Friday, March 25, 2011

Anak yatim, tembikai dan sambal udang petai

Beberapa minggu yang lalu, seorang rakan blogger menghubungi saya. Sahabat beliau, Puan D, seorang saudara baru, berhajat untuk menjamu makan anak-anak yatim. Bagi menyampaikan hajat beliau, saya mencadangkan supaya beliau menjamu anak-anak yatim dan fakir di Janda Baik pada hari semalam, 24 Mac 2011.

Pada hari Khamis, malam Jumaat, sudah menjadi kebiasaan di rumah Puan Ainon Mohd. dan Prof. Abdullah Hassan di Janda Baik, anak-anak yatim dan fakir bersama-sama bersolat jemaah Maghrib dan Isyak, bertahlil dan kemudiannya menjamu selera di rumah mereka.

Kali pertama saya menghadiri majlis itu pada bulan Ramadan tahun lepas. Ia suatu pengalaman yang menarik!

Pada mulanya, sukar mempercayai apabila Puan Ainon memberitahu, " Bagi menjamu anak-anak yatim ini pada malam Jumaat, bajet RM120 sudah mencukupi."

Bagi menjamu anak yatim dan fakir ini, menu a tidak memerlukan makanan yang mewah-mewah seperti nasi biryani dan sebagainya. Makanan yang mereka suka makan ialah nasi berlaukkan sambal tumis udang dan petai, dan buah tembikai. Ia sudah memadai.

Pagi semalam, awal-awal lagi saya sudah keluar ke bandar mencari buah tembikai dan petai. Makanan itu sukar didapati di Janda Baik. Saya segera menuju ke Pasar Chowkit untuk membeli petai. Buah tembikai sudah dibeli di pasar raya berhampiran rumah.

Harga petai memang mahal! Seikat dengan 3 papan petai harganya RM5. Saya menawar-nawar harga dengan penjual. Beliau memberikan harga RM4.50 seikat, jika dibeli dengan kuantiti yang banyak. Saya bersetuju dan membeli 12 ikat petai kesemuanya. Sambil menunggu beliau membungkus petai, saya meninjau-ninjau sayur-sayuran di gerainya. Saya benar-benar tertarik hati melihat pelbagai sayuran yang belum pernah saya lihat sebelum ini.


Limau Pagar.

Jerangau.

Serai wangi.


Daun Salam (Bay Leaves)

Sedang asyik melihat daun-daun yang unik itu, tiba-tiba penjual sayur itu menghulurkan beberapa not RM. Beliau berkata, " Saya mahu bersedekah untuk anak-anak yatim."

Saya menjawab, " Semoga Allah memurahkan rezeki tuan! Amin!"

Saya bertolak ke Janda Baik selepas Asar, petang semalam. Tiba sahaja di sana sekitar jam 5.30 petang, saya segera membantu Cik Kam dan Cikgu Dol di dapur.


Selepas selesai tugas membantu mereka di dapur, saya meluangkan masa merendam kaki di dalam sungai di hadapan Sakinah Lodge, tidak jauh dari rumah Puan Ainon.

Malam tadi, selepas solat maghrib, saya berpeluang buat pertama kali mendengar kuliah bulanan yang disampaikan oleh Ustaz Junaidi. Kami belajar tentang pengertian Tauhid di dalam hidup. Saya banyak belajar daripada beliau malam tadi.

Sebahagian daripada anak-anak yatim dan fakir yang menghadiri majlis.

Selepas solat Isyak, Ustaz Junaidi memimpin bacaan doa. Kami sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan hidup Puan D sekeluarga. Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada beliau ketika menghadapi segala ujian Allah. Amin!


Ah, si Kurap pun ada!

Pucuk Gajus dan ulam-ulaman yang dipetik dari kebun oleh Cikgu Dol.

Tembikai. Licin!

Sambal tumis udang dan petai. Juga habis licin!

Sambal tumis udang dan petai termasuk dalam makanan kawalan!

Sebahagian daripada anak-anak yatim pada majlis malam tadi.

Sempat menambah sambal!

Anak-anak perempuan duduk dan makan di suatu sudut.

Anak-anak lelaki bersila dan makan di suatu sudut yang lain.

Saya suka membaca komen Puan Ainon Mohd. di dalam Facebook beliau,

"Moga-moga doa yang dibacakan untuk Puan D dikabulkan. Mudah-mudahan kehidupan barunya dalam Islam memberikan beliau rezeki dan kebahagiaan yang melimpah ruah. Amin!"

Saya mengaminkan doa beliau dan menulis,

"Beliau seorang yang sangat bertuah!"

No comments: