Foto: Sumbangan buku pertama pada tahun 2007 untuk anak-anak yatim Bait Al-Amin, Parit, Perak.
Menubuhkan perpustakaan di rumah-rumah anak yatim bukan tugas yang mudah terutamanya ketika mengenal pasti rumah yang sesuai dan layak untuk itu.
Saya pernah dikritik kerana memilih sebuah rumah yatim yang dikatakan sudah mewah infrastrukturnya. Ia hampir membuatkan saya berputus asa.
Besarnya bangunan rumah anak yatim itu bukan kriteria pengukur utama. Kita harus melihat dari sudut yang berbeza.
Bayangkan jika kita menetapkan syarat pemilihan rumah anak yatim untuk projek perpustakaan bahawa kita harus mencari rumah anak yatim yang benar-benar miskin sahaja.
Jika ditanya dari hati ke hati dengan pihak pengurusan rumah anak yatim seperti itu, perpustakaan jauh berada di bawah dalam senarai keutamaan mereka. Apa yang mereka mahukan adalah bantuan kewangan, makanan, dan kebiasaannya, mereka mahukan dana untuk membina bangunan yang kukuh dan selesa bagi anak-anak yatim itu berlindung.
Mungkin benar pendapat bahawa manusia perlukan makanan, tempat tinggal yang selesa sebelum berfikir mahukan sebuah rak buku di dalam rumah.
Apa yang pentingnya, kita perlu bertanya dahulu kepada pengurusan rumah anak yatim, apakah keperluan mereka yang sebenarnya.
Pernah sekali, kami bertanya pada pengurusan sebuah rumah anak yatim di Kelantan sama ada mereka memerlukan perpustakaan untuk kegunaan anak-anak yatim. Jawab beliau, " Kami perlukan cat untuk dinding asrama kami."
Kami tidak mengendahkan saranan beliau itu. Akhirnya kami sedar walaupun pahit kenyataannya, mereka belum bersedia untuk menerima sebuah perpustakaan, walau yang kecil sekalipun.
Pernah juga saya bertanya kepada pengurus rumah anak yatim di pinggir ibu kota. Jawab beliau, " Ruang kami kecil sahaja. Kami rasa ia tidak sesuai." Saya amat menghormati pandangan beliau itu. Beliau ikhlas memberitahu apa yang mereka benar-benar perlukan.
Pada pandangan saya, rumah anak yatim yang benar-benar memerlukan perpustakaan boleh dilihat dari minat dan kesungguhan mereka. Tidak kiralah sama ada rumah anak yatim itu besar dan mewah atau kecil dan daif.
Saya masih tersenyum setiap kali mengingati cerita bagaimana anak-anak yatim di Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor, Perak mengambil inisiatif membersihkan bilik stor untuk dijadikan perpustakaan mereka.
Saya juga gembira apabila melihat rumah anak yatim Darul Hikmah di Gopeng, Perak menyiapkan ruang perpustakaan yang terbengkalai sejak sekian lama, menjadi ruang yang sungguh selesa, apabila kami bertandang membawa buku-buku dan rak bagi menubuhkan perpustakaan mereka.
Malah saya berasa sungguh terharu apabila pengurus rumah itu memberitahu, "Perpustakaan ini bukan sahaja untuk keperluan anak-anak rumah ini, namun juga dibuka untuk anak-anak kampung di sini."
Melihat anak-anak yatim itu berebut-rebut memilih buku yang sedang dikeluarkan daripada kotak setiap kali kami menubuhkan perpustakaan adalah momen yang sukar dilupakan.
Hati saya berkata,
"Ah, pedulikanlah semua pengkritik. Saya buat semua ini bukan untuk memuaskan hati mereka!"
Dalam masa yang sama, saya merenung jauh ke dalam hati, betapa ruginya anak yatim yang keluar daripada rumah anak yatim apabila mencecah umur 18 tahun, akan terus miskin ilmu pengetahuannya dalam menempuh alam dewasa. Dan kita pula mampu mengubahnya.
Justeru, perpustakaan itu penting bagi setiap anak yatim tidak kira sama ada mereka tinggal di rumah anak yatim yang besar bangunannya ataupun tidak.
Mari kita meraikan hak mereka sebagai pembaca!
No comments:
Post a Comment