Friday, June 10, 2011

Mengukur kelapa

Kelapa parut

"Tolong parutkan kelapa sebiji," ibuku berkata sambil mengacau gulai di atas dapur.

Sudah lama saya tidak membantu beliau di dapur. Saya menurut sahaja permintaan beliau, lalu mengambil kelapa yang sudah dibelah di atas meja dan membawanya ke luar dapur. Mesin kelapa sengaja diletakkan di luar rumah kami, supaya mudah dibersihkan.

"Mak, boleh hulurkan saya dulangnya?" saya bertanya.

Ibu segera mengambil dulang yang sederhana besar dari rak pinggan mangkuk di bawah meja dan menghulurkan kepada saya yang sudah pun duduk bersedia di hadapan mesin bagi mengukur kelapa. Saya segera meletakkan dulang di bawah mesin supaya ia boleh menampung isi parutan kelapa yang jatuh apabila dikukur nanti.

Ibu berpesan, "Nanti kukurlah lembut-lembut. Jangan ditekan kuat-kuat tempurung kelapa pada mata kukur."

Setiap kali saya mengukur kelapa dengan menggunakan mesin kelapa itu, saya memang sengaja menekan tempurung kelapa dengan sepenuh tenaga pada mata kukur. Seronok, melihat serbuk kelapa parut bertebaran jatuh membentuk gumpalan berwarna putih di dalam dulang. Lagipun, kerja pun cepat siap.

"Kenapa?" saya bertanya. Musykil kerana inilah kali pertama ibu menyuruh saya berbuat demikian.

"Oh, jika dikukur lembut-lembut, isi parutannya lebih halus. Mudahlah emak meramasnya. Santan kelapa pun mudah keluar."

Wah! Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu. Selama ini, saya menyangka, kerja yang pantas dan menggunakan tenaga yang kuat, akan memberi hasil yang bagus. Rupa-rupanya tidak.

Kadang-kadang, pekerjaan yang perlu dilakukan dengan cermat dan perlahan, tanpa perlu tergesa-gesa, bisa membuahkan hasil yang lebih baik dan memudahkan urusan orang lain.

Tugas mudah mengukur kelapa ini mengajar saya satu pelajaran hidup yang sungguh besar.


Kredit Foto : theenglishkitchen.blogspot.com

No comments: