Monday, June 06, 2011

Cerita Sekolah Antarabangsa (II)

Sahabat saya di Kota Kinabalu menulis,

Assalamualaikum.

Sehari selepas lawatan pertama saya ke Madrasah Al Hikmah (MAH), saya
berkunjung lagi ke sana pada hari yang berikutnya untuk merakamkan
foto-foto suasana pembelajaran di dalam bangunan sekolah yang usang
itu, supaya mungkin dapat dikongsikan dengan sesiapa yang sudi untuk
mengambil tahu tentang nasib mereka. Berat mata kita melihat nasib
mereka di dalam foto, berat lagi bahu mereka yang memikul.

Sekolah ini secara lebih tepatnya telah mula beroperasi pada Mac 2005
atas inisiatif seorang budiman, En Yahya bin Yacob. Dengan kerjasama
penduduk tempatan, mereka telah membaik pulih surau yang juga adalah
balai raya mereka untuk dijadikan bangunan sekolah ini. Pada masa ia
ditubuhkan, sekolah ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada
anak-anak pelarian Muslim selatan Filipina untuk memperolehi
pendidikan asas membaca, menulis dan Fardhu Ain. Sehingga kini,
sekolah ini masih menggunakan bangunan yang sama.

Juga sehingga kini, kebanyakan pelajar di sekolah ini adalah masih
anak-anak daripada generasi  kedua atau ketiga masyarakat pelarian
Muslim selatan Filipina tersebut, di mana kebanyakan mereka tidak
dapat untuk mengikuti persekolahan di sekolah bantuan kerajaan atas
sebab kemiskinan atau masalah dokumentasi kerakyatan yang diwarisi
daripada ibubapa mereka.

Tentang masyarakat Filipina ini, ramai yang mempunyai persepsi yang
kurang tepat lantaran istilah ‘Filipina’ itu sendiri. Ya, generasi
awal mereka memang berasal dari Filipina, namum mereka adalah daripada
masyarakat Muslim Melayu Suluk yang berasal dari Selatan Filipina yang
lari menyelamatkan diri dari tanah air mereka kerana peperangan yang
tercetus antara Manila dengan penduduk tempatan di Selatan Filipina
tersebut.

Berbalik kepada MAH, saya hanya sempat untuk berkunjung ke sana pada
sesi kedua dan ketiga persekolahan mereka. Sesi kedua adalah untuk
kelas tadika dan darjah 1, sementara, sesi ketiga adalah untuk darjah
3, 4 dan 5. Ketika kunjungan saya, mereka sedang menduduki
perperiksaan semester 1.

Bagi menampung operasi persekolahan seperti kertas-kertas latihan dan
perperiksaan serta bayaran saguhati untuk 4 orang gurunya, sekolah ini
mengutip yuran bulanan sebanyak RM5. Namun, kerana kesempitan hidup,
ramai yang tidak mampu untuk menjelaskan yuran bulanan tersebut.
Namun, tiadalah guru-gurunya menyebut-nyebut tentang tunggakan yuran
supaya anak-anak muridnya tidak menjadi segan untuk hadir ke sekolah.
Kasihan.

Kesemua guru-gurunya mempunyai pendidikan formal, sekurang-kurangnya
dengan kelulusan A-Level atau STPM. Kos operasi utama persekolahan ini
adalah untuk edaran-edaran latihan yang difotokopi dengan kos 20 sen
bagi setiap helai salinan depan belakang. Jika anak-anak murid mereka
berkemampuan, akan dibelikan satu buku kerja latihan yang lengkap,
tidak perlu difotokopi helai demi helai lagi.

Selain itu, atas sebab-sebab yang munasabah dan penting, sekolah ini
mengenakan uniform persekolahan baju putih dan seluar/kain berwarna 'maroon'.
Namun, juga kerana kekangan kewangan, ada antara anak-anak murid ini
hanya mampu  memakai apa yang mereka ada sahaja untuk ke sekolah.
Juga, tiada guru-guru menyebut-nyebut tentang masalah sekecil itu
supaya terus anak-anak murid mereka hadir  ke sekolah.

Setakat ini sahaja kali ini, InsyaAllah saya akan sambung lagi pada lain waktu.

Terima kasih.

3 comments:

joe labi said...

Dr. Bubbles, bagaimana saya boleh bantu?

Iskandar aka DR Bubbles said...

Salam Tuan Joe Labi,

Tuan boleh membantu dengan menyumbang dana kepada sekolah itu melalui no Akaun (Public Bank): 3992 921831.Penama Cek/Sumbangan tunai: MADRASAHTUL HIKMAH.

Jika tuan ke Sabah, tuan boleh melawat sekolah ini.Hubungilah Tuan Yahya Yacob di talian 016-8326827. Beliau berbesar hati jika ada dermawan yang sudah atau ingin membantu, melawat sekolah ini.

Semalam saya menelefon beliau. Menurut beliau, guru tambahan yang dibiayai gajinya oleh penerbit buku PTS melalui wang zakat sebanyak RM1000 sebulan akan diambil bekerja dalam masa dua minggu lagi.

Saya juga bertanya kepada beliau mengenai keperluan lain yang penting bagi anak-anak sekolah ini. Beliau memberitahu dua perkara:

1. Bantuan pemeriksaan kesihatan percuma untuk anak-anak ini. Kebiasaannya mereka mengadakannya 3 bulan sekali.

2. Bantuan pembedahan 'cleft palate' bagi anak-anak dan remaja komuniti ini. Tahun lalu, seramai 12 orang kanak-kanak dan remaja berjaya menjalani pembedahan kecil bagi membetulkan cleft palate mereka. Kos pembedahan itu dibiayai oleh Tuan Yahya dan seorang rakan. Saya sudah meminta beliau mendapatkan jumlah kanak-kanak yang memerlukan bantuan itu bagi tahun ini.

Mungkin dua perkara ini kita boleh cuba membantu pada masa ini.

Namun dalam hati saya, masih banyak perkara yang perlu dibantu dari sudut pendidikan anak-anak ini. Hanya melalui pendidikanlah kita boleh mengubah hidup mereka ini.

joe labi said...

ok .. thanks