Sunday, December 06, 2009

Ikan Salai dan Janda Baik



Saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Saya baru sahaja pulang dari Indonesia dan Kemboja di atas urusan tugas. Insya Allah saya akan menulis tentang kelana ke Kemboja dan Indonesia dalam entri blog akan datang.

Pagi tadi semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Jerantut, saya singgah sebentar di sebuah gerai kecil di pekan Kuala Krau yang menjual ikan patin salai.

Saya suka idea penjual ini yang kreatif dalam menghasilkan produk jualan yang berlainan daripada biasa. Ikan patin, ayam dan daging disalai dan dijual dengan harga yang berpatutan. Aroma ikan yang disalai dengan api kayu itu mengingatkan saya kepada sebuah kota kecil di England yang terkenal dengan produk ikan salainya.

Whitby di timur wilayah Yorkshire pernah dikunjungi sekitar tahun 1999 dan kota kecil ini terkenal dengan kisah Dracula yang ditulis oleh Bram Stoker. Biara Whitby Abbey yang terkenal dek kisah Dracula itu masih utuh di atas bukit di kota Whitby.

Selain daripada itu, Whitby yang terletak di tepi lautan Atlantik ini juga terkenal dengan smoked kippers, ikan salai yang dijual oleh para nelayan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Smoked kippers ini amat enak dimakan dengan roti dan mentega!



Berbalik kepada ikan salai di Kuala Krau ini, saya membeli beberapa ekor ikan patin salai dengan harga RM8.00 seekor. Ikan salai ini memang sedap dibuat gulai lemak cili api. Namun kerana dapur rumah saya memang jarang-jarang sekali berasap, saya hanya membelinya untuk dijadikan ole-ole untuk sahabat handai di Kuala Lumpur.


Saya meneruskan perjalanan dari Kuala Krau menuju ke Kuala Lumpur dan sempat singgah di Janda Baik, Pahang untuk menemui sahabat saya, Encik Yahya Yusof yang juga pengurus rumah anak yatim Badan Amal Nur Zaharah di Kg.Gemuroh, Janda Baik.

Ketika berada di sana, saya tertarik hati dengan aktiviti membuat lapangan badminton oleh anak-anak yatim yang dikelolakan oleh Tuan David. Tuan David ini merupakan seorang bekas pemain badminton negeri dan sejak bersara daripada FELDA, beliau kini menetap di Genting Highlands.

Beliau amat fasih berbahasa Melayu namun beliau sengaja menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah dengan anak-anak itu semasa melakukan aktiviti membina lapangan badminton.

Katanya, " Saya ingin memupuk minat mereka di dalam aktiviti D-I-Y dan dalam masa yang sama mengajar mereka perkataan-perkataan baru dan mudah di dalam Bahasa Inggeris."



Kelihatan juga di suatu sudut, anak-anak yatim sedang menimbang sayur-sayuran organik untuk dijual. Ia merupakan salah satu projek Badan Amal Nur Zaharah untuk mendapatkan dana bagi menampung perbelanjaan pengurusan anak-anak yatim badan berkenaan.

Saya terkejut apabila diberitahu oleh Encik Yahya bahawa sayur kangkung organik dijual dengan harga RM10.00 sekilogram!

Selain daripada itu, projek ternakan kambing juga baru sahaja dilaksanakan untuk tujuan yang sama.

Alhamdulillah, sejak kali terakhir saya dan rakan-rakan ke sana sekitar tahun 2007 untuk mendirikan perpustakaan mini, Badan Amal Nur Zaharah semakin berkembang dengan baik berkat doa dan sokongan orang ramai.

4 comments:

akuatik said...

kalau kat sekotlen ni ikan salai popular datang dari arbroath

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Atikah,

Ikan salai ini banyak potensinya.Kalau ikan salai bisa mempopularkan Arbroath dan Whitby,kenapa tidak di Malaysia kan?

Seronok juga bila dengar contohnya, Kuala Krau,pekan ikan salai!

hendri said...
This comment has been removed by the author.
Fire Restoration East Pensacola Heights said...

Thoughtful blog you have here