Tuesday, March 01, 2011

Demokrasi di Hulu Vermont!



Saya tidak pernah ke Vermont, sebuah negeri di wilayah New England yang terletak di timur laut Amerika Syarikat.

Negeri yang paling dekat dengan Vermont yang saya pernah jejaki ialah Maine. Maine berjiran dengan Vermont.

Ruangan jenaka, 'Laughter is the best medicine' di dalam majalah Reader's Digest yang saya pernah baca semasa kecil dahulu banyak merujuk kepada kisah-kisah kebijaksanaan penduduk desa di Vermont. Sering saya ketawa terkekek-kekek apabila membaca anekdot kepintaran bersahaja orang-orang hulu desa dari Vermont ketika berinteraksi dengan orang-orang dari kota.

Kepintaran bersahaja mereka itu bisa membuatkan orang-orang kota yang angkuh dan ego itu terdiam.

Saya bernasib baik kerana dapat bertemu dengan orang Vermont semasa belajar clowning di Maine, 6 tahun yang lalu. Rakan sekuliah, Brent McCoy, penjugel hebat yang boleh menjugel 3 sehingga 5 kon sekaligus, berasal dari sana.

Brent sedang menjugel diabolo.


Beliau bercerita tentang keunikan tanah tumpah darahnya, Vermont, di Facebook sebentar tadi.

Menurutnya, setiap tahun, orang-orang di Vermont akan berkumpul di dewan perbandaran dan berpeluang untuk mendengar isu-isu politik tempatan diperbahaskan oleh ahli politik tempatan.

Yang menariknya, mereka hanya perlu mengangkat tangan dan menyatakan, Aye! jika bersetuju bagi menyatakan sokongan dan Neh! jika membantah.

Demokrasi di hulu Vermont rupa-rupanya semudah itu!



Kredit foto pemandangan Vermont: www.concierge.com

No comments: