Wednesday, June 15, 2011

Membantu usaha Red Bubbles

DR Bubbles menghibur kanak-kanak di hospital

Saya mendapat khabar baik pagi tadi. 

Alhamdulillah, Red Bubbles sudah mempunyai akaun bank di Maybank Berhad. Justeru, ia memudahkan para dermawan yang mahu menyumbang dana bagi membantu usaha Red Bubbles menghiburkan pesakit kanak-kanak di hospital.

Sumbangan dana bagi Red Bubbles boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau RED BUBBLES

Akaun Maybank : 5640 7000 2826 

Emel: drbubbles@redbubbles.org.my


Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.
~kata-kata Pak Harfan dalam novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata

Saturday, June 11, 2011

Baca Buku, Buka Dunia

Girl in Uttarkhand, India reads in her classroom library (Dana Smillie/Room to Read)

Foto ini mengingatkan saya kepada kenangan semasa zaman kanak-kanak saya.

Sambil menunjukkan wajah yang belas kasihan, saya merayu kepada kerani sekolah, "Pakcik Zaaba, mohon pinjam kunci 'library', boleh?"

Beliau yang sudah masak atau mungkin sahaja bosan dengan telatah si anak kecil berusia 6-7 tahun ini, datang ke pejabatnya meminta kunci perpustakaan sekolah setiap hari, segera menghulurkan segugus kunci tanpa banyak soal.

Apabila berjaya mendapatkan kunci daripada beliau, si anak kecil ini lantas berlari dalam keriangan, dan dengan tergopoh-gapah memasukkan kunci ke dalam lubang tombol, tidak sabar-sabar lagi mahu membuka pintu perpustakaan.

Membuka pintu perpustakaan itu suatu pengalaman yang mengujakan. Ia seolah-olah membuka pintu ke bilik yang dipenuhi harta karun. Sukar digambarkan perasaan itu.

Apabila pintu itu berjaya dibuka, si anak kecil ini pantas memasuki, dan menghirup aroma buku yang sungguh harum di hatinya. Biarpun pada hakikatnya bau-bauan itu sebenarnya datang daripada buku-buku yang lusuh dan usang.

Di dalam ruang ini, beliau bebas sebebasnya meneroka alam, mengembara jauh ke seluruh pelusuk dunia.

Foto ini juga mengingatkan juga saya kepada kisah sekumpulan kanak-kanak lelaki di Rajashtan, India yang berjaya memujuk seorang pustakawan bernama Gajanand supaya menubuhkan perpustakaan di sekolah mereka. (Kisah mereka itu boleh dibaca dalam buku Leaving Microsoft to Change the World, oleh John Wood). Keghairahan mereka mahu membaca seberapa banyak buku di dalam perpustakaan itu benar-benar membuatkan saya terharu.  

Benarlah ungkapan yang tertera di sebuah poster di dalam sebuah blog,

"Membaca buku, Membuka dunia".

Atas inspirasi-inspirasi itu, saya kini sedang berusaha bagi menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat.


Update terkini: Dana terkumpul sehingga kini adalah sebanyak RM12,000. 
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank: 1621 8801 6529 (Iskandar Syah Ismail)

Friday, June 10, 2011

Mengukur kelapa

Kelapa parut

"Tolong parutkan kelapa sebiji," ibuku berkata sambil mengacau gulai di atas dapur.

Sudah lama saya tidak membantu beliau di dapur. Saya menurut sahaja permintaan beliau, lalu mengambil kelapa yang sudah dibelah di atas meja dan membawanya ke luar dapur. Mesin kelapa sengaja diletakkan di luar rumah kami, supaya mudah dibersihkan.

"Mak, boleh hulurkan saya dulangnya?" saya bertanya.

Ibu segera mengambil dulang yang sederhana besar dari rak pinggan mangkuk di bawah meja dan menghulurkan kepada saya yang sudah pun duduk bersedia di hadapan mesin bagi mengukur kelapa. Saya segera meletakkan dulang di bawah mesin supaya ia boleh menampung isi parutan kelapa yang jatuh apabila dikukur nanti.

Ibu berpesan, "Nanti kukurlah lembut-lembut. Jangan ditekan kuat-kuat tempurung kelapa pada mata kukur."

Setiap kali saya mengukur kelapa dengan menggunakan mesin kelapa itu, saya memang sengaja menekan tempurung kelapa dengan sepenuh tenaga pada mata kukur. Seronok, melihat serbuk kelapa parut bertebaran jatuh membentuk gumpalan berwarna putih di dalam dulang. Lagipun, kerja pun cepat siap.

"Kenapa?" saya bertanya. Musykil kerana inilah kali pertama ibu menyuruh saya berbuat demikian.

"Oh, jika dikukur lembut-lembut, isi parutannya lebih halus. Mudahlah emak meramasnya. Santan kelapa pun mudah keluar."

Wah! Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu. Selama ini, saya menyangka, kerja yang pantas dan menggunakan tenaga yang kuat, akan memberi hasil yang bagus. Rupa-rupanya tidak.

Kadang-kadang, pekerjaan yang perlu dilakukan dengan cermat dan perlahan, tanpa perlu tergesa-gesa, bisa membuahkan hasil yang lebih baik dan memudahkan urusan orang lain.

Tugas mudah mengukur kelapa ini mengajar saya satu pelajaran hidup yang sungguh besar.


Kredit Foto : theenglishkitchen.blogspot.com

Monday, June 06, 2011

Cerita Sekolah Antarabangsa (II)

Sahabat saya di Kota Kinabalu menulis,

Assalamualaikum.

Sehari selepas lawatan pertama saya ke Madrasah Al Hikmah (MAH), saya
berkunjung lagi ke sana pada hari yang berikutnya untuk merakamkan
foto-foto suasana pembelajaran di dalam bangunan sekolah yang usang
itu, supaya mungkin dapat dikongsikan dengan sesiapa yang sudi untuk
mengambil tahu tentang nasib mereka. Berat mata kita melihat nasib
mereka di dalam foto, berat lagi bahu mereka yang memikul.

Sekolah ini secara lebih tepatnya telah mula beroperasi pada Mac 2005
atas inisiatif seorang budiman, En Yahya bin Yacob. Dengan kerjasama
penduduk tempatan, mereka telah membaik pulih surau yang juga adalah
balai raya mereka untuk dijadikan bangunan sekolah ini. Pada masa ia
ditubuhkan, sekolah ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada
anak-anak pelarian Muslim selatan Filipina untuk memperolehi
pendidikan asas membaca, menulis dan Fardhu Ain. Sehingga kini,
sekolah ini masih menggunakan bangunan yang sama.

Juga sehingga kini, kebanyakan pelajar di sekolah ini adalah masih
anak-anak daripada generasi  kedua atau ketiga masyarakat pelarian
Muslim selatan Filipina tersebut, di mana kebanyakan mereka tidak
dapat untuk mengikuti persekolahan di sekolah bantuan kerajaan atas
sebab kemiskinan atau masalah dokumentasi kerakyatan yang diwarisi
daripada ibubapa mereka.

Tentang masyarakat Filipina ini, ramai yang mempunyai persepsi yang
kurang tepat lantaran istilah ‘Filipina’ itu sendiri. Ya, generasi
awal mereka memang berasal dari Filipina, namum mereka adalah daripada
masyarakat Muslim Melayu Suluk yang berasal dari Selatan Filipina yang
lari menyelamatkan diri dari tanah air mereka kerana peperangan yang
tercetus antara Manila dengan penduduk tempatan di Selatan Filipina
tersebut.

Berbalik kepada MAH, saya hanya sempat untuk berkunjung ke sana pada
sesi kedua dan ketiga persekolahan mereka. Sesi kedua adalah untuk
kelas tadika dan darjah 1, sementara, sesi ketiga adalah untuk darjah
3, 4 dan 5. Ketika kunjungan saya, mereka sedang menduduki
perperiksaan semester 1.

Bagi menampung operasi persekolahan seperti kertas-kertas latihan dan
perperiksaan serta bayaran saguhati untuk 4 orang gurunya, sekolah ini
mengutip yuran bulanan sebanyak RM5. Namun, kerana kesempitan hidup,
ramai yang tidak mampu untuk menjelaskan yuran bulanan tersebut.
Namun, tiadalah guru-gurunya menyebut-nyebut tentang tunggakan yuran
supaya anak-anak muridnya tidak menjadi segan untuk hadir ke sekolah.
Kasihan.

Kesemua guru-gurunya mempunyai pendidikan formal, sekurang-kurangnya
dengan kelulusan A-Level atau STPM. Kos operasi utama persekolahan ini
adalah untuk edaran-edaran latihan yang difotokopi dengan kos 20 sen
bagi setiap helai salinan depan belakang. Jika anak-anak murid mereka
berkemampuan, akan dibelikan satu buku kerja latihan yang lengkap,
tidak perlu difotokopi helai demi helai lagi.

Selain itu, atas sebab-sebab yang munasabah dan penting, sekolah ini
mengenakan uniform persekolahan baju putih dan seluar/kain berwarna 'maroon'.
Namun, juga kerana kekangan kewangan, ada antara anak-anak murid ini
hanya mampu  memakai apa yang mereka ada sahaja untuk ke sekolah.
Juga, tiada guru-guru menyebut-nyebut tentang masalah sekecil itu
supaya terus anak-anak murid mereka hadir  ke sekolah.

Setakat ini sahaja kali ini, InsyaAllah saya akan sambung lagi pada lain waktu.

Terima kasih.