-kenangan kepada Allahyarham Puan Saadah, rakan sekelas mereka semasa di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), yang pada ketika itu sedang uzur melawan kanser.

Alhamdulillah, kami berjaya mengumpul dana yang disasarkan. Selain daripada kumpulan beliau, projek perpustakaan di Darul Hikmah mendapat bantuan daripada Yayasan Jusco Malaysia.

Namun ada sesuatu yang menarik harus saya kongsikan di sini. Walaupun kami pernah bersama-sama menjayakan projek perpustakaan di Darul Hikmah, kami belum pernah bersua muka sehingga kini. Kami hanya berhubung melalui SMS dan telefon semata-mata.


Saya terfikir bagaimana misterinya kuasa Tuhan apabila menjadikan 'strangers' yang belum pernah bersua muka namun boleh bekerjasama melakukan sesuatu yang bermanfaat demi kebahagiaan orang lain.

Justeru saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para dermawan yang tidak saya kenali, kerana sudi menyumbang dana bagi membantu usaha menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat.Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik mereka yang menderma.

Alhamdulillah, dengan bantuan dermawan yang dikenali dan tidak dikenali, jumlah sumbangan bagi projek perpustakaan di Teratak Rahmat sudah mencapai RM11,189.00. Tinggal lagi RM18,811 bagi mencapai dana sasaran. Semoga usaha ini dipermudahkan. Amin!

Nota: Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank: 1621 8801 6529 (Iskandar Syah Ismail)