(Gambar AFP)
Di antara catatan diari saudara Hatem Shurrab sehingga kini (28 Januari 2009), catatan pada 23 Januari 2009 yang paling terkesan di hati saya. Terjemahan diarinya diterjemahkan oleh Tuan Naim Jalil.
Gaza: 23 Januari 2009
Buat pertama kali untuk tahun ini, saya dapat menunaikan Sembahyang Jumaat di masjid.
Saya mendakap ramai orang hari ini; berminggu-minggu saya tidak jumpa mereka, namun terasa seolah-olah kami dipertemukan semula setelah bertahun-tahun terpisah.
Perasaan hati kami bercampur-baur, ada gembira dan ada sedih. Ahmad, salah seorang rakan karib saya berkata: “Aku gembira sebab engkau selamat, tapi aku juga sedih dengan sekian ramainya orang yang terkorban.”
Semalam, saya bertemu John Holmes, Setiausaha Agung Kedua PBB untuk Humanitarian Affairs and Emergency Relief. Dia kata, dia selalu membaca diari saya.
Kami berkongsi rasa tentang dahsyatnya kemusnahan dan kerosakan yang berlaku.
Betapa pula remuknya hati mereka yang kehilangan orang tersayang dan melihat semua yang mereka miliki, musnah di hadapan mata.
Saya pasti, rumah dan bangunan yang musnah akan dibina semula – tetapi bagaimana dengan hidup yang telah hancur?
Siapa yang dapat membantu mereka berdiri semula?
Dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Sewaktu mengagihkan bungkusan makanan di kem pelarian Jabaliya, saya bertemu seorang ayah bernama Adel, bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil di salah satu pusat perlindungan di situ.
Saya tanyakan, kenapa dia tidak pulang ke rumah.
Katanya, dia sudah balik dan mendapati kesemuanya sudah musnah.
Kami juga berbual tentang kehidupannya sebelum serangan ini – dia miskin dan tiada pekerjaan.
Beribu-ribu kini hilang tempat tinggal di Gaza. Adel adalah salah seorang daripada 1.3 juta rakyat Gaza yang terus bergantung kepada bantuan makanan masyarakat antarabangsa untuk dia dan keluarganya terus hidup.
Sekarang, dia tidak mempunyai wang untuk menyewa tempat tinggal.
Cerita Adel, sama seperti cerita beribu-ribu lagi rakyat Gaza.
Saya bangga dengan usaha-usaha Islamic Relief sepanjang minggu-minggu kebelakangan ini.
Saya teringat tiga kanak-kanak perempuan, adik-beradik, mampu mengorak senyum, bila pasukan bantuan kami menyampaikan bungkusan makanan kepada mereka.
Saya teringat tiga kanak-kanak perempuan, adik-beradik, mampu mengorak senyum, bila pasukan bantuan kami menyampaikan bungkusan makanan kepada mereka.
Di dalamnya, di samping makanan lain, ada halwa, sejenis manisan tradisional. Ini sudah cukup untuk mengukir senyuman di wajah mereka.
Kami telah membelanjakan hampir tiga juta dollar dalam usaha bantuan kami setakat ini dan kami sedang giat menggandakan kerja-kerja bantuan di tempat kejadian.
Sepanjang tiga minggu yang lalu, kami telah mengagihkan 11,000 bungkusan makanan ke 12 pusat perlindungan PBB di Gaza, Rafah dan Khan Younis.
Setiap bungkus mengandungi beras, gula, kacang dal, pes tomato, kekacang, daging dalam tin dan jem.
Kami juga menyediakan lebih 4,000kg daging beku di hospital-hospital, dan bertan-tan pelbagai jenis makanan, cukup untuk bekalan sebulan.
Hospital merupakan salah satu tumpuan utama kami.
Kami telah membekalkan troli, ECG, pam infusi, monitor untuk pesakit unit rawatan rapi, mesin pembius, ventilator dan monitor untuk bilik bedah, alat ganti dan juga peralatan-peralatan perubatan lain.
Islamic Relief juga telah membawa masuk tujuh buah ambulan termasuk sebuah ambulan rawatan rapi dan sebuah hospital bergerak dari sempadan Mesir.
Kami memberi 1,400 helai lampin untuk hospital kanak-kanak.
Kami juga membekalkan beribu-ribu gelen air bersih untuk pusat-pusat perlindungan dan lebih 3,000 helai selimut.
Ini hanyalah sebahagian daripada usaha-usaha yang telah kami lakukan.
Apa-apa pun, kerja sebenar baru sahaja bermula.
Baru kini kami dapat menaksir kemusnahan sebenar di Gaza, bila semua tempat boleh dilawati.
PBB menganggarkan, berbilion ringgit diperlukan untuk membina semula Gaza.
Sendirian, agensi-agensi bantuan tidak akan mampu melakukannya.
Kami perlu memenuhi keperluan semasa penduduk, menyediakan makanan, air, perlindungan, ubat-ubatan dan selimut.
Bantuan dari seluruh dunia diperlukan untuk membina semula Gaza.
No comments:
Post a Comment