Tuesday, March 08, 2005

Cerita seorang dalghaj

Kalaulah saya boleh mendapatkan sehelai permaidani ajaib seperti di dalam Hikayat Seribu Satu Malam mahu sahaja saya terbang merentasi awan gemawan kembali ke daerah gurun berdebu pasir dan berpohonan kurma itu.

Daerah itu ialah Bam, di dalam wilayah Kerman di tenggara Iran. Umum mungkin tidak mengetahui signifikan bandar Bam namun itulah daerah yang terkenal dengan hasil eksport kurmanya ke serata dunia termasuk Malaysia. Pada tanggal 26 Disember 2003, satu gempa bumi yang berukuran 6.2 skala richter telah menggegarkan bandar itu yang masih diulit mimpi di waktu subuh. 80 - 100 peratus bangunan di bandar itu ranap dan mengorbankan 24,000 nyawa mencederakan ribuan mangsa. Kota Arg-e-Bam, kota purba berdindingkan lumpur yang berdiri megah di pinggir bandar Bam sejak 2000 tahun dahulu turut rebah ke bumi akibat gempa bumi dalam masa 12 saat. Di daerah itulah pada lewat Januari 2004 lalu seorang badut bersepatu lebar, berhidung merah tiba bersama pasukan bantuan perubatan MERCY Malaysia menghulurkan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada mereka yang masih hidup.

Sayalah si badut itu. Saya masih ingat akan kandungan mesej sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Y.Bhg. Dato' Dr. Jemilah Mahmood, Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) yang berbunyi,

"Mahukah anda menggembirakan kanak-kanak di Bam,Iran?"

Balas saya " Ya! namun saya tidak punya wang untuk tampung kos ke sana".

Sememangnya waktu itu saya tidak punya wang yang cukup biarpun untuk tambang kapal terbang kerana baru sahaja pulang dari Laos setelah menamatkan khidmat sukarelawan saya selama setahun 5 bulan dan belum punyai pekerjaan tetap dan bergaji.

" Tidak mengapa, kita cuba usahakan." Janji beliau. Alhamdulillah berkat doa dan sokongan dari Mercy Malaysia serta sumbangan kewangan dermawan dari segenap pelusuk dunia, 3 minggu selepas itu, pada tanggal 24hb Januari 2004 saya berlepas bersama 8 anggota sukarelawan Mercy Malaysia ke Tehran, ibu negara Iran sebelum meneruskan perjalanan sejauh 800 km dengan kapal terbang ke Kerman. Dari Kerman kami meneruskan perjalanan melalui jalan darat ke Bam dan tiba untuk meneruskan misi bantuan perubatan dan kemanusiaan Mercy Malaysia yang telah tiba dan beroperasi sejak 27 Disember 2003, sehari selepas kejadian yang sungguh menyayat hati itu.


perjalanan dari Kerman ke Bam


Kehidupan awal di Kem Baravat

Kami ditempatkan di kem perkampungan Baravat yang terletak 5 km dari bandar Bam. Menurut laporan, gempa bumi tersebut berpusat di tengah-tengah bandar Bam itu sendiri dan kesan gegaran di Baravat tidaklah seteruk di Bam. Namun sepanjang jalan yang kami jelajahi di kawasan Baravat ini , kami lihat hampir kesemua bangunan dan rumah musnah. Batu bata masih berserakan. Aneh apabila melihat pokok-pokok kurma di sekitar Bam yang masih tegak berdiri sedangkan bangunan-bangunan ranap dan hancur. Kebanyakan rumah beratapkan lumpur dan rumput kering dan kerana itulah ramai yang terkorban akibat dihempap dinding dan siling yang rapuh. Khemah-khemah yang didermakan oleh agensi bantuan antarabangsa kelihatan di mana-mana sehingga ia menjadi sebutan ramai sebagai ‘tent city atau bandar khemah.

Kami tinggal di khemah-khemah berterpal biru tinggalan Pasukan Penyelamat Itali yang telah kembali ke negara mereka 2 minggu selepas kejadian itu. Sememangnya tidak selamat untuk tinggal di dalam bangunan. Kami tinggal di kem ini yang turut sama menempatkan mangsa mangsa bencana tersebut. Tinggal dan hidup berjiran selama sebulan disana menyebabkan saya secara peribadi dapat merasa keperitan yang dilalui mangsa-mangsa bencana gempa bumi itu. Bayangkan sahaja betapa sejuknya cuaca diwaktu malam, 'sleeping bag' saya yang boleh mengekang sejuk serendah 0 darjah celcius tidak mampu menahan sejuknya gurun pasir di Bam ini. Sejuknya Allah sahaja yang mengetahuiNya. Yang menjadi cabaran paling getir ialah untuk mengambil wuduk sebelum menunaikan solat subuh. Air yang mengalir dari batang paip apabila menjamah muka seolah-olah seperti pisau yang menghiris muka!Sejuk!

Sesekali ketika cuba melelapkan mata di malam hari, gegaran kecil (tremors) dapat dirasakan seolah-olah memberi amaran bahawa gempa mungkin akan kembali bila bila masa di negara yang terletak di atas garisan 'fault' ini. Terdetik di hati saya betapa bertuahnya dilahirkan dan hidup di tanah air tercinta yang tidak dibayangi dek bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi,peperangan atau kemarau panjang.
(Nota: Tehran dan utara Iran telah dilanda gempa bumi sekali lagi pada bulan Mei 2004, namun korban jiwa adalah rendah jika dibandingkan dengan kejadian yang melanda di Bam)

Setiap kesusahan dan penderitaan itu punyai nikmat yang tersembunyi. Pemandangan indah di sekitar Baravat amat mengasyikkan. Cukup menenangkan fikiran ketika melihat gurun pasir dan banjaran gunung berlitup salji di kejauhan.


pemandangan di sekitar Baravat

Mangsa-mangsa gempa bumi yang berjiran dengan kami amat menghormati tetamu apatah lagi kami dari sebuah negara Islam yang datang membantu mereka di kala kesusahan seperti ini. Kalau kami bertandang ke khemah mereka pasti teh panas bersama buah buahan segar dihidangkan kepada kami. Kadang kadang serba salah dibuatnya terutama apabila kami mengetahui mereka kehilangan segalanya ketika bencana itu. Siapapun yang datang ke Bam ini juga pasti terpesona dengan senyuman dan ucapan "Hello!" oleh anak anak kecil mangsa bencana seperti Gulnaz, Mousamma, Fereshte dan Muhaddasir yang benar benar menghiburkan hati kami dengan telatah mereka itu. Gulnaz si kecil itu begitu ramah berbanding kakak-kakaknya si Mousamma dan Fereshte.Setiap pagi pasti wajahnya terjengul di pintu khemah mengucapkan “Hello” kepada kami. Kakaknya Mousamma pula suka merajuk manakala Fereshte yang rongak gigi pula pendiam orangnya. Sepupu mereka, si Muhaddatsir pula comel dan sentiasa mengukir senyuman. Empat anak kecil ini sentiasa berlegar di kem kami. Ghulam Abbas bapa mereka memberitahu saya, “Mereka tidak mahu ke sekolah dan hanya mahu ke sini setiap hari.” Saya hanya mampu ketawa kecil mendengar keluhan bapa mereka itu.

bermain bersama Mousamma dan Muhaddatsir di waktu petang

Sememangnya keadaan masih tidak teratur. Walaupun persekolahan sudah dibuka, kanak –kanak itu hanya dapat belajar di dalam keadaan serba daif. Bangunan sekolah ranap. Guru –guru mereka ramai yang terkorban. Mereka hanya bersekolah beratapkan langit dan bersila di atas tanah semata-mata. Sukar untuk belajar di dalam keadaan yang masih kacau-bilau itu.

Kehilangan

Setelah beberapa minggu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan melaksanakan aktiviti aktiviti bantuan kemanusiaan tibalah hari yang ditunggu-tunggu oleh saya untuk melaksanakan tugas sebenar saya di Bam iaitu melaksanakan program lawatan badut hospital di 3 unit hospital utama yang terdapat di Bandar Bam. Hospital-hospital itu ialah Hospital Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (ICRC), Hospital Tentera India yang masing-masing terletak di Bandar Bam sendiri dan Klinik Mercy Malaysia di Kem Baravat.

saya,bayi dan Urmila "mama clown"

Saya memulakan tugas di Hospital ICRC pada 6 Februari 2004. Tarikh itu kemas di dalam ingatan saya kerana pada hari yang sama di mana saya melaksanakan sesuatu yang saya impikan selama ini, untuk menghiburkan mereka yang menderita, saya sendiri melalui saat yang memilukan di dalam hidup saya. Sebelum saya berangkat ke Hospital ICRC pada hari tersebut, saya menerima panggilan dari Dr. Jemilah di Malaysia, namun kerana terpaksa bergegas ke Hospital ICRC saya tidak menjawab panggilan tersebut. Gerak hati saya seolah sudah mengetahui bahawa berita yang ingin di sampaikan beliau tentunya berita kurang baik mengenai ‘kakak’ saya, Inda Sako. Saya menyimpan jauh perasaan yang berbaur di dalam fikiran saya dan terus menumpukan kepada tugas saya di Hospital ICRC. Alhamdulillah tugasan pertama mengadakan lawatan badut hospital berjaya dilaksanakan.

plate-let spinning test

Hanya pada malam itu, saya diberitahu oleh beliau akan pemergian Inda ke Rahmatullah pada subuh 6 Februari 2004 lalu. Akhirnya perjuangan beliau melawan kanser yang ‘kembali’ menyerangnya lewat tahun 2003 berakhir di pagi subuh itu. Saya sempat bertemu beliau beberapa hari sebelum ke Bam dan hari itu saya cuba menggembirakan beliau yang agak lesu dengan rejim morfin yang diterimanya dengan jenaka-jenaka saya yang tidak masuk akal itu. Beliau masih lagi mampu tersenyum. Alhamdulillah saya diberitahu bahawa beliau meninggal pada hari Jumaat di dalam nyenyak tidur dan ramai yang dating menziarahi memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Kuala Lumpur. Hari itu juga merupakan hari lahir Allahyarham dan saya diberitahu bahawa kad ucapan hari lahir beliau yang ditulis oleh anak anak kesayangan beliau tidak sempat dibaca.. Allahyarhamlah yang banyak memberi dorongan dan doa di dalam usaha saya selama ini dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat diri saya.

Detik-detik menakjubkan

Sepanjang tempoh khidmat saya di Bam selama sebulan saya sempat beberapa kali melawat Hospital ICRC sebagai badut hospital dan banyak detik detik menakjubkan (magical moments) yang saya alami sebagai DR Bubbles , karakter badut hospital saya.

Saya masih ingat lagi wajah bayi kecil itu yang begitu asyik dengan buih-buih sabun yang berterbangan dihembus lembut oleh saya memenuhi ruang wad ICU itu sambil alunan muzik lagu ‘Frere Jacques’ dari peti muzik kecil (hadiah daripada Jeannie Lindheim , pengasas Jeannie Lindheim Hospital Clown Troupe di Boston, USA) berkumandang di didalam wad itu. Di dalam suasana yang sungguh hening itu seolah-olah hanya saya dan dia sahaja bermain-main di dalam alam kami yang tersendiri. Saya dapat merasakan itulah saat ‘heart to heart connection’ yang berlangsung di antara badut hospital seperti mana yang diajar oleh guru badut saya Shobi Dobi di dalam kelas ‘caring clown’ di Clown Camp® La Crosse, Wisconsin, USA dahulu.
bermain buih sabun bersama si kecil

Saya juga masih ingat pada kanak-kanak perempuan yang saya kunjungi pada lawatan kedua saya ke Hospital ICRC. Dia masih memegang erat gambar adik-beradiknya yang saya dimaklumkan melalui penterjemah telah terkorban bersama-sama ibunya sewaktu gempa bumi itu. Tinggallah dia bersama ayahnya sebatang kara. Namun dia masih mampu tersenyum dengan aksi-aksi spontan saya memeriksanya dengan ujian ‘piring terbang’ (plate spinning test), pemindahan hidung merah (red-nose transplant) dan saya sempat bergambar bersamanya dan memberikan foto itu kepadanya sebagai satu kenangan. Semoga foto Polaroid itu mampu mengukirkan senyum diwajahnya bagi membina semula hidupnya yang musnah akibat tragedi lewat Disember itu.

Kanush. Nama itu akan terpahat di dalam hati saya hingga ke akhir hayat saya. Wajah si anak kecil berusia sekitar 5-6 tahun masih jelas di ingatan. Sewaktu saya melakukan lawatan badut hospital di satu unit pediatrik, saya perasan dari ekor mata saya bahawa dia hanya memerhatikan saya dari satu sudut jauh sahaja. Sebagai badut hospital saya memang dilatih untuk tidak melangkaui sempadan dan gerak hati saya mengatakan bahawa dia tidak mahu diganggu. Saya menumpukan perhatian saya kepada kanak-kanak yang lain di wad itu dengan membuat silap mata mudah dan di dalam kesibukan saya melayani kanak-kanak itu saya terlupa untuk ‘mengunjungi’ Kanush. Ketika melangkah keluar dari unit itu, seorang jururawat memanggil saya dan meminta saya melawat Kanush. Saya diberitahu oleh jururawat bahawa Kanush sedang menunggu ibunya yang lumpuh dihempap dinding rumahnya akibat gempa bumi itu. Dia juga mengalami jangkitan paru-paru. (chest infection).

Saya cuba membuat Kanush tersenyum dengan aksi badut saya, namun dia hanya kaku tanpa sebarang reaksi duduk memandang saya. Menyedari mungkin dia tidak mahu diganggu, saya meninggalkan pelekat ‘smile’ di bajunya sebagai tanda kenang-kenangan dan melangkah keluar dari unit pediatrik itu.

Semasa berbual dengan jururawat dan doktor di luar wad , saya nampak Kanush berjalan ke arah saya. Saya pun membongkok dan bertinggung dan melalui penterjemah saya secara berjenaka meminta si anak kecil itu memberikan ciuman di pipi saya. Secara spontan, dia tanpa rasa takut mencium pipi saya berkali-kali. Saya benar-benar terkejut! Sehingga sekarang, tiap kali saya mengingatkan insiden ini saya dapat merasakan pipi saya masih basah dek kucupan si anak kecil bernama Kanush itu.


di wad wanita Hospital ICRC

Sebenarnya terlalu banyak cerita dan pengalaman menarik ketika melaksanakan tugas sebagai badut hospital dan situasi jenaka tidak hanya berlaku ketika saya berada di dalam karakter badut tetapi juga di masa masa lain di mana saya sebagai ahli sukarelawan Mercy Malaysia. Pernah sekali ketika mewakili Mercy Malaysia ketika menghadiri taklimat mingguan bagi agensi-agensi bantuan kemanusiaan yang beroperasi di Bam di perkarangan Ibu Pejabat Bantuan Kemanusiaan Bangsa Bangsa Bersatu (OCHA) di pusat Bandar Bam; sedang asyik mendengar taklimat oleh wakil agensi bantuan kemanusiaan yang lain, kerusi yang saya duduki tiba-tiba patah (saya bertubuh besar) dan menyebabkan saya hampir terjatuh. Pada masa yang sama "fart machine" atau "mesin kentut" (mesin 'kentut' itu saya beli di Amerika Syarikat ketika menghadiri Clown Camp di University of Wisconsin- La Crosse tahun lalu dan mengeluarkan 5 jenis bunyi 'kentut' yang berlainan jika alat kawalan jauhnya ditekan) yang saya terbawa bersama berbunyi dengan kuat mengeluarkan bunyi 'kentut' akibat interferens. Latah saya spontan ketika itu ialah " it is not a tremor, don't worry!" (Ia bukan gegaran gempa bumi , jangan bimbang) disambut gelak ketawa hadirin yang lain.

Persembahan di Hospital Tentera India dan Kepulangan

Selain daripada Hospital ICRC saya juga sempat menjalankan program badut hospital di Hospital Tentera India. Saya sempat melawat wad kanak-kanak, wanita dan lelaki dewasa yang rata rata didirikan di dalam ‘container’ yang lengkap dengan peralatan perubatan moden seperti kipas penyejuk . Kagum saya melihat kesungguhan pasukan mereka mengadakan kemudahan perubatan yang canggih yang telah diterbangkan khas dari negara mereka dengan pesawat C130 Hercules untuk membantu mangsa mangsa gempa bumi di Bam.
Tertarik dengan usaha sukarelawan Malaysia menghiburkan pesakit-pesakit di hospital mereka, Komandan Hospital Tentera India, Kolonel Talan telah menjemput kami untuk mengadakan persembahan untuk askar askar Tentera India yang berkhidmat di Bam. Maka pada malam terakhir kami berada di Bam sebelum pulang ke Malaysia, kami bertandang ke kem mereka. Malam itu diisi dengan persembahan nyanyian, puisi, lawak jenaka oleh sukarelawan Mercy Malaysia. Penterjemah kami si Hashem turut sama mengalunkan lagu syair karya penyair Iran, Saeedi yang amat mempersonakan. Seperti kata Dr Alzamani, kalau dia berada di Malaysia, sudah tentu menjadi penyanyi terkenal dengan suaranya yang sungguh merdu itu. Askar-askar Tentera India itu juga cukup ‘sporting’ mengadakan persembahan drama yang lebih ‘provokasi’ daripada sketsa-sketsa Instant CafĂ© Theatre kalau ia dilakukan di negara kita. Namun sketsa itu jelas menunjukkan betapa harmoninya masyarakat berbilang kaum dan agama di India.

persembahan seni di Hospital Tentera India


Keesokan pagi saya dan tiga rakan sukarelawan yang lain iaitu Dr. Alzamani Mohamed Idrose dan Dr Nasir berlepas pulang awal pagi menuju ke Kerman. Sayu hati meninggalkan anak anak kecil , si Gulnaz, Fereshte, Muhaddasir dan Mousamma yang bagaikan seperti saudara sendiri. Sempat juga saya meninggalkan sedikit cenderahati untuk mereka. Pada si anak kecil Fareshte dan Gulnaz, saya berikan pensil warna yang sempat saya beli di Malaysia dahulu. Pada Muhaddasir, saya tinggalkan ‘bubble extinguisher’ (peniup buih berkuasa bateri). Si Mousamma cilik rupa-rupanya inginkan tabung buih (bubble soap tube) yang saya selalu gunakan, lalu saya berikan kepadanya.

Kami bergerak pulang dengan menaiki kereta yang dipandu oleh Ghulam Abas, pemandu setia pasukan sukarelawan Mercy Malaysia di Bam ini. Semasa di dalam perjalanan di lebuhraya Bam-Kerman, Dr Alzamani membacakan puisi yang dikarangkannya secara spontan untuk saya. Air mata saya mengalir berlinangan kerana puisi yang menusuk kalbu itu benar-benar dapat membaca apa yang bermain-main di fikiran saya ketika itu. Segala yang kusut tersimpan di dalam jiwa seolah-olah luruh dan saya merasa tenang kembali.

Untuk Sekuntum Senyum dan Sehalkum Ketawa
Oleh Dr Alzamani Mohamed Idrose

Senyum dan tawa
Sebenarnya mahal di gersang gurun ini
Apatah lagi pada gersangnya insan
di akhir runtuhan harap
dan gempa mimpi

Mereka agaknya sudah lama diratah derita
Lalu lama terlupa
dan demikian menaikkan harga setinggi-tingginya
biarpun untuk sekuntum senyum
atau sehalkum ketawa

Masih
ada insan yang sudi datang
dengan merah hidung
panjang senyum
dan lebar sepatu
Bermain jenaka dan menghulur senyum
Dia tidak putus
mengingatkan mereka
Bagaimana mahu mengukir senyum
dan mengorak ketawa

Dia melakukannya dengan sabar
Lewat semua luka nanar
Lalu akhirnya senyum dan tawa murah harganya
di gersang bumi yang sengsara ini

22 Februari 2004
Jalanraya Bam-Kerman


Tehran

Kami tiba di Tehran sekitar tengahari 2 jam setelah berlepas dari Kerman dengan penerbangan domestik Aseman Airlines. Penerbangan ke Malaysia hanya akan berlepas hari lusanya. Jadi, sempatlah kami meninjau-ninjau kota Tehran yang mashyur itu. Setiba kami di sana, Pak Nik Mustafa dari Kedutaan Malaysia sudah menunggu kami di sana. Beliau membawa kami ke apartment penginapan kami yang agak ‘mewah’ yang terletak di kawasan ‘embassies enclave’. Sebetulnya hotel hotel di Tehran penuh kerana cuti umum dan di atas sebab sebab keselamatan kami mengambil keputusan untuk menginap semalaman di apartment yang hampir dengan kedutaan Malaysia. Kami tiba di Tehran ketika boikot golongan kanan terhadap Pilihanraya Umum negara itu yang dikatakan berat sebelah .Menurut khabar angin ada kekacauan akan berlaku ketika itu. Namun Alhamdulillah khabar angin itu adalah palsu belaka. Tehran aman sahaja.


bersama Pak Nik Mustaffa dari Kedutaan Malaysia di Tehran

Petang itu, Pak Nik membawa kami melawat Tolchar, sebuah tempat peranginan di atas bukit tidak jauh dari penginapan kami. Kami tidak bernasib baik. Tempat itu sudah tutup pada pukul 4 petang. Kami tiba sekitar 4.30 petang. Malam itu, kami dijemput ke rumah beliau untuk menikmati makan malam bersama keluarga beliau. Dapat saya bertemu kembali Kak Siti dan Iki yang pernah membantu saya memulakan hidup saya sebagai sukarelawan Malaysia di Laos pada tahun 2002 – 2003 dahulu. Kini, beliau berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Tehran. Malam itu, kami menikmati makan malam dengan lauk yang enak berulam mentimun dan sambal belacan sambil berbual rancak tentang kisah kisah wanita Tehran yang ‘malas’ dan senario politik tempatan.

Keesokan harinya, kami melawat Taman Sajmindiyeh milik Shah Iran sebelum beliau digulingkan oleh revolusi Iran pada 1979. Indah sungguh taman rekaan beliau itu. Sayangnya ia tidak terjaga dengan baik. Banyak galeri di dalam taman itu telah ditutup. Kami sempat bergambar di sana sebagai tanda kenang-kenangan.
kacang,kacang,kacang!
Kami kemudian melawat Bazaar Bodzho atau Pasar Besar yang berusia beratus tahun. Kalau diteliti, banyak persamaan diantara bahasa Farsi dan Bahasa Malaysia. Bodzho sama maksud dengan perkataan besar. Raswa = Rasuah. Badam = kacang badam. Kuche = Kecil. Bazaar Bodzho sememangnya besar dan terkenal. Sungguh besar sehingga di dalamnya ada masjid lama berukir indah. Terkenal dengan barang dagangan seperti permaidani Farsi yang sungguh cantik dan kemas buatannya. Ramai orang Malaysia ke sini akan pulang membawa permaidani-permaidani yang murah harganya sekira pandai menawar. Kami hanya membeli sekilo dua kekacang badam, pistachio dan hazel yang lebih murah jika dibandingkan dengan dibeli di Malaysia sebagai buah tangan pulang ke tanahair.
di dalam Bazaar Bodzho,Tehran

Oleh kerana waktu itu hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum 10 Muharram atau Hari Asyura, kami juga dapat melihat sendiri pelbagai alatan dijual di kedai kedai di tepi jalan yang akan digunakan untuk memukul tubuh sempena sambutan Asyura. Rantai besi, senjata tajam, bendera hitam semuanya ada. Pelik tapi itulah hakikatnya berada di dalam negara 95% berfahaman Syiah ini.

Malam itu, kami bersiar-siar disekitar kawasan berdekatan apartment penginapan meninjau suasana malam yang begitu dingin di Tehran. Kejang jari jari dibuatnya. Sempat juga menikmati makan malam Iran terakhir kami di restoran berhampiran yang berupa nasi mentega delima kering dan kebab serta dadih. Sudah sebulan berada di sini, pulut dan ikan masin juga terbayang di kepala. Tak sabar untuk pulang ke Malaysia.

Keesokan hari, kami bergegas seawal 7.00 pagi menaiki teksi menuju Mehrabad Airport untuk penerbangan pulang ke Malaysia.

Epilog

Terlalu banyak pengalaman dan pengajaran yang sungguh berharga yang kami pelajari sewaktu di Bam. Puisi Dr. Alzamani meringkaskan segala-galanya. Benarlah kata beliau bahawa Bam adalah sebuah universiti kehidupan.
saya dan runtuhan kota Arg-e-Bam

This university of mankind

This is a university
Built among collapsed bricks
Standing strong among the rubbles of all deaths
and all pain

Here we were the ardent students
All but learning hearts about shattered hearts

In lessons of humanity
we studied hopes left by death
we studied mercy forged in halted breath
we studied pity lost in nature’s wrath

In subjects of compassion
we studied kindness offered by strangers
we studied sympathy extended by unknown fingers
we studied a brotherhood of different colours

In courses of patience
we studied the consent of will and willingness
we studied accepting fate and somehow try to find its goodness
we studied the mighty strength that was born in sheer weakness

Here in a semester of disaster, strangers found friendship
Friends found brothers and brothers found brotherhood

This is Bam
the university of mankind
where we learnt a life of kindness
with a heartbeat of humanity

13 February 2004
Iranian Red Crescent Society Hospital
Bam

No comments: