Saturday, May 21, 2011

Paku karat, dan nilai sebuah pendidikan!

Sekolah "Antarabangsa", Kg. Likas, Kota Kinabalu, Sabah

Dari jauh, bangunan balai raya usang ini mengingatkan saya kepada kepada balai raya di Kg. Penjom, Kuala Lipis, Pahang, tempat saya dibesarkan. Saya sangka bangunan seperti ini sudah tiada lagi kerana bangunan seperti ini kebiasaannya diganti dengan balai raya yang serba baru dan berdinding batu.

Balai raya ini masih wujud hingga ke hari ini. Balai ini terletak di kawasan Likas, Kota Kinabalu, Sabah. Ia tidak digunakan lagi sebagai sebuah balai raya. Namun, fungsinya sekarang menjadi bertambah besar lagi daripada menjadi sebuah balai raya semata-mata.

Seperti kata sahabat saya, seorang sukarelawan di Sabah, Tuan Yahya Yacob, " Inilah sekolah 'antarabangsa' yang saya usahakan."

Rupa-rupanya, balai raya itu dijadikan beliau sebagai sebuah sekolah harian bagi membantu anak-anak miskin muslim dari keluarga imigran Filipina dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah. Kali terakhir saya ke sini pada tahun 2008. Pada ketika itu, jumlah pelajarnya sekitar 250 orang berhimpit-himpit setiap hari demi mendapatkan ilmu. Pada ketika itu, hanya terdapat 3 orang guru yang mengajar subjek Kira-kira, Pengetahuan Agama Islam, Bahasa Melayu, dan Sivik.

Kelas pembelajarannya dijalankan dalam dua sesi setiap hari bagi menampung jumlah pelajar yang besar itu. Setiap kelas mempunyai pelajar berusia dari sekecil 6 tahun sehinggalah 14 tahun. Mereka belajar kurikulum pembelajaran yang sama tanpa mengira pecahan umur seperti di sekolah biasa. Matlamat 'sekolah antarabangsa' itu juga mudah, bagi memastikan anak-anak ini boleh membaca, mengira, dan menulis. Perkataan universiti, ijazah tidak ada dalam kamus hidup mereka.



 sel
Anak-anak yang sanggup duduk bersesak demi mendapatkan ilmu.


Saya diberitahu beliau, "Ibu bapa mereka bekerja sebagai buruh dan berpendapatan kecil. Namun mereka sanggup berjalan kaki sejauh 5-6 kilometer atau menaiki bas dari pekan Menggatal semata-mata mahu menghantar anak mereka ke sekolah ini. Walaupun mereka tidak berpelajaran, mereka sedar bahawa pendidikan itu penting bagi anak-anak mereka. Mereka tidak mahu melihat anak-anak mereka senasib dengan mereka."


Saya pulang ke Semenanjung dan cuba membantu. Namun respon yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Membantu anak-anak ini yang bukan warganegara seolah-olah sukar diterima.

Saya tertanya-tanya, kita begitu mudah menghulurkan bantuan kepada anak-anak Palestin, Afrika, dan lain-lain tempat di seluruh dunia. Namun, anak-anak ini yang berada di hadapan mata kita, kita pejamkan mata sahaja. Barangkali kerana mereka menimbul ketidaksenangan di hati kita dengan status mereka sebagai pendatang di negara ini. Namun, mereka juga berhak menerima hak pendidikan universal sama seperti anak-anak kita di rumah, anak-anak di Palestin dan di Afrika.

Malah, jika kita tidak memberikan peluang pendidikan kepada mereka, kita jugalah yang menerima kesan jangka panjangnya kelak. Sebutlah apa sahaja. Samun, rompakan, dan pelacuran. Mereka jualah yang kita salahkan kelak, sedangkan kita boleh mengubah hidup mereka sedari kecil lagi.

Wajah anak-anak ini terus menghantui diri saya sehingga ke hari ini.

Semalam, Tuan Yahya menghubungi saya. Beliau bercerita tentang sekolah itu lagi. Ia masih kekal di situ. Namun jumlah pelajarnya kini berganda. Kini ada seramai 400 orang pelajar dan sesi pembelajarannya bertambah menjadi 3 sesi, dengan 4 orang guru sahaja. Itulah kemajuan yang saya lihat sejak saya ke sana pada tahun 2008. 3 sesi pembelajaran membawa maksud, masa belajar juga terpaksa dipendekkan bagi menampung pertambahan pelajar sebanyak dua kali ganda itu.

Tuan Yahya berkata, " Ibu bapa mereka gigih bekerja mencari rezeki walaupun bergelar 'pendatang tanpa dokumen'. Walau sekuat mana mereka bekerja bagi mengubah hidup, mereka tetap miskin kerana tanggungan mereka besar terutama kebanyakan mereka mempunyai anak-anak yang ramai. Bayangkanlah, walaupun kami meminta yuran persekolahan sebanyak RM10 sebulan bagi menampung kos pembelajaran, hanya 40 peratus daripada keluarga mereka mampu membayarnya." "

Beliau menambah,"Pada sekolah ini, mereka berharap hidup anak-anak mereka boleh berubah supaya menjadi lebih baik daripada mereka."

Namun, kata-katanya seterusnya benar-benar menyentuh perasaan saya, "Mereka juga bukan orang yang suka meminta-minta. Mereka cukup malu bagi meminta bantuan daripada saya. Sebulan yang lalu, seorang pelajar di sekolah ini terpijak paku berkarat. Ibu bapanya tidak mampu bagi membawanya ke hospital kerajaan bagi dirawat. Kosnya hanya RM50. Sebagai pendatang tanpa dokumen, mereka perlu membayar kos perubatan yang lebih berbanding rakyat biasa. Namun, kerana mereka malu mahu meminta bantuan daripada saya, luka anak mereka merebak dan akhirnya anak mereka meninggal dunia kerana tidak dirawat."

Saya sedar bahawa walau apa pun, mereka perlu dibantu. Menurut Tuan Yahya, pada ketika ini mereka memerlukan bantuan-bantuan berikut:

  • Bantuan pembiayaan gaji sebanyak RM700 sebulan bagi seorang lagi guru tambahan bagi membantu empat orang guru yang sedia ada di sekolah itu. Bayangkanlah nisbah lima orang guru itu dengan jumlah pelajarnya seramai 400 orang. Bagi setiap orang guru, murid-muridnya seramai 80 orang. Dua kali ganda daripada nisbah guru : pelajar di sekolah kerajaan. 
  • Bantuan kewangan bagi menampung kos alat tulis, fotokopi, buku teks, dan lain-lain bagi sekolah itu. Anggaran kos dalam RM500 sebulan.
  • Bantuan kewangan bagi membiayai pemeriksaan kesihatan berkala untuk anak-anak itu. Anggaran kos belum diberikan lagi. Namun jika ada para sukarelawan kesihatan yang ingin membantu, ia amatlah dialu-alukan.
Pesan Tuan Yahya lagi, "Apa sahaja bantuan bagi mereka, saya alu-alukan. Semoga lebih ramai di antara kita prihatin bagi mengubah hidup anak-anak ini."

Saya percaya bahawa apabila pendidikan dijadikan 'senjata' bagi mengubah hidup seseorang, perubahan itu pasti berlaku dengan jayanya. Pepatah Cina menyebutnya, "Jika seseorang diberi makan, beliau hanya kekenyangan selama sehari. Jika beliau diberi pancing, beliau pasti kekenyangan selama-lamanya."

Jika tuan dan puan ingin membantu berikut adalah nombor akaun Public Bank sekolah 'antarabangsa' itu:


No Akaun (Public Bank): 3992 921831
Penama Cek/Sumbangan tunai: MADRASAHTUL HIKMAH


Dalam pada itu, saya sedang merancang sesuatu yang sungguh besar bagi membantu mereka.

Nota tambahan: Seorang sahabat saya sudah memulakan usaha membantu dengan berusaha mengumpul dana bagi membeli alat tulis untuk anak-anak di sekolah ini. Alhamdulillah.

No comments: